TATKALA menjalankan tugas, saya bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Biasa juga berdepan dengan berbagai kerenah dan bersemuka dengan bermacam tahap pemikiran.

Saya selalu bertemu dengan anak muda yang pandai berhujah dan terjumpa juga dengan orang berusia yang bercakap macam budak-budak.

Kesemuanya membuat saya pelik dan mula mengerti akan kata-kata orang dahulu, kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.

Kadangkala saya berurusan dengan orang yang nampak selamba dan toya. Tetapi bila bercakap, ayat-ayatnya tersusun bagai sebuah teks ucapan yang betul nahunya.

Ada ketikanya saya bercakap dengan individu yang tampak hebat lagi berpersonaliti. Bagaimana pun, apabila bertukar pendapat, kata-katanya begitu klise, yang saya pernah dengar di mana-mana.

Mengapa terjadi begitu? Mengapa usia itu tidak dapat mencerminkan tahap pemikiran seseorang?

Bukankah sedari kecil, apabila seseorang itu memasuki tadika, dia dilatih untuk mengenal abjad dan hafal turutan nombor? Lazimnya hampir kesemua daripada mereka dapat mengenal dan menghafal abjad dan nombor-nombor itu.

Menginjak ke darjah satu, dua, tiga dan seterusnya… kesemua pelajar mendapat ilmu yang sama. UPSR menjadi pengukur tahap pemahaman mereka. Apabila memasuki sekolah menengah, ada pula PT3, SPM, STPM dan pelbagai peperiksaan yang menyeragamkan kesemua kefahaman para pelajar secara setara.

Di universiti pula, walaupun masing-masing mengambil jurusan yang berbeza, mereka kesemua akhirnya mempunyai kemahiran asas berfikir yang hampir serupa.

Mereka terlatih dalam pemahaman dan kefahaman, berfikiran secara kritikal, menyelesaikan masalah, mentafsir, menganalisis dan merumus. Jadi, secara asasnya, apabila mereka keluar dari menara gading, masing-masing mempunyai aras pemikiran yang setara.

Sistem pelajaranlah yang menyelaraskan tahap pemikiran para pelajar mengikut usia. Sukatan pelajaran yang tertentu telah membentuk dan menjadi acuan agar kesemua mereka yang belajar hingga ke tahap universiti akan mempunyai satu aras pemikiran yang setara.

Jadi, mengapa juga kita akan terjumpa para pensyarah yang boleh tertipu dalam skim yang palsu? Mengapa kita temui ahli-ahli politik yang berhujah dengan alasan-alasan yang kartun?

Bagaimana pula kita temui ahli perniagaan yang membina empayar dengan cara menipu dan tidak dengan cara menggembleng pemikiran intelektualnya untuk memperoleh untung?

Setelah merenung, saya cenderung untuk mengatakan bahawa sebahagian besar mereka yang telah tamat zaman pendidikan masing-masing telah membuang buku jauh-jauh dari diri mereka.

Pendek kata, mereka tidak lagi mahu atau suka membaca. Keterujaan untuk menimba ilmu sudah tiada lagi dalam kamus hidup mereka. Akhirnya, usia mental mereka telah terhenti sebaik sahaja mereka mendapat segulung ijazah.

Keseronokan mencari ilmu sudah hilang dari sanubari mereka. Mata mereka lebih meliar bila berkunjung ke butik pakaian kerana riang melihat pelbagai jenis pakaian.

Mereka terlalu seronok menatap menu sajian di restoran. Tetapi ramai ibu bapa yang bertahap intelektual hanya membelek majalah di gedung-gedung buku sementara menanti si anak mendapatkan novel siri kegemarannya.

Keinginan untuk menambah ilmu sudah mati. Bila usia semakin lanjut dan ilmu tidak bertambah, otak yang ada semakin berkarat. Ia mudah lemah bila tidak diberi santapan minda berupa bahan-bahan bacaan.

Akibatnya, sebilangan besar daripada mereka membuat keputusan hidup bersandarkan dengan apa yang orang lain lakukan. Bukan hasil dapatan original diri sendiri hasil dari bahan bacaan yang lain daripada orang lain.

Kita berdepan dengan masyarakat yang lemau pemikiran. Jika mereka setuju pada sesebuah pandangan, mereka akan mengulas balik apa yang mereka perolehi secara bombastik dan berlebih-lebihan umpama burung kakak tua.

Sebaliknya jika mereka tidak setuju dengan sesebuah pendapat,  mereka bukannya memberi pandangan yang kontra terhadap pendapat itu. Sebaliknya, membelasah si pemberi pendapat itu sekali!