PEMERKASAAN anak muda Permatang Pauh adalah salah satu tunjang komitmen saya terhadap bumi bertuah ini.

Sebagai langkah pertama, saya bertekad untuk memperkukuh pembentukan peribadi para remaja dan belia Permatang Pauh dengan usaha penjenamaan semula Yayasan Aman, yang diasaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1983.

Melalui perencanaan baharu ini, inisiatif menggilap bakat keusahawanan dan kepimpinan anak muda, aktiviti keilmuan dan intelektual bakal dikembangkan secara meluas.

Saya juga komited mempertingkatkan tahap pencapaian akademik anak-anak Permatang Pauh, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan. Program tuisyen percuma Penang Pintar yang diusahakan sejak Februari 2018 tertumpu pada golongan terbabit, dengan penglibatan 120 pelajar secara keseluruhan (44 pelajar sekolah rendah, dan 76 pelajar menengah rendah).

Cabaran yang dihadapi anak-anak Permatang Pauh, khususnya para remaja dan belia yang gagal mendapat pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan dan pendapatan yang setimpal akibat kegagalan dasar Barisan Nasional (BN) perlu diatasi sewajarnya.

Tentunya, institusi pendidikan yang merupakan tunjang pembinaan masa hadapan wajar diperkasa bagi mencorak peribadi holistik dan kualiti kehidupan yang bermutu buat anak muda.

Penjenamaan semula Yayasan Aman khususnya, pasti akan memberi nafas baharu pada anak-anak Permatang Pauh. Institusi bukan kerajaan ini telah banyak memberi peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik untuk mendapat pendidikan yang saksama. Setelah hampir tiga dekad menabur bakti, Yayasan Aman harus kekal bermanfaat dan menjadi nadi pendidikan yang berkualiti dan mapan.

Antara kejayaan Yayasan Aman yang saya hargai adalah program Jom Baca Penanti, anjuran bersama Yayasan Aman dan Projek Iqra’. Pada tahun 2016, program ini berjaya membantu kira-kira 107 anak-anak Pulau Pinang yang tercicir dan tidak menguasai asas membaca dan menulis.

Tindakan mulia membantu anak-anak antara tujuh hingga 16 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah harus disanjung dan diteruskan dengan kaedah dan capaian yang lebih besar.

Penjenamaan Yayasan Aman dan program Penang Pintar yang sedang berlangsung kini melambangkan kasih saya buat warga Permatang Pauh, untuk memastikan anak-anak sentiasa cemerlang dalam akademik dan bersahsiah tinggi.

Sepenuh tenaga dan fokus diberikan untuk menyediakan sumber bermutu, model pendidikan terbaik serta tarbiah amali supaya anak-anak Permatang Pauh berjaya menghadapi cabaran hidup duniawi dan ukhrawi.

Anak muda merupakan aset negara. Justeru, saya mahu potensi dan bakat anak muda Permatang Pauh digilap dengan latihan kemahiran yang berterusan agar matlamat tersebut dapat dicapai.

Dengan kerjasama semua pihak (termasuk Yayasan Aman), saya yakin usaha menyediakan anak-anak Permatang Pauh untuk berdepan perubahan yang selari dengan peredaran zaman dapat dilaksanakan dengan tersusun dan terkawal.

*YB Nurul Izzah Anwar, calon P.044 Parlimen Permatang Pauh, Naib Presiden Keadilan