SEHINGGA kini, jumlah pelarian etnik Rohingya yang menyeberangi sempadan Myanmar untuk masuk ke Bangladesh sudah melebihi setengah juta.

Mengikut laporan media, jumlah mereka akan bertambah. Keadaan ini kian menyulitkan usaha mengatur bajet bantuan kemanusiaan. Belum pun jumlah sebenar dibanci, mereka yang baru tiba dari  Myanmar semakin meningkat.

Jika kita perhatikan, pelarian etnik Rohingya ini bagai ayam kehilangan ibu. Mereka berjalan mengikut yang di hadapan. Berminggu-minggu mereka merentas hutan dan menyeberangi sungai dan akhirnya dapat membolos sempadan.

Soalnya, sebaik sahaja tiba mereka ke tanah Bangladesh, mereka disambut petugas-petugas kemanusian di kalangan pasukan NGO yang terdapat di sana.

Tiada sesiapa pun dari kalangan mereka sendiri yang tampil untuk memberi kata-kata penenang hati, kata-kata nasihat, apatah lagi kata-kata semangat agar mereka tahu bahawa mereka hanya lari buat sementara.

Ucapan-ucapan bahawa suatu hari nanti, mereka akan kembali ke tanah tumpah darah mereka. Itulah harapan yang tersemat di hati sesiapa yang meninggalkan tanah tumpah darah masing-masing secara paksa.

Lihatlah wajah-wajah layu mereka. Kita nampak mereka kesemuanya kebingungan. Tak tahu apa nak buat kerana tiada pemimpin di kalangan mereka.

Inilah bezanya golongan teraniaya Rohingya dengan lain-lain golongan yang teraniaya. Rakyat Palestin yang tertindas punyai pemimpin agung mereka seperti Yasser Arafat ataupun Sheikh Ahmad Yassin.

Rakyat Afrika Selatan yang berdepan dengan dasar apartheid juga punyai pemimpin agung iaitu Nelson Mandela. Kemudian, pemimpin-pemimpin seperti Mahatma Ghandi (India), Che Guevara (Cuba), Ayatollah Khomeini (Iran) dan Aung San Suu Kyi sendiri untuk negara Burma.

Etnik Rohingya tiada pemimpin besar yang boleh menjadi ikon; penyuluh masa depan dan pembara semangat mereka. Saya menelusuri laman-laman mengenai golongan itu dan tiada menemui walau seorang pemimpin besar yang boleh mewakili kaumnya.

Masya-ALLAH tiada! Itulah padah dan kasihannya jika sesuatu kaum itu tiada pemimpin.  

Tatkala menyertai forum mengenai Rohingya di UNiMAP minggu lalu, saya utarakan persoalan ini kepada panel forum Prof Madya Dr Iqbal Omar, yang juga daripada etnik Rohingya.

Beliau mengakui ketiadaan pemimpin besar di kalangan mereka yang boleh menjuarai perjua-ngan membela nasib anak bangsa. Sesungguhnya keadaan ini amat unik dan juga malang. Kita patut renungkan realiti ini.

Kita yang berada di Malaysia pula, punyai jumlah para pemimpin yang melimpah ruah. Kita ada pemimpin di peringkat kampung, mukim, daerah, negeri dan juga negara.

Malah, setiap bangsa, kaum dan suku pun punyai pemimpin yang tersendiri. Namun, meskipun punyai begitu ramai pemimpin, semakin ramai juga mereka yang berebut untuk menjadi pemimpin.

Mahu atau tidak mahu, suasana over-politiking di negara kita juga menggambarkan betapa sengitnya pertarungan mereka yang ingin menjadi pemimpin kerana kita punyai jumlah pemimpin yang ramai.

Dari sudut ini, kita berasa bertuah sekali kerana masa depan kita bakal terbela untuk seribu tahun lagi! Silap-silap, kitalah sesuatunya bangsa yang punyai lebih ramai pemimpin daripada pengikut!

Namun, menjadi pemimpin itu sendiri bukannya matlamat. Pemimpin perlu bertanggungjawab, bukan bertanggungsoal! Pemimpin, tugasnya mencari jawapan kepada masalah pengikutnya.

Mereka tidak patut mempersoal pengikut mereka pula seperti sebilangan daripada kalangan pemimpin kita!

Pemimpin yang begini sebenarnya tidak menyumbang kepada masa depan para pengikutnya. Malah, mereka pula menyusahkan para pengikut mereka.

Oleh itu, tiada gunanya punyai pemimpin yang ramai tetapi bukan untuk membela sebaliknya menipu pengikut.

Jika sedemikian, apa bezanya etnik Rohingya yang tiada pemimpin yang baik dengan kita yang punyai ramai sekali pemimpin tetapi ada yang tergamak memijak golongan yang mereka pimpin!

Betapa pentingnya pemimpin itu kepada sesuatu bangsa seperti juga pentingnya pengikut kepada seseorang ketua. Ilmu dan sains kepimpinan mesti menjadi suatu subjek yang wajib dipelajari dan diajar di mana-mana sekolah.

Ia bukannya bakat yang boleh muncul begitu-begitu sahaja kerana cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh seseorang pemimpin itu bukannya mudah.

Jangan tiada pemimpin seperti etnik Rohingya. Jangan pula over-over ramai pemimpin seperti di Malaysia!