Hari ini bangsa Melayu dan umat Islam semakin sedar pentingnya melibatkan lebih ramai masyarakat, khasnya generasi muda, dalam bisnes.

Umat Islam semakin sedar kekuatan ekonomi umat lain, khasnya di Barat dan Jepun yang berada jauh ke hadapan, dibina setelah mereka menguasai bisnes dan memanfaatkan ilmu dan teknologi yang dibisneskan.

Hari ini bangsa Timur lain, seperti Korea Selatan, China, dan India juga sedang pesat membangun setelah berprestasi cemerlang dalam bisnes.  China kini berjaya menduduki tempat kedua ekonomi paling besar dunia.

Jika sesuatu pembaharuan tidak segera dilakukan, bangsa Melayu dan umat Islam pasti terus ketinggalan.  Budaya dan tamadun umat Islam yang sebelum ini banyak dipengaruhi Barat, dijangka akan turut dicorak kuasa besar Timur pula, termasuk Korea dan China.

Umat Islam tidak seharusnya lemah bisnes kerana Islam tidak antibisnes atau antikekayaan, sebaliknya sangat probisnes.

“Sembilan per sepuluh sumber rezeki berpunca daripada bisnes” antara hadis yang kerap disebut bagi mengingatkan pentingnya bisnes.

Oleh kerana selama hampir tiga abad sebelum ini umat Islam tidak lagi menguasai bisnes dunia (setelah mendahului selama hampir satu alaf sebelum Barat mendominasi), pengaruh Islam terhadap pencorakan tamadun manusia moden juga merosot.  

Barat berjaya dominasi dunia dan pengaruhi tamadun manusia melalui kuasa bisnes mereka, langsung membuat sistem ekonomi dunia dipacu riba’ dan materialistik lagi rakus. Akibatnya ekonomi dunia hari ini, termasuk ekonomi negara Islam, zalim dan meminggir yang miskin, lalu merosak kehidupan.

Ketidakadilan berleluasa dan jurang kaya-miskin semakin melebar hingga mustahil dirapatkan kembali tanpa penggantian sistem.

Tiba masanya bangsa Melayu dan umat Islam ke depan menguasai bisnes dan mengetengahkan barisan usahawan mengikut pendekatan baru.

Kerana tanpa pembaharuan mereka cuma menciplak dan mengulangi kerakusan dan kerosakan.

Selain menjana ekonomi dan kekayaan, usahawan, ahli bisnes dan korporat Muslim perlu tampil dengan visi mentamadun semula dunia mengikut acuan Islam, iaitu bertujuan memakmurkan bumi dengan penuh keadilan.

Pembaharuan sistem menuntut semua usaha bisnes kecil, sederhana atau besar; milik individu, keluarga, koperasi, korporat atau institusi, fokus kepada misi menjadikan bisnes satu jihad.

CEO atau pemimpin korporat Muslim termasuk peneraju organisasi GLC dan PLC pula dituntut membawa aspirasi menyempurnakan tugas dan tanggungjawab sebagai “Khalifah Bisnes”!

Kenapa “Khalifah” harus dikaitkan dengan bisnes?

Terdapat dua sebab utama. Pertama, kerana bangsa Melayu sangat tebal identiti dan jati diri Islamnya.

Oleh itu, mana-mana usaha pembaharuan bangsa Melayu, termasuk dalam bisnes, tidak sempurna selagi tidak berasas kepada kekuatan anugerah Islam.

Dr Siddiq Fadzil, seorang pemikir dan ilmuwan Melayu dalam bukunya “Islam dan Melayu” menegaskan: “…agenda pembangunan ummah harus meliputi … pengakaran semula pada prinsip dan nilai kewahyuan.”  

Sebab kedua: Kejayaan bisnes prasyarat menguasai ekonomi, juga sebelum memperkasa politik, budaya dan tamadun masa depan.

Konsep Khalifah Bisnes menuntut bisnes bangsa Melayu dan umat Islam mengutama pengintegrasian Islam ke dalam semua aspek bisnes sebelum disusun strategi jangka panjang untuk menang bersaing kuasai bisnes strategik.

