SEBAIK sahaja roh ditiup ke tubuh, maka perjalanan hidup kita pun bermula. Degup jantung, pembentukan tubuh dan organ-organnya, tulang, daging dan urat-urat terus terbentuk sebagai persediaan untuk kita menjenguk melihat dunia.

Kita lahir terlungkup,  terbaring, mengiring, meniarap hingga akhirnya kita dapat merangkak, berdiri dan bertatih. Ibubapa gembira melihat langkah kita yang pertama dan makin seronok apabila kita pandai berlari.

Kita sendiri turut gembira apabila dapat berlari apabila mengejar dan dikejar. Kerap juga kita tersadung dan terjatuh mahupun terhantuk lalu tergolek. Itulah pengajaran awal diri ~ bahawa perjalanan hidup yang bakal dilalui nanti akan disulami jatuh dan bangun yang silih berganti.

Betapa pun, seperti tumbesaran diri, perkembangan yang kita lalui begitu perlahan seperti detik saat jam. Ia memakan masa bertahun-tahun. Sesungguhnya ia adalah sebuah perjalanan; bukannya matlamat.

Perjalanan hidup itu juga memaksa kita untuk bergerak. Seolah-olah kita sedang berada di sebuah walkalator. Jika kita berdiam diri tidak mahu ke depan,  ia akan mengundurkan kita ke belakang. Seperti juga sedang berada di sebuah eskalator yang sedang menurun; jika kita tidak melangkah untuk naik, kita akan menggelongsor ke bawah.

Justeru itulah, adat dalam kehidupan memerlukan untuk kita bergerak. Pastinya bergerak ke hadapan atau mendaki untuk sampai ke puncak. Kerana, bergerak ke hadapan itu menunjukkan kemajuan. Kemuncak pula adalah simbol kejayaan dalam sebuah perjalanan.

Betapa pun, perjalanan hidup itu juga penuh dengan selekoh. Sebab itu kita tidak boleh jangka apa yang mendatang. Kita hanya boleh mengagak apa yang bakal muncul di depan mata. Namun, melalui kebiasaan, kita mula belajar membaca pola kehidupan lalu membuat agakan.

Sekali, dua kali, tiga kali agakan kita benar-benar betul, maka jangan pula kita menganggap diri sudah mahir untuk membuat pelan kehidupan. Kerana, tiba-tiba apabila agakan kita tidak tepat dan jangkaan kita tidak menjadi, kita akan tersasar dan tersungkur pula.

Pada ketika itulah baharu kita ingatkan ALLAH. Baharu sedar ALLAH itu tetap ada dan sentiasa menguji. ALLAH memberi kita ujian dalam kehidupan bukannya kerana ALLAH hendak tengok bagaimana kita menanganinya. Sebaliknya, ujian itu ALLAH berikan kepada kita supaya kita sendiri dapat melihat bagaimanakah kita menghadapi ujian itu sendiri.

Beruntunglah andainya kita dapat hadapi sesebuah ujian itu dengan tenang lagi rasional. Merugilah pula seandainya kita panik dan kalut hingga silap dalam bertindak hingga merugikan diri sendiri daripada segi jangka panjang.

Justeru itu, dalam perjalanan hidup ini, apakah yang kita mahu? Apakah kita mahu aman sejahtera tanpa pelbagai ujian hingga kita lembik dan lembam apabila masalah besar tiba? Ataupun apakah mahukan masalah datang bertimpa-timpa agar kita menjadi kuat semangat dalam menghadapi segala rintangan?

Orang kata, musuh jangan dicari. Begitulah juga, masalah jangan difikir-fikirkan hingga kita bersikap negatif. Biarlah masalah itu datang dengan sendirinya kerana itulah adat kehidupan. Sentiasalah awas apabila keadaan sejahtera dan aman damai. Tetapi layanilah masalah seadanya apabila ia sampai dengan fikiran bahawa ia akan dapat diselesaikan.

Bukankah kita telah pun mengatasi segala masalah yang mendatang selama ini? Jika tidak, bagaimana kita boleh bernafas hingga ke hari ini?  Lagi pula, sedari kecil, bukankah kita telah mengalami jatuh bangun secara fizikal sebagai persediaan untuk menghadapi jatuh bangun daripada segi mental dan spiritual?

Skrip kehidupan bagi setiap insan itu berbeza. Meskipun ada yang serupa, cara individu menanganinya itu sendiri akan mengubah natijahnya. Malangnya, kita semua diasak dengan pemikiran yang mendatar iaitu untuk melihat kejayaan dan kegagalan melalui sukatan material.

Lagi banyak seseorang itu berharta, tafsirannya ialah dia sudah berjaya. Ramai yang kian terlupa bahawa terdapat juga kejayaan mental dan spiritual. Sebab itulah, orang yang punyai tiga empat kedoktoran falsafah itu tidak dianggap berjaya kerana dia tiada harta berjuta ringgit.

Seorang hafiz yang berwajah jernih dan tenang itu dilihat belum berjaya kerana tiada wang berkepuk-kepuk di dalam almari. Padahal, bukan senang mendapat keizinan ALLAH sebagai penyimpan juzuk-juzuk al-Quran di dalam dadanya. Dia sebenarnya kaya-raya kerana dalam dirinya mengalir satu-satunya mukjizat di akhir zaman.

Kita semua datang dari sebuah tempat yang indah. Bila dilahirkan, kita bertebaran untuk mengembara dan mencari apa yang diingini di dunia yang fana ini. Kita kena sentiasa ingat bahawa perjalanan di dunia hanyalah sebahagian daripada jalan yang perlu direntasi.

Tiba waktunya kita akan dipanggil ke tempat yang indah itu kembali. Itupun, seandainya kita memilih jalan yang diredai, iaitu sebuah jalan yang lurus. Mencari jalan yang lurus itulah yang sukar kerana di dunia ini mana ada jalan yang lurus dari hujung hingga ke pangkalnya? Carilah ia nescaya tidak akan ditemui kerana jalan yang lurus itu hanya ada di hati!

* Norden Mohamed ialah Penasihat Grup Buku Karangkraf