DALAM arena politik kita, Datuk Dr Hassan Ali menjadi fokus bicara pada akhir tahun 2011. Pendirian kukuhnya untuk mempertahankan agama Islam, orang Melayu dan kedudukan raja-raja mengikut Perlembagaan, adalah baik, tetapi dianggap sebagai satu gangguan oleh pihak tertentu.

Hal ini demikian kerana Pas secara keseluruhannya amat bersetuju dengan DAP, hingga sanggup mengubah arah perjuangan daripada cita-cita menubuhkan Negara Islam, menjadi Negara Berkebajikan.

Telah saya sebutkan dalam bicara yang lalu, penubuhan Negara Islam adalah rumit, manakala Negara Berkebajikan jauh lebih mudah. Pucuk pimpinan Pas telah mengesani kerumitan, terutama apabila DAP (melalui Karpal Singh) berulang kali menolak konsep Negara Islam.

Melalui aneka cara dan gaya berbahasa, pihak Pas seolah-olah mahu meyakinkan pengikutnya, bahawa Negara Berkebajikan lebih baik daripada Negara Islam. Pada masa lalu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas, Negara Islam hendaklah menjadi-jadi cita-cita setiap umat Islam.

Sekarang, Datuk Mustafa Ali mengatakan rakyat, terutama ahli Pas keliru kerana tindakan Hassan. Mereka yang terbabit dalam pertelingkahan ini semuanya hebat-hebat, tetapi untuk mengatakan Hassan mengelirukan rakyat adalah silap.

Semua orang tahu, rakyat keliru bukan kerana tindakan Hassan, sebaliknya kerana Pas mengubah cita-cita Negara Islamnya.

Pada masa ini kelihatan pada kita Hassan sedang dikelilingi musuh. Hassan tentulah tidak resah dan tidak bimbang, kerana beliau sedia tahu setiap mujahid pasti dikelilingi musuh.

Cuma perlulah disedari umum, dan Hassan juga tahu, bahawa menang atau kalah dalam perjuangan politik yang dibaluti sekularisme bukanlah ditentukan oleh kebenaran.

Pihak yang salah atau jahat selalu juga menang, cuma mengikut ajaran agama, kemenangan pihak yang mendukung kejahatan adalah kemenangan sementara.

Dalam politik moden, kejahatan dan kebaikan sering bercampur aduk. Jasa bakti Umno dan Barisan Nasional dihayati dan disanjung oleh sejumlah rakyat yang berada di pihak ‘kanan’, manakala keburukan dan nilai negatif Umno dan BN berada dalam tanggapan pihak pembangkang.

Ini semua orang tahu, baik orang di tengah kota, mahupun di ceruk kampung. Pada masa ini, beberapa pemimpin atasan Pas sedang membuka keburukan Hassan, padahal Hassan pernah berada di tahap tinggi dalam Pas Selangor.

Ini ialah penanda kekuatan DAP, baik DAP Selangor, mahupun DAP pusat.

Perlu saya nyatakan pandangan dalam hal ini. Kekuatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha mendekatkan Pas dengan DAP adalah luar biasa. Pada pandangan dan tanggapan Hassan, pencapaian Anwar ialah tanda kekuatan pengaruh, bukan penentu kebenaran.

Adalah lebih baik dan benar jika ada usaha mendekatkan Pas dengan Umno. Hal ini ialah hal dasar, bukan hal personaliti. Jika dasar Pas tidak menyamai dasar Umno, adakah dasar Pas hampir-hampir sama dengan dasar DAP? Jika itu berjawab dengan baik, maka kekeliruan akan terhapus.

Pada masa ini, perlu ada usaha untuk mewirakan tokoh yang kuat dan mempunyai cita-cita kerakyatan yang tepat untuk kemajuan umat Islam, orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.

Malaysia memerlukan tokoh seumpama itu. Hadi yang menyatakan rasa tidak senang terhadap gejala baru dalam Pas, perlulah melihat matlamat perjuangan Hassan dengan penilaian saksama. Saya berpandangan, Hassan tidak tergelincir daripada landasan perjuangan Pas.

Pemimpin Pas yang berlagak pandai seperti disebutkan Hadi (Berita Harian, 23 Disember 2011) sebenarnya tidak wujud. Atau, kita boleh juga mengatakan sebaliknya: bahawa jumlah tokoh Pas yang berlagak pandai terlalu besar. Itu ialah pilihan.

Jika benarlah ada ramai tokoh Pas yang berlagak pandai, Hassan tidak tergolong di dalam kumpulan itu.

Setiap tokoh pasti ada kelemahan. Hassan telah memilih jalan yang baik, tetapi kita tidak wajar mengatakan segala-galanya sempurna. Pilihan Pas untuk akrab dengan DAP atas anjuran Anwar tentu ada baiknya, tetapi kita hendaklah ingat, pasti ada pula segi negatifnya, dan segi itu mungkin dahsyat.

Jika benarlah ada usaha mendekatkan Pas dengan Umno, usaha itu tentulah baik, tetapi akan ada juga yang tidak menyenangkan, terutama berkaitan dengan kepentingan pemimpin tertentu.

Hassan perlu bijak dalam menentukan langkahan dan perhitungan seterusnya. Objektif beliau ialah untuk kebaikan Islam, maka segala kerugian hendaklah dianggap pengorbanan.

Beliau kini berada pada tapak yang cukup baik untuk lebih maju dan lebih memajukan. Beliau telah memilih Pas kerana Pas itu baik, dan beliau juga dapat melihat bahawa Umno juga baik.