MATA. Salah satu daripada lima pancaindera yang dianugerahkan Illahi kepada kita. Fungsinya untuk melihat. Seseorang bayi yang baru lahir tidak dapat memandang dengan jelas. Ia hanya dapat mengesan cahaya dan pergerakan. Pada usianya sebulan, barulah ia dapat fokus kepada objek-objek sejauh kira-kira 30 sentimeter.

Pada usia tiga hingga empat bulan, ia mula mengenal warna dan boleh melihat objek-objek yang lebih kecil. Kemudian pandangannya boleh menjangkau sejauh satu meter dan memandang pergerakan di sekelilingnya.  Penglihatannya akan bertambah baik di usia tiga hingga lima tahun.

Apabila kelopak mata ditutup atau keadaan sekeliling menjadi gelap, mata tidak dapat melihat apa-apa. Dalam kegelapan, kita perlukan cahaya untuk melihat. Jika tiada cahaya, kita bergantung dengan deria pendengaran untuk mengagak apakah yang ada di sekeliling kita. Bagi orang yang buta matanya, orang kata, mata hatinyalah yang membantu dia untuk nampak.

Sebahagian besar daripada kita  boleh melihat melalui imaginasi. Imej-imej yang tersimpan di dalam memori itu membolehkan kita melihat sesuatu walaupun ia tiada di depan mata. Mungkin juga gabungan imej-imej itu membolehkan kita membentuk imej-imej yang baharu. Para pereka bentuk mencipta objek-objek tiga dimensi yang belum pernah kita jumpa melalui daya kreatif imaginasi mereka.

Tanpa kita sedari, ramai di antara kita, meskipun tiada kebolehan memandang dari sudut kreatif, kita dapat jua melihat imej-imej yang pelik di luar jangkauan minda. Ada kalanya di luar logik akal. Malah, tiada had dan sempadan yang menghentikan pandangan itu singgah di layar minda. Ya. Itulah mimpi.

Dalam keadaan biasa, kita melihat secara realiti apa yang muncul di depan mata. Dalam keadaan mata terpejam, bantuan imaginasi membantu untuk kita nampak. Dan, di alam mimpi kita nampak apa sahaja yang diputar minda kita. Kesemuanya berpunca daripada mata, penglihatan atau imaginasi. Mudah sahaja peranan mata yang dikurniakan oleh Yang Maha Melihat.

Namun, pada hari ini, manusia telah memutar peranan mata yang dibantu dengan bunyi, bau, rasa dan sentuhan bersama imaginasi yang palsu dalam apa yang dinamakan sebagai virtual reality atau realiti yang dibuat-buat. Virtual reality yang terkini itu terpapar di monitor komputer mahupun dalam bentuk headset.

Seseorang yang menggunakannya akan berasa tenggelam dalam dunia yang seakan-akan seperti di alam yang sebenar. Alat virtual reality ini digunakan dalam latihan simulasi penerbangan mahupun peperangan. Tetapi yang banyak ialah dalam bentuk permainan. Suka-suka. Seronok, seronok.

Satu lagi bentuk alat yang mempunyai daya memutar minda untuk berada di alam nyata mahupun fantasi ialah melalui pendekatan augmented reality, iaitu realiti palsu yang dihidupkan dengan melapiskan apa yang nyata dengan imej yang palsu. Permainan Pokemon Go adalah sebuah permainan menggunakan telefon pintar yang mengasyikkan kerana si pemain akan terpesona bila berada di antara lapisan alam sebenar dan alam imej yang palsu.

Fungsi asal mata sebagai deria untuk melihat yang nyata, kini dikelirukan melalui dua pendekatan virtual reality dan augmented reality yang kebanyakannya berbentuk permainan. Namun, tanpa kita sedari, selama mana kita berada di alam ciptaan itu, kita akan berada dalam situasi immerse ~ tenggelam. Tenggelam juga boleh membawa makna lemas. Ertinya, lemas dan tidak berdaya mencari daratan nyata. Orang lemas itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana segala pancainderanya sudah lesu.

Maaf cakap… jika seseorang yang bermimpi buruk itu tidak dapat berbuat apa-apa kerana rohnya diheret ke sana ke mari dalam tidur, apakah tidak, permainan virtual reality dan augmented reality ini membawa sama roh kita ke sana ke mari dalam sedar?

Jika virtual reality itu sesuatu yang tidak ada, tetapi dibuat-buat seperti ada, dan augmented reality itu sesuatu yang ada tetapi dilapisi dengan sesuatu yang tiada, bukankah kedua-duanya itu punyai unsur-unsur ghaib? Dalam permainan yang menggunakan virtual reality dan augmented reality ini, kita boleh melihat sesuatu yang ghaib.

Apakah juga apabila kita asyik dengan alam ghaib di dunia nyata melalui permainan minda ini kita boleh terlupa untuk mempelajari apa yang terkandung alam ghaib yang sebenar?

Bukankah alam barzah dan alam akhirat itu alam-alam ghaib yang perlu kita ketahui dan sentiasa terpasak dan terpasang dalam menjalani kehidupan ini? Jangan nanti bila terpesona dengan keghaiban ciptaan manusia, kita tidak punyai ilmu untuk menghayati dan menjiwai alam-alam ghaib yang kita bakal temui kelak.

Bersediakah kita berdepan dengan keghaiban yang sepatutnya kita ketahui dan pelajari apabila hijabnya tersingkap? Jangan lupa, alam ghaib itulah yang akan menjadi realiti buat diri kita nanti.