MENULIS dalam waktu-waktu akhir Ramadan ini, hati amat tersentuh dengan suara takbir yang perlahan-lahan mulai meraja dalam hati. Alunan takbir dengan kata-kata memuji-NYA, memuliakan Ramadan dan meraikan Syawal amat meruntun hati…

Saya lantas membayangkan sebuah rumah di hujung kampung, di tepi bendang dilatari bukit-bukit kecil di belakang rumah. Ayam itik berkeliaran dan anak-anak kecil berlarian di batas sawah. Dari tingkap yang terbuka, jelas kelihatan langsir biru terbuai-buai diterpa angin… mempelawa tetamu masuk.

Sejak kecil dilahirkan dan dibesarkan di Kuala Lumpur, suasana yang manis seperti dalam iklan-iklan dan drama di televisyen itu tidak pernah saya rasai. Hutan batu di Kuala Lumpur pada pagi Syawal penuh dengan manusia luar, penghuni dari negara asing. Mana yang tidak balik kampung, tatkala tiba lebaran mereka berkenduri di tengah bandar.

Di Menara Berkembar Pertonas, di Dataran Merdeka, di mana-mana sahaja lokasi tumpuan ramai di Kuala Lumpur, pendatang dari negara luar ini betul-betul sakan berhari raya. Bergambar bagai nak rak dengan kot, baju lengan panjang, bertali leher dan berkasut kulit berkilat merelit-relit. Ya itulah agaknya makna hari raya bagi mereka. Berposing sakan, macam bintang filem. Lelaki dan perempuan, sama sahaja.

Suasana berhari raya di bandar yang lenggang, tidak sesak seperti selalu menerbitkan rasa sunyi kami penghuni bandar. Nikmat berhari raya ketika itu dimulakan dengan sarapan ketupat rendang, kemudian akan bersalaman dengan ayah bonda sebelum ke surau untuk solat Aidilfitri. Selepas itu berjalan berziarah, bermaafan ke rumah jiran dan saudara.

Kesudahannya kami akan duduk di rumah sambil menonton rancangan sarkis di televisyen. Berbaring, solat dan rehat-rehat sahaja. Keluar ke bandar hanya membuatkan kita terjebak dengan ramainya rakyat asing yang bahasanya lain, budayanya berbeza, sikap dan perangainya susah diteka. Ada yang berkumpulan, ada yang berpasangan dan tidak kurang yang solo… mencari pasangan yang asing bagi kita, pertemuan teruna dan dara.

Bertahun-tahun begitu, hinggalah Alhamdulillah mendapat suami yang memang anak kampung, barulah suasana di para pertama itu dapat saya rasai. Mulanya agak kekok namun lama kelamaan menjadi seronok pula. Seronok juga melihat anak-anak gembira dapat mengejar ayam itik, masuk ke dalam bendang, menangkap belalang, mengail di kali, memanjat pokok kelapa dan sebagainya.

Aidilfitri yang membawa erti kemenangan ini akan kita sambut beberapa hari sahaja lagi. Mari kita meriahkan dengan takbir, tasbih (SubhanAllah) dan Tahmid (Alhamdulillah) bukan dengan lagu-lagu raya yang mendayu-dayu, menitis air mata terkenang orang yang sudah tiada.

Sesuai dengan namanya, Aidilfitri adalah perayaan bagi meraikan tuntutan fitrah anugerah ALLAH kepada seluruh umat manusia. Fitrah makan dan minum, berkasih-sayang, menghubungkan silaturahim, mencintai keharmonian melalui tradisi bermaaf-maafan, berhias-hiasan dan kasih-mengasihi sesama manusia tanpa mengenal darjat, taraf dan bangsa.

Islam sesungguhnya adalah agama yang memelihara tuntutan fitrah manusia sehingga diwujudkan suatu hari istimewa untuk meraikannya. Menariknya, meraikan fitrah tidak akan menjejaskan kredibiliti iman seseorang, sebaliknya, meninggalkan fitrah dianggap suatu pengkhianatan besar terhadap agama.

Namun, berapa ramaikah daripada kita yang menyedari hakikat ini sedangkan inilah dia semangat fitrah yang seharusnya diketahui, dirai dan dihayati umat Islam semua lebih-lebih lagi pada Aidilfitri yang mulia.

Tidak kiralah di mana berada atau dengan siapa di sekeliling kita, sesungguhnya, Aidilfitri adalah bukti rahmat ALLAH kepada umat Islam. Dari sudut sejarah, ALLAH menggantikan dua perayaan jahiliah kepada dua perayaan mulia iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.

Sama ada merayakannya bersama jiran Nepal, Bangladesh, Myanmar, Vietnam, Indonesia dan negara-negara lain, Aidilfitri tetap datang dengan semangat yang luar biasa. Namun jangan ikut gaya mereka yang bersinglet, berskirt dan berbaju seksi. Tetap kekallah dalam kurung dan kebaya bagi perempuan dan baju Melayu bagi lelaki.

Selamat menyambut Aidilfitri, maaf zahir dan batin daripada saya.