JAKARTA adalah kota yang tidak tidur. Dengan keluasan 661.52 kilometer persegi dan dihuni sekitar 10 juta orang, ia merupakan kawasan metropolitan yang terbesar di Indonesia dan kedua terbesar di dunia.

Seperti penduduknya yang 'tidak tidur', tempat makan juga begitu. Berhenti dan lelah bekerja, carilah tempat makan. Bagi anak muda, tempat makan bukan sekadar mengisi perut, tetapi juga tempat bersembang bersama-sama teman dan kenalan.

Jakarta merupakan kota besar. Keluasannya membahagi kepada Jakarta Pusat, Jakarta Utara, Jakarta Barat, Jakarta Timur, Jakarta Selatan dan Kepulauan Seribu. Kota tua ini terletak di bahagian Barat Laut Pulau Jawa. Dahulunya, Jakarta pernah dikenal dengan nama Sunda Kelapa (sebelum tahun 1527), Jayakarta (1527-1619), Batavia, atau Jacatra (1619-1942), dan Djakarta (1942-1972).

Dengan jumlah penduduk yang padat, peluang meraih rezeki dalam industri kulinari berpotensi menjanjikan pendapatan lumayan. Namun begitu, jumlah pengusaha makanan juga ramai. Dari restoran hotel bertaraf lima bintang sehinggalah di pinggiran jalan, semuanya menyediakan ruang menikmati makanan yang menyelerakan.

Rekomendasi atau ulasan tempat makan di Jakarta pun banyak diceritakan di media; baik cetak, elektronik dan pelbagai media internet. Lihat sahaja di YouTube, ia menjadi penilai kesedapan makanan di Jakarta.

Kekerapan masa berada di sini, sudah tentu ada keperluan untuk membiasakan diri makan dengan “lidah Jakarta”. Bagaimanapun, tentulah tidak sama antara sate Sungai Besar dengan sate Jakarta sungguhpun asal-usulnya tetap sama.

Mahu makan apa di Jakarta? Semuanya ada. Tanyalah selera dan juga tepuklah poket.

Pengaruh makanan dari luar negara juga ada di Jakarta. Dari makanan Jepun seperti sushi dan tempura hinggalah makanan dari Korea seperti kimchi, ramen, japchae, dan banyak lagi. Semuanya terhidang di sini. Begitu juga makanan daerah seperti masakan khas Betawi, makanan khas nasi Padang, Sunda, makanan khas Acheh juga Lombok dan banyak lagi. Apa-apa sahaja yang anda mahu, semua tersedia di Jakarta.

Namun demikian, penduduk Jakarta tetap setia pada jenama tinggi yang sudah tentunya mi segera Indomie. Jenama milik Soedono Salim (Liem Sioe Liong), mula dilancarkan pada 9 September 1970. Produk ini menembusi pasaran Asia Tenggara, Amerika Syarikat, Eropah, dan Afrika.

Walaupun ada jenama mi segera lain yang muncul di pasaran, pengguna akan menggelarnya dengan “Indomie” juga. Jenama ini sudah sinonim dan ibarat menjadi persetujuan awam merujuk pada mi segera di Jakarta.

Faktanya, kita boleh menemui produk Indomie di mana-mana. Harganya yang murah, cepat disediakan dan cita rasa mengikut daerah menyebabkan produk mi segera ini begitu diminati. Bahkan mi ini menjadi bahan makanan utama jika berlaku bencana besar di Indonesia. Ia boleh sahaja disediakan dalam bentuk mi kuah ataupun mi goreng.

Tidak keterlaluan juga jika saya katakan jenama ini cukup sebati dengan sebahagian warga Indonesia. Mereka menikmati Indomie ketika sarapan, makan tengah hari, kudapan dan makan malam.

Walau bagaimanapun, persoalan makanan halal memang menjadi isu sensitif pengunjung dari Malaysia. Mereka mempunyai persepsi... yang bersongkok belum tentu lagi Muslim. Ini menyebabkan mereka kerap waswas apabila makan di Jakarta. Realitinya, setiap restoran asing, rumah penyembelihan, perniagaan katering, penyediaan ubat, dan kosmetik perlu memperoleh pensijilan halal.

