SHAH ALAM - Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya tertarik untuk menjawab kenyataan Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan AUKU ketika beliau menjawab soalan seorang peserta Konvensyen Integriti Nasional 2011 di PICC, Putrajaya, baru-baru ini.

“Are you ready for it? Kalau saudara kata yes, mengapa tidak? Mungkin kerajaan akan kata, kalau begitu kita tak perlu lagi akta ataupun pinda akta itu untuk memberi ruang supaya pelajar boleh membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kuasa perundangan,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kalau pelajar sudah kata, “saya tahu apa yang saya patut buat dan kerajaan tidak perlu bimbang, dan kami akan tumpukan sepenuh masa kepada pelajaran serta penglibatan dalam politik hanyalah untuk mengetahui apakah politik itu supaya mereka tidak terasing daripada perubahan semasa dalam negara,” soalan utama balik kepada mahasiswa.

“Kalau saudara kata kami sudah bersedia dan tak perlu kerajaan mengadakan sistem untuk perundangan kawalan, maka selepas ini kita akan katakan eloklah ia dikaji semula. Ini adalah pandangan secara kasar saya,” kata Muhyiddin.

Yang di Pertuanya, Mohd Syahid Mohd Zaini dalam satu kenyataannya berkata, jawapan yang berani dan mengkagumkan diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri namun, ianya sekadar retorik dan politik.

Menurutnya, jika ditanya kepada mahasiswa adakah mereka sudah bersedia atau tidak, saya selaku pimpinan mahasiswa akan menjawab "mahasiswa sudah lama bersedia untuk hidup tanpa AUKU".

“Persoalannya sekarang adakah kerajaan benar-benar serius untuk memansuhkan AUKU? Kita sedia maklum bahawa AUKU merupakan akta yang memang bercanggah dengan perlembagaan Malaysia. AUKU juga merupakan akta yang paling berbisa kepada Hal Ehwal Pelajar di kampus bagi mengekang kemaraan gerakan mahasiswa dalam memperjuangkan sesuatu isu.

“AUKU sememangnya perlu di mansuhkan kerana AUKU itu dipercayai tidak menjunjung tradisi keintelektualan mahasiswa dan Universiti. KPT telah menerima kertas putih dari Jawatankuasa Mengkaji dan Mereputasi kedudukan IPTA tempatan sebelum ini,” katanya.

Mohd Syahid berkata, Jawatankuasa tersebut ditubuhkan pasca kejatuhan ranking IPTA (merujuk pada Universiti Malaya) dari tangga ke-89 ke tangga 169 pada tahun lepas sebagaimana yang dikeluarkan oleh Times Higher Education Supplement (THES).

Menurutnya, jawatankuasa tersebut telah menyatakan beberapa cadangan. Salah satunya adalah memansuhkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti).

Namun, sehingga kini KPT seolah-olah memandang ringan cadangan-cadangan yang telah disampaikan oleh ahli akademik dan cendekiawan tempatan. Perkara seumpama ini sepatutnya dikesali bersama.

“Kewujudan AUKU telah menyekat peranan mahasiswa yang sepatutnya menjadi agen semak dan imbang kepada pihak kerajaan. Malah, mahasiswa mempunyai kapasiti, dan lebih berautoriti untuk berbicara dan mengutarakan pendapat kerana mereka lahir dan hadir daripada kelompok cerdik pandai dan berilmu pengetahuan.

“Adakah kerajaan takut dan bimbang dengan kehadiran kelompok mahasiswa yang mempunyai kesedaran ini? Apa bezanya mahasiswa dengan belia muda yang berusia 21 tahun yang diberikan ruang tanpa sekatan, cuma mahasiswa diberikan peluang melanjutkan pelajaran.

“Natijahnya, apabila bergelar mahasiswa, aku janji dan AUKU dijadikan taruhan dan cagaran, diusung ke sana ke mari hanya dengan tujuan untuk mengekang segala kelibat dan menyekat idealisma mereka sebagai mahasiswa, adakah ini demokrasi?” katanya.

Menurut Mohd Syahid, seandainya mahasiswa terlibat dengan politik tidak bermaksud mereka akan mengabaikan pelajaran mereka. Pelajaran tetap menjadi perkara pertama yang perlu diutamakan.

“Namun dalam masa yang sama mahasiswa perlulah tahu dan cakna terhadap isu-isu semasa negara mahupun isu-isu bersifal global. Mahasiswa juga perlu merespon dan membawa solusi terhadap sesuatu isu itu di atas idea pandang mahasiswa,” katanya.

Justeru itu, diharapkan agar segala persoalan yang dijawab oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam konvensyen intergriti baru-baru ini perlulah dikotakan dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Jika ISA boleh dimansuhkan,saya fikir AUKU juga tidak ada masalah untuk dimansuhkan.