ISTILAH ‘jodoh’ lazimnya dikaitkan dengan  soal pasangan lelaki dan perempuan dalam konteks perkahwinan. Jarang sekali kita fahami istilah  jodoh ini dalam erti kata yang lebih luas. Kamus DBP menjelaskan, jodoh itu mempunyai tiga maksud iaitu mengenai pasangan hidup, pasangan bagi benda dan juga membawa maksud sesuai atau secocok.

Maknanya jodoh itu berkait rapat dengan manusia, benda dan juga situasi. Justeru itu, jodoh tidak semestinya mengenai perkahwinan sepasang lelaki dan perempuan. Malah, jodoh boleh digunakan dalam konteks persahabatan ~ kita sekepala, sebulu, sepasukan ngam dan geng dengan seseorang.

Ia boleh juga diguna dalam konteks perniagaan. Apabila syarikat A bersetuju untuk bekerjasama dengan syarikat B, mereka menandatangani memorandum persefahaman. Kemudian kedua-dua syarikat ini mengadakan usaha sama atau joint-venture. Barangkali akhirnya syarikat A dan syarikat B bergabung menjadi sebuah entiti perniagaan yang dikenali sebagai syarikat A & B, misalnya.

Maknanya, jodoh dalam konteks yang lebih luas ini sangat penting. Apabila kita bekerja di sesebuah tempat, kita berasa selesa kerana punyai rakan sepejabat yang saling memberi kerjasama, membantu tatkala kita hendak menyiapkan tugas, menjadi teman makan, boleh bergurau senda dan perhubungan itu membawa kepada jalinan sesama keluarga di luar waktu kerja.

Begitu juga, apabila kita memasuki sesebuah persatuan, kita dikira punyai jodoh di dalam persatuan itu apabila kita saling sokong menyokong dalam mengadakan aktiviti, sentiasa mencari masa terluang untuk hadir menjalankan sesebuah program dan sama-sama menyelesaikan apa jua masalah yang timbul.

Jodoh dengan jiran pula ialah saling tegur menegur, memberi ruang rumah sendiri untuk kenduri-kendara, seluruh isi keluarga dilayani seperti keluarga sendiri, saling membantu dalam kesusahan dan sama-sama bergembira apabila salah seorang anggota keluarga jiran kita mendapat sesuatu kejayaan.

Jodoh kita dalam konteks persahabatan pula amat unik. Masing-masing mungkin berpuluh tahun tidak bertemu. Namun, apabila berjodoh dalam persahabatan itu, kita bersusah payah menghadiri majlis perkahwinan anaknya walaupun ia diadakan jauh beratus kilometer.

Kita senang hati mengajaknya bermalam andainya dia tersesat ke tempat kita. Dan, kita akan menziarahi dia apabila mendapat berita yang dia memasuki hospital. Pendek kata, apa jua hal di antara kita yang melibatkan hal individu atau kumpulan dalam hal ehwal persahabatan, kejiranan, pejabat dan persatuan, ia adalah mengenai soal jodoh.

Justeru itu, jodoh itu adalah salah satu faktor perhubungan manusia yang mustahak. Buat apa mencari kawan yang tidak sekepala, mencari kerja yang membuat kita saban hari berniat untuk berhenti kerja, berpersatuan tetapi sentiasa berbalah dan berjiran tetapi tidak bertegur sapa?

Sebaliknya, kita mahu kawan yang jadi sahabat, tempat kerja yang kita anggap sebagai rumah kedua, persatuan yang sejiwa memperjuangkan sesuatu misi secara kumpulan dan jiran yang seperti saudara.

Mengapa kita entengkan hal jodoh dalam perhubungan manusia? Perasan tak, oleh kerana kita tidak memasang niat lalu memupuk dan mempertahankannya sepertimana jodoh kita dengan pasangan, maka kita punyai masalah di dalam jodoh kita di pejabat, jiran, persatuan dan juga persahabatan.

Hampir semua daripada kita tahu mahupun faham cara mencari jodoh pasangan. Ada banyak sumber ilmunya. Ada ceramah, buku, drama TV, saudara mara dan kawan-kawan yang boleh dijadikan sumber rujukan. Tetapi, bagaimana hendak mencari jodoh dalam pekerjaan, persahabatan, kejiranan dan persatuan?

Saya teringat konsep Prinsip Mastermind yang diutarakan oleh Napoleon Hill dalam bukunya Think and Grow Rich pada tahun 1937. Buku yang saya tatap pada tahun 80an itu menyebut, ‘Prinsip Mastermind itu adalah koordinasi pengetahuan dan usaha di antara dua atau lebih manusia untuk sesuatu tujuan dalam semangat harmoni. Dua minda akan bergabung menghasilkan tenaga sebuah minda ketiga yang dikenali sebagai mastermind.

Kesimpulannya, keharmonian fikiran akan membentuk sebuah tenaga yang menghasilkan pemikiran baharu yang dinamakan sebagai Mastermind. Iya. Apabila kita mahu jodoh kita panjang dengan mana-mana individu lain, yang penting kita mesti sama-sama mempunyai keharmonian fikiran.

Dalam bahasa mudahnya, kita mestilah sekepala dengan orang lain. Untuk sekepala, kita mestilah bertimbang rasa, bertoleransi, saling menghormati idea dan pemikiran orang lain. Kita tidak boleh hanya setuju pada sesuatu apabila ia menguntungkan kita. Ataupun memandang remeh mahupun mengekang pada pemikiran selain daripada apa yang kita setujui.

Seandainya itu berlaku, maka jodoh kita dengan mana-mana pihak yang lain tidak akan panjang. Kita lihat ada banyak kes mereka yang berhenti atau diberhentikan kerja, pergaduhan sesama jiran, kawan makan kawan dan rakan sepertubuhan politik berpatah arang. Kita kenalah merenung… jodoh kita selain dengan pasangan juga penting demi keharmonian hidup.