$entry.content.caption.value
Pada tahun 80-an dan 90-an, kehebatan basikal bergelar BMX sering menjadi kegilaan remaja pada masa itu. BMX yang mempamerkan aksi yang mencabar atau lebih dikenali sebagai BMX gaya bebas cukup popular dan nama lagenda aksi itu seperti Dave Mirra menjadi bualan di bibir remaja ketika itu.
Selain BMX gaya bebas, satu lagi jenis aksi BMX yang dikenali pada masa itu ialah perlumbaan lasak BMX atau dikenali sebagai motocross BMX melahirkan lagenda seperti T J Levin. Pada masa itu, masih ramai yang tidak melihat potensi besar sukan BMX terutama motocross BMX sebagai melahirkan bakat muda sukan berbasikal di negara ini. Bagaimanapun dewasa ini pendapat itu mula berubah.
Itulah yang sedang diusahakan Ketua Jurulatih Berbasikal Negara, John Beasley untuk menyerap sukan lasak motocross BMX pada generasi muda bagi melahirkan lebih ramai jaguh berbasikal negara ini.
Beasley seorang jurulatih yang cukup dikenali di negara ini kerana melahirkan jaguh berbasikal antaranya Azizulhasni Awang, kelihatan cukup bersemangat bercakap mengenai melahirkan bakat baru sukan berbasikal negara.
Ketika ditanya mengapa memilih BMX sebagai sukan melahirkan serta mengasah bakat pelumba muda jawapan Beasley ringkas tetapi cukup tepat iaitu sukan itu cukup popular dalam kalangan generasi muda.
BMX mampu membentuk otot, stamina dan refleks pelumba daripada usia muda lagi, bila asas ini sudah terbentuk mudah bagi pelumba itu mengembangkan bakat mereka dalam apa juga jenis sukan berbasikal, katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Di negara ini, BMX gaya bebas dilihat lebih popular daripada motocross BMX bagaimanapun freestyle BMX berpotensi dijadikan acara penarik bagi pelumba muda menceburi sukan berbasikal.
Beliau berkata apabila sukan BMX berkembang satu mekanisma untuk mengenalpasti bakat pelumba muda di seluruh negara perlu dibentuk bagi memastikan bakat mereka tidak terlepas pandang.
“Saya ingin tegaskan dalam melahirkan serta mengasah bakat muda, kita tidak boleh mengukur kejayaan melalui kilauan pingat diperolehi, kita mesti lihat daripada segi kepantasan perkembangan bakat dan bilangan bakat berkualiti yang kita hasilkan,” katanya.
Perkenalkan BMX di sekolah
Menurut Beasley antara langkah awal untuk melahirkan dan mengasah bakat muda dalam sukan berbasikal ialah menjadikan motocross BMX sebagai salah satu sukan rasmi yang bergerak aktif di sekolah.
“Sehingga kini kerjasama antara kementerian yang terlibat dalam merealisasikan usaha ini amat menggalakkan, saya harap kita boleh bentuk satu modul untuk mengembangkan sukan BMX di sekolah,” katanya.
Beliau berkata ramai anak muda yang menggemari sukan BMX di negara ini, ini dapat dilihat apabila ramai anak muda mengisi masa lapang mereka di pusat riadah serta kompleks membeli-belah melakukan aksi BMX kegemaran mereka.
Persoalannya sekarang bagaimana mengasah bakat anak muda ini serta memastikan bakat yang mereka miliki tidak disia-siakan dan aktiviti sukan di sekolah mereka dilihat sebagai satu medan penting memastikan bakat mereka terus berkembang.
Mengambil contoh sukan bola sepak yang mempunyai pelbagai pertandingan peringkat sekolah, daerah, negeri seterusnya negara, sukan BMX juga diharap dapat dilaksanakan seperti itu. Apa yang perlu sekarang kita mesti adakan banyak pertandingan serta program sokongan lain seperti bengkel dan kelas untuk anak muda mengambil bahagian serta mengasah bakat dalam sukan berbasikal, katanya.
Melahirkan jaguh
Beasley berkata apabila tiba pada tahap umur atau prestasi tertentu bakat muda yang dikembangkan bakat menerusi BMX itu perlu memilih cabang sukan berbasikal yang sesuai dengan cara mereka. Bakat muda itu mempunyai banyak pilihan untuk memilih cabang sukan berbasikal antaranya acara trek, lebuh raya atau satu lagi acara berbasikal lasak ‘mountain bike’ bagaimanapun mereka boleh memilih untuk terus berada dalam acara BMX.
Beasley berkata terdapat ramai pelumba yang berpotensi untuk menemani Azizulhasni di kedudukan tertinggi di persada dunia pada masa depan. itu. Rizal Tisin yang beralih daripada acara trek ke acara BMX adalah pelumba yang digelar ‘senjata rahsia’ oleh Beasley sendiri dan seorang lagi pelumba Mohammed Adiq Husainie Othman juga berkembang pantas menjadi seorang pelumba hebat.
Beliau berkata selain pelumba lelaki beliau turut kagum perkembangan bakat pelumba wanita antaranya Fateha Mustapa dan Jupha Somnet. Malaysia kini berada pada landasan terbaik untuk melahirkan ramai jaguh berbasikal negara. Jom kita ceburi sukan berbasikal. - Bernama














