SAYA tidak boleh lupa kepada kajian pembacaan daripada Universiti Putra Malaysia, pimpinan Allahyarham Prof Atan Long, 33 tahun yang lalu.

Kajian pada tahun 1983 itu menunjukkan, rakyat Malaysia membaca dua halaman setahun! 13 tahun kemudian, kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia mendapati setiap orang secara purata membaca dua buku setahun. Ada perkembangan positif.

Saya yang terlibat untuk mengembangkan perniagaan penerbitan syarikat Alaf 21 mulai tahun 1997 hingga 2009 sentiasa berasa tercabar untuk meningkatkan amalan membaca di kalangan masyarakat Malaysia.

Statistik itu menjadi cabaran kepada diri dan juga karyawan syarikat. Dengan usaha penerbit, pengedar, penjual dan pihak berwajib, perkembangan minat membaca masyarakat Malaysia kemudiannya meningkat begitu mendadak.

Pada awal tahun 2000, banyak kedai buku mula membuka cawangan dan rangkaian masing-masing. Selain daripada Kedai Buku MPH dan Kedai Buku Popular, banyak lagi rangkaian kedai buku yang berkembang pesat seperti Pustaka Seri Intan dan juga Syarikat Muda Osman. Kedai-kedai buku individu tidak lagi mempamer buku-buku yang lusuh dan berhabuk.

Industri buku umum berkembang begitu pesat. Membaca buku bukan sahaja menjadi kegiatan para pelajar sekolah dan universiti. Ia menjadi kegemaran ramai.

Pesta-pesta buku diadakan di merata tempat. Mulai 2009, muncul pesta buku mega The Big Bad Wolf yang mempamer tidak kurang daripada tiga juta buku untuk sekali pesta.

Percetakan digital yang mana memungkinkan print-on-demand iaitu menerbitkan buku serendah satu naskhah untuk jualan.

Sebelum ini kos menerbitkan 100 naskhah buku secara konvensional adalah begitu mahal. Tempoh percetakan konvensional yang memakan masa tiga hari untuk menerbitkan 1,000 naskhah buku boleh dipendekkan menjadi setengah hari untuk jumlah naskhah yang sama.

Seperti biasa, apabila sesebuah industri itu dilihat begitu menguntungkan, ia memunculkan ramai pemain industri yang baharu.

Ada yang menerbitkan buku kerana minat. Tetapi ramai lagi yang mencebur diri kerana ia menguntungkan. Ketika itu, mereka di dalam industri buku tidak nampak awan mendung yang berarak yang akhirnya meredup dan menyejukkan kehangatan perniagaan buku.

Kemunculan selfon mula mengalih minat membaca daripada buku kepada membaca di skrin telefon. Novel selfon yang bermula di Jepun mendapat sambutan para peminat novel.

Meskipun ia pendek, kira-kira 70 aksara untuk satu bab, namun ia cepat berkembang ke beberapa negara di dunia. Kemunculan telefon pintar kemudiannya mengalih terus minat membaca daripada buku.

Media sosial menjadikan minat membaca buku menjadi parah. Tumpuan seseorang sudah teralih langsung daripada membaca kerana mereka boleh pula bersembang secara menghantar mesej, foto dan juga video sesama kenalan.

Sehingga ke hari ini, nampaknya telefon pintar semakin menguasai minat dan masa seseorang.  

Akhirnya membaca buku kian menjadi aktiviti yang terpinggir. Namun, apakah aktiviti membaca bakal berkubur di negara ini? Terlalu awal untuk mengatakan begitu. Ini adalah kerana tabiat manusia akan berubah jika sesuatu itu diberi nafas baharu.

Suatu masa dahulu, ramai orang kata pawagam akan berkubur. Namun hari ini, perubahan imej pawagam dengan sistem audio visual seperti Dolby Stereo, D-Box dan Atmos yang canggih menjadikan ia industri yang bertenaga kembali.

Malah, kehebatan teknologi itu mengangkat selera penggemarnya ke citarasa yang begitu tinggi hingga ramai penonton hilang teruja dengan CD cetak rompak. Mereka malas lagi membeli CD dengan imej yang kabur, lonjong atau senget bila ia dicuri rakam dari pawagam.

Begitu juga dengan industri muzik. Apakah kemunculan single baharu Andainya Takdir nyanyian penyanyi Anuar Zain bakal mencerahkan semula industri muzik tanah air?

Tontonan video lagu itu di YouTube mencecah melebihi 1.5 juta setelah ia dimuatnaik pada September lalu.

Begitu juga jualan albumnya telah melebihi 10,000 unit. Jika diukur pada standard industri muzik yang masih malap, jualan album itu boleh dikatakan meletup.

Industri filem dan muzik nampaknya kembali hidup kerana ia menggunakan nafas baharu dalam persembahannya.

Teknologi baharu dan platform multimedia telah digunakan untuk menjadikan ia bentuk hiburan yang semasa.

Untuk itu, buku perlu dipersembahkan dalam pakej audio, visual selain daripada paparan aksara bagi menyahut selera para pembaca yang sudah tidak lagi mahu menoleh kepada buku bercetak kerana persembahan begitu sudah dianggap old school!