DALAM hidup, kita perlu memainkan pelbagai peranan. Peranan-peranan ini kita ketahui secara perlahan-lahan melalui pengalaman dan juga apabila ia diajar oleh ibu bapa mahupun guru.

Sewaktu kecil, kita diasuh sebagai anak. Ibu mengajar kita betapa perlunya kita menghormatinya. Kita diberitahu juga agar menghormati bapa. Tidak boleh melawan kedua-duanya kerana nanti dikatakan derhaka kepada mereka.

Kita juga belajar memainkan peranan sebagai adik, kakak mahupun abang menurut kedudukan kita. Di dalam keluarga, kita belajar mengenai mereka yang berpangkat datuk, nenek mahupun emak saudara. Mereka yang lebih tua perlu dihormati. Andainya tidak setuju, paling tidak pun tidak boleh melawan mereka.

Kemudian, kita belajar memainkan peranan sebagai kawan kepada anak-anak jiran tetangga. Kita juga mengenali mereka yang lebih tua di dalam keluarga jiran-jiran kita.

Melangkah ke alam persekolahan, kita belajar memainkan peranan sebagai murid kepada guru dan kawan-kawan rakan sebaya di dalam darjah. Begitu jugalah apabila menjejakkan kaki ke kolej. Semakin dewasa, perhubungan kita dengan manusia lain menjadi semakin kompleks.

Sebagai orang dewasa, kita memainkan pelbagai peranan dalam satu-satu hari. Di rumah kitalah suami atau isteri, bapa atau ibu.

Di pejabat, kita adalah orang bawahan bos besar, bos kepada pekerja bawahan dan juga berperanan rakan sekerja. Ketika membeli-belah, kita adalah pelanggan. Dalam komuniti, kita adalah ahli, makmum di surau dan jiran kepada jiran.

Memainkan peranan ini perlukan kemahiran. Semua ini perlu kita lakukan dengan penuh kesedaran. Daripada suatu segi, kita bagai seorang pelakon yang perlu berubah keperibadian demi menyesuaikan diri dengan keadaan.

Jika kita tidak menyedari peri pentingnya memainkan peranan ini, maka kita akan mudah mentertawa, malah mempersenda mereka yang kita nampak merobah penampilan. Seseorang pengurus yang kita ketahui garang akan dilihat lemah, malah berpura-pura apabila berdarling-darling di dalam telefon apabila bercakap dengan isteri.

Padahal, itulah peranannya di rumah ~ seorang suami yang romantik lagi penyayang.

Seorang anak yang petah di rumah, rupa-rupanya dilaporkan cikgu sebagai murid yang paling pendiam di dalam kelas. Ataupun, seorang ustaz yang dilihat sebagai seorang yang begitu alim di khalayak rupa-rupanya boleh berkejar-kejaran dengan anaknya di rumah.

Inilah kita semua. Apabila di dalam masjid, kita duduk bersila dengan tertib. Di kedai mamak, kita duduk di kerusi dengan sebelah kaki tersila. Di pejabat, kita duduk tegak dengan kedua-dua kaki di lantai.

Namun barangkali, kerana mahu bebas, kian ramai di antara kita sudah tidak menjaga peranan dengan menjaga perwatakan mengikut kesesuaian keadaan.

Di dalam kapal terbang, ada yang membaringkan kerusi hingga orang di belakang sukar hendak makan.

Di jalan raya, semakin melihat orang hendak melintas, semakin laju ditekannya minyak agar kita boleh meluncur dahulu.

Malah kini di laman-laman sosial, kita itu mengenepikan semenggah dengan menulis apa sahaja tanpa mempedulikan betapa orang lain menghormatinya di dunia nyata. Maknanya, kita menjatuhkan diri sendiri dengan kelakuan diri sendiri.

Pada hari ini, kian ramai di antara kita yang tidak boleh memainkan peranan dengan baik. Mustahil tidak tahu, kerana ia diasuh sejak kecil. Barangkali tidak mahu, kerana ingin bebas melakukan sesuatu mengikut sesuka hati.

Kini, apa yang terbetik di hati pun dilepaskan tanpa berasa segan dan silu dalam bentuk tulisan mahupun dalam bentuk visual-visual yang dihantar kepada kawan-kawan.

Dunia memanglah tanpa sempadan. Kita ini manusia yang perlu meletakkan had-had mengikut suasana dan keadaan. Lebih-lebih lagi agama memerlukan kita mengawal segala tingkah laku. Agama itu konsisten walau di zaman apa kita berada.

Apabila tingkah laku penuh berbudi bahasa dan berperwatakan yang menyenangkan sesiapa sahaja itu dipandang mulia, perangai yang kasar, buas, celupar dan laser itu tidak pernah menjadi sesuatu yang akan disanjung.

Malah, ia tidak pernah dicatat dengan markah yang baik oleh mereka yang di langit.

Pekalah dengan siapa kita berinteraksi. Padankan dengan kehendak suasana. Baharulah kita dilihat sebagai insan yang berketrampilan.