ADA semacam satu sentimen fobia yang mendalam dalam kalangan kelompok pendidikan Barat yang megah dengan sindrom liberalisme, terhadap peranan Islam dalam pemerintahan negara.

Memberi tempat kepada Islam untuk menentukan cara negara ini diurus dianggap bahaya dan negara akan menjadi terkongkong serta mundur. Lebih parah lagi mereka berpendapat bahawa negara ini akan menjadi pengeksport teroris terbesar di dunia kerana melaksanakan pendidikan yang memberi penekanan kepada agama.

Dalam rencana The Real Malay Dilemma yang diterbitkan oleh sebuah akhbar Inggeris hujung minggu lalu, penulis rencana itu memberi gambaran betapa Islam yang diberi tempat dalam urus tadbir negara akan menghasilkan pemikiran jumud. “Islam tidak perlu perlindungan dan tidak perlu diinstitusikan", demikian pendapat penulis tersebut terhadap penubuhan Jawatankuasa Ehwal Islam Tertinggi yang diumumkan oleh Majlis Raja-Raja baru-baru ini.

Faham dangkal penulis tersebut mengatakan Islam dan Tuhan tidak perlu apa-apa. Bermakna tidak perlu ada undang-undang agama seperti undang-undang syariah. Katanya tidak ada seorang pun yang boleh mendakwa mewakili Islam. Apa yang perlu ialah masyarakat dilindungi oleh kerajaan daripada mereka yang memperalatkan agama. Dengan demikian, penulis tersebut memberi implikasi bahawa Islam tidak perlu kepada autoriti. Ahli yang menguasai ilmu agama dan berwibawa seperti ulama  untuk memberi penjelasan mengenai hukum agama, dianggap perlu ditolak dan tidak perlu dipatuhi.

Ada paradigma yang berlegar dalam fikiran penulis ini, iaitu Islam harus dibiarkan kepada sesiapa sahaja untuk mentafsir apa itu agama. Menurutnya tidak ada sesiapapun yang berhak untuk menentukan apa itu Islam dan segala hukum yang berkaitan dengannya.

Penulis nampaknya gelisah dengan keghairahan rakyat Malaysia kepada agama. Segala penonjolan agama sama ada dalam siaran tv mahupun notis kuliah agama di institusi kerajaan dianggapnya merimaskan. Beliau mendakwa guru memaksa interpretasi agama ke atas pelajar dan ini juga bagi beliau tidak wajar.

Sepanduk mengenai seminar atau forum dan kuliah yang berkait dengan agama menurut beliau yang memenuhi pejabat agensi kerajaan seolah-olah membayangkan bahawa agensi kerajaan semuanya kini dipengaruhi oleh agama.

Penulis mengakui dirinya Muslim. Tetapi ghairah kepada agama dianggapnya tidak membantu memajukan kehidupan. Pemikiran ini mirip menganggap agama itu candu, persis faham ideologi komunis yang mengatakan agama penghalang kemajuan.

Orang Melayu yang dikatakan kuat berpegang kepada agama dianggap beliau berfikiran sempit dan suka menghukum bila melihat wanita yang tidak menutup aurat. Jelas penulis ini tidak mengendahkan sama sekali hukum agama hatta daripada mereka yang berautoriti dalam bidang agama. Menyalurkan dana kepada sekolah agama dan maahad tahfiz juga dilihatnya sebagai suatu masalah besar. Kononnya ini tidak membantu melahirkan masyarakat yang kompetitif pada abad ke-21 ini.

Soalnya, apa asas beliau mendakwa pendidikan agama menghalang orang untuk maju. Tidakkah beliau buta sejarah, bahawa sejarah kegemilangan Islam adalah bermula dari dorongan Islam yang kuat agar penganutnya menguasai ilmu. Nampaknya beliau obses dengan kebencian terhadap apa sahaja peraturan yang berpunca daripada agama. Beliau percaya tanpa ikatan kepada agama, masyarakat akan lebih maju.

Penulis tersebut sangat percaya masyarakat tidak perlu cenderung kepada agama jika mahu menjadi kompetitif. Kegagalan orang Melayu walaupun dibantu oleh kerajaan, menurut beliau, adalah kerana terlalu terikat dengan agama.

Lantaran itu pendekatan kerajaan kepada “penerapan nilai-nilai Islam” yang diperkenalkan pada 1985 menurut beliau adalah suatu kesilapan. Dakwaan beliau 60% bangsa Melayu berpegang kepada Islam yang dianggap hanya berfikir tentang akhirat kerana Melayu bergantung kepada kerajaan. Agama, baginya tidak menyumbang kepada ekonomi negara.

Inilah fikiran sekular pada tahap tertinggi. Ekonomi, pemerintahan serta sosial tanpa Islam adalah ideal baginya. Beliau menuding Kelantan, Iran, Aceh dan Turki menuju kepada kemunduran akibat berpegang kepada agama dalam pemerintahan. Agama dipersalahkan, bukan ketidakadilan dan kebobrokan sistem seperti yang yang berlaku di Ukraine, Greece, Ireland, Perancis, UK malah US.

Negara-negara Barat yang beramal dengan sistem pemerintahan tanpa agama yang dikagumi penulis itu kini berdepan dengan ambang kebankrapan. US adalah negara tertinggi di dunia dibebani hutang sehingga mencecah RM92 trilion. Dengan sistem pemerintahan bebas agama itulah, US yang dikagumi penulis adalah negara paling merbahaya di dunia dari segi keselamatan sosial. US merekodkan penembakan liar (mass shooting) berlaku setiap hari iaitu dalam 355 insiden tembakan massa dalam 336 hari setiap tahun.

Nampaknya penulis sangat mendalam berfikiran negatifnya terhadap hukum  agama dan pihak yang berautoriti dalam agama. Cukup hanya mendakwa diri sorang Muslim dan percaya kepada Tuhan, selebihnya kehidupan ini tidak perlu dikawal oleh agama.

Dengan demikian, kita sedang diugut oleh sekelompok kumpulan sekularis liberalis serta media yang mendukung pemikiran dan aliran tersebut untuk menggesa kerajaan yang ada kini agar dibebaskan daripada golongan agama serta memberi tempat kepada yang dikatakan kononnya orang bukan Islam yang produktif dan Melayu liberal yang progresif.

Pemikiran sebegini boleh sahaja dilihat ada rasionalnya. Akan tetapi negara tidak boleh dicengkam oleh kelompok ini kerana Islam yang benar dan berpaksikan kepada aqidah tauhid fungsional adalah aliran utama yang ingin kita ketengahkan dan dimantapkan. Kita tidak perlu terperangkap dengan keghairahan untuk maju dan membangun dalam kerangka sekular Barat.

Apa yang kita mahukan ialah sebuah negara Islam contoh yang berpedomankan kepada kefahaman al-Quran dan as-Sunnah yang benar. Biar kelompok ini berusaha agar faham sekular liberal menjadi dominan dalam negara ini, akan tetapi kita akan bergerak membina negara ini sebagai yang berpaksikan Islam sebagai sistem hidup yang menyeluruh dan sempurna (nizamul hayah syamilah kaamilah).

Kita yakin Islam sebagai agama Persekutuan adalah paksi dan karakter kenegaraan yang kita pilih. Islam yang kita maksudkan ialah Islam yang berfungsi sepenuhnya dalam masyarakat dan negara, bukan sekadar amalan ritual dan hidup untuk memenuhi acara rasmi-rasmian semata-mata.

* Penulis ialah Presiden majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu