taman
$entry.content.caption.value

Hiasan pepohon menghijau dalam pelbagai bentuk dan rupa di persekitaran kita, tidak hanya meredupkan suasana dan mendamaikan mata, tetapi mampu mencuri pandangan andai kena kedudukannya sebagai titik tumpu atau sudut membangkitkan tema laman.

Lanskap seni hiasan laman yang dihiasi dengan pokok-pokok hidup mampu mengimbangi laman kediaman atau kawasan di samping dapat mengekalkan habitat asal flora dan faunanya.

Sejak kebelakangan ini, landskap hiasan laman mendapat perhatian pereka dan individu yang meminati seni tersebut.

Ia sering dilihat, dirasai dari pelbagai sudut seperti di taman permainan, tempat tarikan pelancong, sekitar muzium, tasik dan sebagainya.

Memandangkan sambutan terhadap seni hiasan laman begitu menggalakkan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengorak langkah dengan memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Taman dan Amenity (AP 230).

Jabatan Taman dan Pengurusan Amenity ialah jabatan pertama ditubuhkan di Malaysia dan ke-10 dalam Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur.

Tujuan utamanya adalah untuk menyediakan platform sebagai pengurus taman profesional yang akan berkhidmat kepada awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam industri taman dan rekreasi.

Siswazah diajar untuk merancang, mengurus dan menilai taman yang berasaskan kepada keperluan berfungsi, rekreasi dan estetika bagi memastikan pembangunan mampan dapat dicapai.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada penuntut untuk berbakti kepada masyarakat, mempertingkat sahsiah peribadi, melahirkan graduan integriti tinggi dan meningkatkan momentum kecemerlangan modal insan di peringkat global.

Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Taman dan Ameniti, Prof Madya Dr Kamarul Bahrain Shuib berkata, program itu dapat memupuk semangat kerjasama, tanggungjawab dan saling memahami dalam menghasilkan sebuah lanskap taman yang cantik dan memuaskan.

“Ia diharap dapat menimbulkan minat dan persediaan penuntut untuk melibatkan diri dalam dunia pekerjaan sebenar mahupun yang dianjurkan persatuan, fakulti dan universiti.

“Program seumpama ini perlu dijalankan agar mampu melahirkan lebih banyak produk UiTM yang memenuhi kehendak pasaran modal insan,” katanya.
Peluang kerjaya

Graduan ini berpeluang bekerja dalam agensi awam atau swasta sebagai pengurus taman, rekreasi atau kemudahan. Contoh majikan yang memerlukan seorang pengurus taman profesional termasuk dewan bandar raya, majlis perbandaran, taman persekutuan dan agensi landskap, taman perbadanan negeri, papan taman, taman tema, padang golf, pemaju perumahan, pelancongan dan agensi pelancongan, pusat peranginan dan lain-lain yang berkait rapat dengan industri.

"Program ini disahkan dan disokong oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Perbandaran Kuantan, Institut Leisure dan Pengurusan Amenity (United Kingdom), dan Institut Arkitek Landskap Malaysia dan mendapat sokongan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Program ini dilihat menjadi satu peluang menyahut kesungguhan UiTM dalam melahirkan graduan yang mampu memenuhi kehendak industri selain menjana keyakinan mahasiswa.

“Ia merupakan pendedahan awal kepada penuntut dalam mengembangkan potensi diri. Keyakinan mereka dalam melakukan kerja dengan teliti selain aktiviti sukarelawan dapat membantu masyarakat setempat,” katanya.

Menurutnya, ia juga dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan persediaan mahasiswa bagi menghadapi dunia pekerjaan.

“Ia juga menjadi medium dalam memastikan UiTM terus relevan dalam memberi sumbangan untuk pembangunan kemanusiaan selain menjadi medan kepada penuntut dalam meningkatkan jati diri,” katanya.

Aktiviti penuntut

Berteraskan konsep kehijauan alam semula jadi dalam membantu masyarakat yang memerlukan, penuntut diberi peluang untuk memberi sumbangan bagi membantu golongan masyarakat yang memerlukan.

Penuntut AP230 bekerjasama dengan Yayasan Salam melakukan program khidmat masyarakat yang berlangsung selama dua hari di UiTM Shah Alam yang disertai 68 orang melibatkan mahasiswa dan mahasiswi Jabatan Pengurusan Taman dan Ameniti yang menjalankan aktiviti seperti seringgit seorang, derma darah, dermathon, permainan tradisional, sajak, tayangan amal, Foodbank, barang terpakai dan bundle, pameran Yayasan Salam.

Mas Aiyu berkata, kutipan seringgit setiap penuntut dijalankan selama tiga hari. Aktiviti ini bagi mendapatkan sumbangan daripada penuntut, kakitangan akademik dan bukan akademik.
"Mereka mengumpul dana sebanyak RM5,000 daripada penglibatan yang berkesan semua pihak,” katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.