SAYA amat sedih dengan berita kemalangan jiwa yang membabitkan doktor dalam latihan, Allahyarham Dr Nurul Huda Ahmad yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika memandu pulang pada 9 Mei lalu.

Laporan berita mengaitkan kemalangan ini berikutan keletihan beliau setelah bertugas selama 33 jam. Perkara ini amat merunsingkan kerana ini bukan kes baharu, malah nasib serupa menimpa Allahyarham Dr Adidah Mohd Ghazi tidak lama dahulu.

Sesungguhnya memang tidak masuk akal untuk seseorang itu diarahkan bekerja selama lebih 24 jam tanpa henti.

Saya terkesan dengan tempoh bekerja dalam tempoh yang begitu. Saya menjadi saksi semasa zaman kanak-kanak sehingga meningkat remaja, mama sendiri pernah tergolong dalam kalangan individu yang terpaksa bekerja lebih 24 jam.

Mama merupakan graduan Royal College of Surgeons di Ireland dan setahu saya, beliau terus bertugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebagai oftalmologi atau pakar mata sebaik pulang ke tanah air.

Mama, selaku pelajar cemerlang penerima anugerah emas obstetrik dan ginekologi, tetapi ia tidak bermakna mama dapat bersenang-senang apabila mula bekerja.

Saya masih ingat semasa kecil, ketika mama terpaksa bergegas menghadiri tugasan syif di hospital.

Tetapi kerja mama tidak habis walaupun sudah pulang ke rumah kerana masih banyak tugasan menjaga keenam-enam anak mama.

Saya sering juga ke PPUM mungkin juga kerana rumah dan sekolah saya, SMK Assunta pun tidaklah jauh dari tempat mama bekerja.

Mama hanya berhenti kerja selepas 14 tahun berkhidmat di PPUM dan ketika itu, saya masih menuntut di sekolah menengah.

Adik-adik saya masih kecil dan papa pula semakin sibuk dalam bidang politik setelah dilantik jadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Ternyata, mama terpaksa membuat pilihan antara kerjaya atau keluarga memandangkan mama perlu menguruskan adik-adik yang masih bersekolah rendah. Namun, mama tetap melapangkan sekali seminggu selaku sukarelawan di PPUM.

Apakah status manusiawi negara kita apabila bebanan doktor 24 tahun lalu masih berlarutan sehingga hari ini.

Ternyata, kemajuan teknologi dan peruntukan ‘besar’ Kerajaan Persekutuan salurkan kepada sistem penjagaan kesihatan kita dalam tempoh dua dekad ini tidak mampu mengubah nasib komuniti perubatan sehingga ke tahap yang sepatutnya.

Menurut kenyataan bersama NGO-NGO perubatan Malaysia yang diterbitkan media tempatan pada 13 Mei lalu, selepas waktu tugasan wajib 24 jam, kebanyakan doktor perlu meneruskan tugas selama 4 hingga 10 jam lagi. Tekanan di hospital ditambah dengan waktu tugasan yang panjang di luar kewarasan tentunya tidak mampu kita bayangkan! Apatah lagi terima secara berterusan.

Negara Eropah sudah lama melaksanakan Arahan Waktu Bekerja Eropah (European Working Time Directive) di mana di bawah arahan ini, doktor hanya dibenarkan bekerja selama 48 jam seminggu dan perlu mendapatkan rehat yang mencukupi sebelum on-call pada waktu malam.

Begitu pun, peraturan ini bukan sempurna kerana ada laporan yang menyatakan bahawa ia mengakibatkan UK berhadapan dengan kekurangan doktor pada satu-satu masa.

Tetapi sekurang-kurangnya mereka cuba untuk melakukan sesuatu untuk mengelak kejadian seperti mana yang menimpa Allahyarham Dr Nurul Huda Ahmad dan Allahyarham Dr Adidah Mohd Ghazi daripada berlaku.

Kementerian Kesihatan harus bertindak segera mengkaji masalah ini.

Perkara pertama yang boleh dilaksanakan segera ialah melaksanakan cuti wajib bagi doktor yang ditugaskan pada syif malam. NGO-NGO perubatan Malaysia dalam kenyataan mereka juga ada mengesyorkan cadangan untuk menyediakan kenderaan kepada doktor-doktor yang bertugas agar mereka tidak lagi perlu memandu pulang ke rumah setelah bekerja dalam tempoh luar biasa panjang.

Ini secara logiknya lebih selamat berbanding membiarkan doktor-doktor memandu sendiri setelah bertugas lebih 33 jam.

Kita mahu Malaysia bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi cakna dari segi manusiawi setanding dengan negara maju lainnya. Bermulalah dengan dasar sektor perubatan yang lebih prihatin!