Pensijilan halal dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI) dengan pematuhan terhadap Halal Assurance System / HAS 23000 sebagai pensijilan standard halal. Pensijilan ini adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pengkajian Pangan Obat obatan dan Kosmetika, Majelis Ulama Indonesia (LPPOM MUI). Penubuhan badan ini adalah inisiatif Republik Indonesia setelah isu lemak babi yang melanda pada 1988.

Saya gemar meneroka tempat makan di Jalan Pecenongan, Jakarta Pusat. Pada waktu siang, lokasi tempat makan ini sebagaimana jalan-jalan lain di Kota Jakarta yang tetap macet. Apabila lewat petang sehingga malam, ia berubah menjadi tempat makan yang menawarkan pelbagai jenis makanan di sepanjang jalan.

Tempat makan Pecenongan mula dibuka pada tahun 70-an merupakan syurga makanan bagi penggemar makanan Cina seperti bubur Kwantung, makanan laut, nasi goreng, mi goreng, martabak, nasi uduk Batawi, nasi Padang, dan banyak lagi.

Saya menggemari martabak Indonesia. Jika di Malaysia, biasanya dipanggil apam balik. Cuma martabak ini mempunyai pelbagai variasi menu seperti coklat, teh hijau, keju dan macam-macam lagi. Martabak Pecenongan sudah menjadi ikon pelancongan di sini. Tidak lengkap kalau ke Pecenongan jika tidak merasai martabak ini.

Penduduk yang ramai dengan variasi makanan mengundang industri lain untuk berkembang sama. Khidmat penghantaran makanan menjadi peluang pekerjaan baharu di Jakarta. Ini sekali gus mengubah landskap perniagaan makanan di sini.

Jika malas ke lapangan, anda boleh memesan makanan dengan khidmat penghantaran makanan.

Perang antara pengusaha penghantaran makanan di Jakarta ialah antara Go-Food dan Grabfood. Go-Food yang dilancarkan pada April 2015, merupakan merupakan sebahagian daripada perniagaan Go-Jek, khidmat motor berbayar yang membawa penumpang. Kini pemandu Go-Jek memperluaskan khidmat mereka dengan menghantar makanan pula.

Go-Jek beroperasi di 127 buah kota di Indonesia dan bekerjasama dengan 250,000 buah gerai makanan.

Sebuah pengusaha penghantaran makanan ialah Grabfood, syarikat dari Malaysia yang mengasaskan Grabcar. Syarikat yang ditubuhkan pada Mei 2016, sudah menjangkau ke 126 buah kota di Indonesia. Kedua-dua syarikat ini bersaing untuk memperoleh langganan daripada 10 juta pengguna yang telah mengubah cara hidup makan dengan memesan melalui pengusaha penghantaran makanan.

Pengusaha penghantaran makanan bekerjasama dengan restoran penyedia makanan dari hotel mewah bertaraf lima (5) bintang sehinggalah gerai di kaki lima (5).

Penduduk di Jakarta kini sudah berubah cara hidup. Mereka mahu mudah, meminimumkan waktu perjalanan dan tempoh menunggu memesan makanan. Ini menyebabkan perkhidmatan penghantaran makanan semakin popular. Bahkan para pengguna tidak dihadkan dengan pilihan menu satu-satu kedai sahaja.

Ternyata rehat di Jakarta dan menikmati puluhan rangkaian stesen TV, sambil menikmati kulinari Indonesia dari kamar hotel sahaja.

Sebenarnya, tidak puas untuk meneroka tempat makan di sini sahaja. Setahun hanya ada 365 hari. Jika kita setiap hari makan di kedai yang berbeza, ia sekadar melengkapi 365 buah kedai makan. Sedangkan di Jakarta mempunyai jutaan kedai makan yang lazat lagi menarik.

* Penulis ialah Associate Researcher di Jakarta