ESOK! Bermula Jumaat hingga Ahad ini akan menjadi hari yang panjang bagi kami namun hari yang singkat bagi penggemar buku dan novel. Ini merupakan acara tahunan yang sangat dinanti-nanti.

Tiga hari berturut-turut sempena Jualan Gudang Grup Buku ini akan ada insiden rebut buku, tarik dan letak semula buku. Ada juga keadaan apabila sudah membayar harga buku, tetapi kemudian pusing semula ke meja pameran dan sambar lagi buku…

Bangga rasa hati apabila melihat ramainya penggemar buku-buku motivasi, buku Islamik, buku manual dan maklumat dipegang dan dibelek oleh insan yang cintakan ilmu. Setiap judul ada penggemar yang tersendiri kerana setiap buku mempunyai kandungannya yang tertentu.

Siri Soal Jawab Agama menghimpunkan pelbagai soalan dan jawapan yang dijawab oleh pakar agama. Begitu juga buku motivasi Islamik untuk merawat hati, mempertajam minda dan untuk membina emosi unggul, tetap menjadi rebutan ramai.

Jualan anjuran Grup Buku Karangkraf ini merupakan acara tahunan yang mencatat sejarah apabila ada pengunjung yang pengsan ketika beratur membuat bayaran di kaunter. Cuaca panas, orang yang ramai dan keadaan yang berasak menjadikan jualan gudang ini bagaikan sebuah pesta.

Novel-novel yang difilemkan atau dijadikan drama seperti Ombak Rindu,. Adam dan Hawa, Gemersik Kalbu, Seindah Sakura, Nora Elena dan tidak lama lagi novel Sehangat Asmara pula, merupakan ramuan penting membuatkan waktu rehat hari Jumaat sangat singkat.

Barisan novelis yang turun ke lokasi turut menjanjikan satu pertemuan yang amat manis. Sesi berkenalan, bergambar, bermesra menjadi inti pati penting. Promosi dari mulut ke mulut, di Facebook, dalam blog dan sebagainya turut meningkatkan jumlah kunjungan.

Pelbagai diskaun menarik diberikan bermula dengan harga buku dan novel serendah RM3, RM5, RM10 dan dengan diskaun sehingga 80 peratus untuk judul-judul lama dan terpilih yang sukar ditemui dalam pasaran. Selain itu pakej-pakej buku juga turut ditawarkan untuk semua produk.

Alaf 21 Sdn Bhd adalah peneraju utama terbitan novel-novel terlaris di Malaysia.  Buku Prima pula adalah penerbit khusus untuk novel, siri penerbitan remaja dan juga siri terbitan buku kanak-kanak.

Buku Prima menampilkan judul siri remaja seperti Merah Cinta Kita, Siri 1 Hari 1 Cerita dan Siri Sooty serta banyak lagi judul untuk target golongan kanak-kanak.

Bagi siri Motivasi Islamik seperti Siri Raudah, Ad Deen dan Kauthar, dimonopoli oleh penerbitan Karya Bestari Sdn Bhd dengan judul terlaris antaranya Kita Tenggelam Dalam Nafsu, Soalan Bocor Dari Kubur, Tuhan Sedang Menguji Kita dan banyak lagi.

Dengan lambakan lebih 15,000 judul terpilih, Jualan Gudang Grup Buku Karangkraf ini dijangka menarik perhatian ramai pembeli novel, buku motivasi, buku kraf dan buku resipi di sekitar Lembah Klang dan negeri berhampiran.

Grup Buku Karangkraf adalah anak syarikat Kumpulan Media Karangkraf sebuah syarikat penerbitan yang unggul dan berwibawa dengan menerapkan misi untuk Membarakan Jiwa dan Minda semua peringkat dan golongan masyarakat.

Anda minat buku? Jemput datang. Kami menyediakan pembesar suara, jangan risau jika suami, isteri atau anak-anak hilang di celah-celah rak buku. Kami sedia membantu mencarikan buku yang anda mahu dan menemukan keluarga yang anda cintai.