Konsep Khalifah Bisnes memberi pilihan kepada bangsa Melayu dan umat Islam untuk tidak lagi menciplak membabi-buta sama ada Barat atau Timur.  Ia bertujuan menanam semangat jihad aman (tanpa kekerasan) lalu berpotensi menyumbang kepada menyelesai krisis hidup manusia di alaf baru.

Menerusi barisan usahawan Khalifah Bisnes, umat Islam boleh memulakan proses membina keupayaan ekonomi untuk satu hari nanti bangkit semula sebagai Khalifah memakmur bumi seperti yang diseru Islam ke atas mereka.

Sesungguhnya semangat jihad dan aspirasi Khalifah penting ditanam dalam sanubari setiap anak bangsa, dipupuk dan disemarakkan supaya bangsa Melayu dan umat Islam tidak lagi terlalu tunduk bergantung kepada orang lain. 

Mereka perlu menerima hakikat bahawa mereka memikul kewajipan bertindak segera kerana “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka  sendiri.” (Al-Quran, Surah Al-Ra’d, 13:11).

Justeru, semua ahli bisnes Muslim, sama ada bisnes milik individu, keluarga atau syarikat; sama ada korporat swasta, koperasi, GLC atau PLC, perlu segera bangkit sebagai Khalifah Bisnes. 

Selain gigih memburu kekayaan meningkat darjat ekonomi, mereka harus juga gagah mentransformasi sistem ekonomi menentukan sistem Khalifah Bisnes mengganti kapitalisme rakus dan merosak.

Khalifah Bisnes berkait rapat seruan Islam supaya umatnya menjayakan konsep Istikhlaf (iaitu berteraskan khalifah pelaksana amanah Allah di bumi), langsung mengintegrasi ciri Rabbaniyah Islam ke dalam sistem ekonomi.

Konsep istikhlaf adalah sebenarnya ciri asas yang membezakan antara sistem rakus Barat dan Timur, iaitu sistem materialistik lagi duniawi, dengan sistem ekonomi Islam.

Teras perbezaan terdapat pada fahaman mengenai konsep pemilik mutlak harta. Dr Yusof Al-Qardhawi, ulama besar Islam dalam bukunya “Ekonomi Islam, Nilai dan akhlak”, menegaskan:  “Secara hakikatnya manusia bukanlah pemilik kepada harta, tetapi wakil dan khalifatul Malik (yang diberi kuasa oleh pemilik yang mutlak) , iaitu Allah Ta’ala.”  Justeru, sistem ekonomi Islam satu sistem ekonomi Rabbaniyah yang tidak pernah terpisah hubungannya dengan ketuhanan.

Dr Yusof Al-Qardhawi menambah: “Ekonomi Islam adalah ekonomi yang Rabbani, ekonomi yang manusiawi, ekonomi yang berakhlak dan ekonomi yang seimbang.”   Ekonomi Rabbani merangkumi konsep istikhlaf, iaitu harta sebagai amanah. 

“Istikhlaf ertinya: Harta adalah amanat Allah yang diserahkan kepada manusia, supaya mereka dapat memanfaatkannya sebaik-baiknya dan menunaikan hak-hak fakir miskin yang terdapat di dalamnya. … Nilai (istikhlaf) inilah yang memastikan ada unsur Rabbaniyyah (ketuhanan) dalam sistem ekonomi Islam.”

Ekonomi manusiawi pula menggariskan peranan manusia sebagai khalifah sempurnakan amanah Allah di bumi. Kewajipan Khalifah Binses ialah menentukan sebagai amanah Allah, semua gerak dan tindakan bisnes tidak memudarat atau merosak, malah memakmurkan bumi. 

Qardhawi tegaskan manusia diciptakan Allah untuk 3 perkara yang saling melengkapi: Pertama, memakmurkan bumi; kedua, beribadah kepada Allah; dan ketiga menjadi khalifah.



Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Presiden,  Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
10 Ogos, 2012. ali.bizjihad@yahoo.com