SEMUA orang termasuk kita mahu buat kerja mudah. Apa yang mudah akan menjadikan diri kita berasa selesa untuk berbuat apa yang kita suka.

Yang mudah akan senang tercapai. Ia menjadikan kita berasa senang hati kerana kehidupan seharian akan dijalani seperti skrip yang berulang.

Bangun pagi, gosok gigi, pergi kerja, sarapan pagi, masuk kerja, makan tengah hari, masuk kerja, minum petang, masuk kerja dan kemudian pulang ke rumah.

Apabila kesemuanya sudah teratur, ia akan menjadikan hidup kita bahagia dan gembira. Kita mempunyai rasa bahawa apa yang dihajati mudah tercapai. Kesemuanya di bawah kawalan. Kononnya kita menguasai keadaan, bukan keadaan yang menguasai kita. Tak perlu lagi susah-susah pening kepala.

Apabila penat, menonton TV, bermesej dan bersembanglah berjam-jam dengan teman-teman dalam berpuluh-puluh kumpulan WhatsApp atau mengunjungi halaman kawan-kawan dan kenalan di Facebook. Bila mengantuk tarik selimut dan tidur. Esok pagi ada cerita sama yang menggembirakan. Heaven, kata orang sekarang! Dah settled down, kata orang putih pula.

Namun, apa yang mudah itu akhirnya perlahan-lahan akan memakan diri sendiri. Bukannya makan secara fizikal, tetapi makan dari segi mental dan spiritual. Apabila sesuatu itu dilakukan berulang-ulang, ia menjadikan kita robot kerana bertindak mengikut apa yang sudah diprogram. Cuma beza kita dengan robot ialah, kita yang membuat program untuk merobotkan diri sendiri.

Mental akan menjadi lembab kerana kita asyik melakukan sesuatu yang serupa. Tak payah perah otak, kesemuanya boleh dilakukan walaupun dengan mata yang terpejam. Spiritual kita juga lemah kerana jiwa tidak diberi sesuatu yang baharu. Maknanya, jiwa akan jadi layu dan akhirnya mati. Kita jadi zombi. Ramai yang tak sedar dah hidup seperti zombie - bangkai bernyawa.

Bilakah kita akan sedar? Kita akan sedar apabila kita terhantuk dalam kehidupan. Sudah terhantuk baharu tengadah. Bila terlanggar, baharulah mendongak. Iya, apabila kita tidak sedar dan hanya khayal dalam hidup ini, ALLAH beri tarbiah dengan meletak masalah. Ada yang kecil-kecil, ada yang besar dan lagi menyakitkan.

Masalah yang kecil-kecil seperti kereta rosak, akan mengajar kita belajar kembali naik bas turun bas, naik LRT turun MRT. Akan terasalah seperti patah kaki. Kita akan belajar bersusah berlari 100 meter mengejar bas. Bersesak di dalam kenderaan awam untuk merasa kembali seperti di zaman muda tatkala belum ada kereta atau motosikal.

Jika berdepan dengan masalah besar seperti anggota keluarga yang sakit dan perlu dimasukkan ke wad, kita akan belajar untuk bersabar, menyuap pesakit, memimpin dia ke bilik air, tidur dan duduk di kerusi dan berdoa dengan penuh rasa bahawa Tuhan itu begitu hampir. Pendek kata, masalah yang melintasi rutin mudah dan senang kita selama ini akan menjadikan kita sedar diri bahawa sebenarnya kita tiada kuasa ke atas diri kita pun!

Untunglah jika kita disedarkan dengan masalah supaya kita terpaksa mengharungi kehidupan luar daripada biasa. Merugilah andainya tiada apa-apa masalah hingga kita jadi mamai dan lali di dalam kehidupan hingga ke akhir nyawa.

Untuk itu, jika kita sudah berasa selesa di dalam kehidupan, sudah berasa selamat dan happy memanjang, ketahuilah bahawa itu bukannya kehidupan yang sebenarnya. Kerana kehidupan yang sebenar adalah perjuangan. Perjuangan untuk diri dan untuk mereka yang kita sayangi yang ada di sekeliling kita. Dan, perjuangan tak akan pernah selesai.

Untuk itu, kita kenalah peka jika 90 peratus daripada kehidupan seharian kita adalah rutin. Ia adalah petanda yang kita dah jadi orang yang berminda lembik dan berspiritual lemah. Cara untuk lari daripada kelembikan dan kelemahan ini ialah dengan melakukan sesuatu dari kebiasaan.

Jika biasa bangun jam 6pagi, cuba bangkit jam 4 pagi. Jika biasa merebut kerusi belakang di gerabak LRT, cubalah berdiri kali ini. Jika biasa makan berkawan di restoran, cuba makan sendirian di pejabat. Pendek kata ubah tabiat, bukannya buang tabiat kerana semua dilakukan dengan sedar.  

Meskipun kita melakukan hal yang kecil-kecil, yang mudah-mudah, rasakan perbezaan apabila berbuat sesuatu di luar kebiasaan. Kemudian, lakukan sesuatu yang lebih besar impaknya pada diri. Buang 20 peratus kawan-kawan di laman sosial dan juga daripada lima kumpulan sembang yang tidak memberi faedah kepada kita.

Jika kita berani lakukan itu, ia bermakna kita sedang mengandam diri sendiri supaya fit daripada segi mental dan spiritual. Ramai yang kata, ia suatu perbuatan-perbuatan yang kecil dan remeh. Tetapi cubalah lakukannya. Ramai yang akan rasa kesakitan kehilangan. Tetapi percayalah perkara baharu akan memenuhi kekosongan itu.

Jika mahu menjadi insan luar biasa, mulakan dengan sesuatu yang di luar kebiasaan.