HAMPIR semua orang boleh menulis. Kanak-kanak yang memegang pensil dan pandai mengeja pun boleh menulis. Pelajar sekolah rendah atau menengah, dan mereka yang belajar di universiti pun begitu seperti juga sebilangan besar di antara kita. Bagaimanapun, ramai di antara mereka yang boleh menulis itu belum tentu lagi boleh mengarang.

Bagi yang boleh mengarang pula, karangan mereka itu belum tentu menarik hati mereka yang menatapnya.  Ramai yang mengarang artikel, laporan, tesis itu hanya menarik minat mereka yang suka kepada bahan-bahan bacaan yang serius. Golongan ini pula hanya terdapat di kalangan mereka di dalam dunia ilmu. Justeru, golongan mereka itu terhad.

Sebaliknya, mereka yang boleh mengarang karya kreatif seperti cerpen, puisi dan novel pula mempunyai khalayak yang lebih ramai kerana bahan tulisan mereka lebih mudah difahami. Ia juga dianggap sebagai sebuah karya ringan. Padahal, karya kreatif dihadam dengan hati iaitu emosi. Emosi itu boleh difahami secara sendiri-sendiri menurut tafsiran peribadi, berbanding dengan karya ilmiah yang difahami dengan minda. Ia pula lebih mudah dihadam jika ia didiskusikan bersama orang lain.

Mereka yang boleh menulis itu belum tentu dapat mengarang dengan baik. Dan, mereka yang boleh mengarang dengan baik, belum tentu dapat bercerita dengan baik. Pendek kata, tulisan itu dimulakan dengan menyusun aksara, memilih perkataan, membina ayat, membentang sebuah para dan akhirnya mempersembahkan sebuah karya sependek sebuah artikel mahupun sepanjang sebuah buku.

Oleh kerana sesebuah karangan itu dikongsi dengan pembaca untuk dinikmati, maka seeorang penulis itu perlu pula punyai kemahiran bercerita. Karangan yang baik itu adalah sebuah penceritaan. Pembaca menyusur dalam pembacaannya seperti sebuah perjalanan. Karya yang mempunyai susunan idea yang baik itu membawa pembacanya dalam sebuah perjalanan yang lancar dan merehatkan.

Dalam pada itu, karangan yang dipenuhi dengan ejaan yang silap, ayat yang terputus-putus atau yang panjang-panjang boleh membuat kita turut hampir putus nafas apabila membacanya. Tulisan sebegitu bisa membuat sesiapa yang menelitinya berasa mengantuk lalu tulisan itu menjadi ubat tidur yang paling mujarab.

Dunia media sosial memberi ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja untuk menulis. Ia memberi kebebasan. Namun, kebebasan yang boleh membuat ramai yang tidak punyai ilmu menulis, mengarang dan bercerita itu terbabas dalam menghasilkan catatannya.

Seperti anak muda yang memandu tanpa lesen, atau pemacu motosikal yang baharu punyai lesen, ruang menulis yang terbuka kepada sesiapa sahaja itu bisa menjadikan seseorang itu kemaruk. Apatah lagi, belum pun lima saat tulisannya sudah terpapar, komen daripada kawan-kawan mencurah-curah menjelma.

Ini bisa menjadikan seseorang yang belum biasa mendapat perhatian, menjadi tidak tentu arah kerana teruja. Tabiat kawan-kawan itu biasanya lebih kepada mengiyakan dalam komen-komen mereka sebagai galakan. Malangnya, ia menjadikan seseorang itu berasa yang tulisan-tulisannya itu mendapat sokongan.

Apa pula yang terjadi seandainya tulisannya itu dikritik dan dicemuh oleh mereka yang tidak dikenali? Seseorang itu boleh murung berhari-hari kerana berasakan dirinya diperkecil, malah dihina. Padahal orang yang member pandangan yang negatif itu memang suka-suka memberi komen negatif kerana dia sendiri tidak mempunyai kemahiran mengarang pula.

Di sinilah pentingnya seseorang itu memperbetul nawaitunya sebelum mencatat sesuatu di laman sosialnya. Apabila dia menulis, mengarang dan bercerita, dia perlu fahami bahawa apa yang terpapar di lamannya itu akan dibaca bukan sahaja orang yang dia kenali, malah mereka yang tidak mengenalinya. Dia perlu mengerti, komen yang diberi itu bukan sahaja bertujuan baik, tetapi ada juga yang tidak bertujuan apa-apa melainkan suka-suka sahaja.  

Justeru itu, dia boleh mengambil perhatian terhadap maklumbalas yang boleh diterimanya. Dan dia boleh sahaja mengenepikan pandangan-pandangan yang dirasainya tidak jujur dalam menyampaikan maklumbalas.

Betapa pun, seseorang yang mengarang sesebuah catatan itu perlu melihatnya sebagai sebuah anugerah. Tidak pernah terjadi sejak di zaman lampau, seeorang itu boleh menulis dan catatannya boleh dibaca oleh berjuta manusia. Pada hari ini, ia sudah berlaku. Kesan positif mahupun negatif di atas tulisannya itu mudah sahaja menjalar menjadi viral. Tanpa sedar, ia boleh menjana pahala mahupun melipatgandakan dosa.

Sama ada ia sebuah catatan yang mengundang pahala mahupun dosa, ia akan terpapar di laman sosial. Lima atau sepuluh tahun akan datang, seseorang akan menemui catatan itu dan membacanya. Jika catatan itu mempunyai kebaikan, kita akan memperoleh bonus pahala. Jika sebaliknya, kita telah menempah tambahan dosa.