MEMANG agak peribadi tetapi saya tidak kisah untuk berkongsi pengalaman ini sebagai iktibar. 19 tahun lalu, selepas dua tahun jadi wartawan di akhbar Warta Perdana, saya diajak berhijrah.

Gaji tidak ada kaitan dengan keputusan itu. Apa yang mendorong ialah saya meminati penulisan politik tetapi akhbar tempat saya bekerja pada masa itu lebih beri tumpuan pada kisah-kisah masyarakat, juga kehidupan artis. Penulis politik sedia ada pula cukup hebat, dan sebagai orang baharu,  sukarlah untuk saya dapat tempat.

Berhijrahlah saya setelah melakukan solat istikharah. Pejabat lama tidak jauh dari rumah – berjalan pun boleh - tetapi tempat kerja baharu saya perlu tumpang dua bas. Dari Wangsa Maju ke Chow Kit, dari Chow Kit ke Segambut.

1 Oktober 1996, saya masuk bekerja di tempat baharu dengan gaji lebih RM200 berbanding sebelum itu. Mulanya ok tetapi selepas beberapa minggu, saya tertanya-tanya. Apa tidaknya, sampai di pejabat - ketik kad - kemudian duduk di warung. Masuk pejabat, main komputer. Selepas itu, keluar makan tengah hari. Masuk semula, main komputer lagi sampai habis waktu kerja.

Itulah rutin setiap hari. Kalau hendak dikira seronok, memanglah tetapi saya tertanya-tanya, “apa kesudahannya?” Nama syarikat akhbar tetapi surat khabar tidak terbit.

Benar bagai dijangka, masuk bulan kedua, kami terima surat tidak diingini. Majikan umum tutup bisnes dan kami diminta cari kerja baharu.

Isteri saya ketika itu sarat mengandung anak sulung dan saya kehilangan kerja. Memanglah gaji bulan itu akan dibayar juga tetapi mahu tidak mahu, kenalah cari kerja baharu. Kalau tidak, nanti anak saya lahir mungkin terpaksa berlampin daun pisang atau kertas surat khabar sahaja!

Itu zahirnya, namun jauh di lubuk hati, saya tidaklah runsing sangat.

Ini barang kali kerana sebelum buat keputusan hijrah dahulu, saya solat istikharah dan itulah hikmah dalam bentuk kekuatan jiwa yang ALLAH beri untuk saya hadapi situasi itu.

Apa pun, usaha tetap kena usaha! Saya melamar kerja dengan akhbar Tempo di Taman Kosas, Ampang. Editornya, Sri Bayu, penulis lirik terkenal waktu itu. Saya diterima dengan gaji lebih rendah berbanding apa yang saya dapat di Warta Perdana. Namun saya yakin ALLAH sedang menguji!

Saya beritahu Sri Bayu, hanya akan masuk bekerja di Tempo setelah cukup bulan namun dia bertegas mahu saya bermula segera. Saya kata, mana boleh sebab saya masih bekerja tetapi kata Sri Bayu, “aku tak kira, aku nak kau start besok!”

Dumm!!! Saya tidak punya pilihan. Makanya, esok pagi saya ke Segambut – ketik kad –  selepas itu ke Taman Kosas (dengan dua bas) pula. Petangnya dari Taman Kosas, saya balik ke Segambut untuk ketik kad habis kerja. Selepas itu, baru balik rumah.

Bayangkan berapa kali saya naik turun bas setiap hari! Apa pun, hujung bulan itu, saya dapat dua gaji daripada dua majikan, cukuplah untuk tambang bas yang entah berapa banyak itu!

Minggu kedua di Tempo, saya dapat panggilan daripada bos lama di Warta Perdana beritahu nak jumpa. Petang itu juga saya ke pejabatnya.

Dia ajak saya balik bekerja dengannya, menguruskan Warta Perdana dan sebuah akhbar baharu yang nak diterbitkan. Gaji ditawarkan hampir sekali ganda lebih daripada ketika saya berhenti dahulu. Saya juga ditawarkan jawatan yang jauh lebih tinggi. Berhenti prebet, dipanggil semula sebagai kapten.

Esok, saya beritahu hal itu kepada Sri Bayu. Kata Sri Bayu, “aku pun sebenarnya tengah fikir nak lantik kau jadi assistant aku.”

"Gaji aku akan bagi lebih dari apa yang Perdana offer kepada kau," katanya. Malam itu saya buat istikharah lagi.

Menjelang subuh esoknya, sesuatu yang sangat luar biasa berlaku pada diri saya. Ketika tidur, saya terkejut dengar dua suara berbisik nyaring di telinga, “Perdana, Tempo” bersilih ganti hingga saya terjaga. Di akhir jeritan itu, yang hilang  “Tempo”, dan yang tinggal “Perdana”. Fahamlah saya, ‘suara’ itu mahu saya pilih Warta Perdana.

Isteri saya pula mengalami mimpi yang tidak kurang anehnya. Dia berjalan di pantai bersama seorang kanak-kanak perempuan – mungkin bayangan anak kami yang masih dalam kandungan – dan anak itu kemudian mengambil ranting lalu menulis ‘W’ di pasir. Huruf ‘W’ saya tafsirkan 'Warta' daripada nama Warta Perdana.

Esoknya, saya hadir ke pejabat Haji Khairune, bos Warta Perdana untuk beritahu, saya terima tawarannya.

Dalam masa dua minggu, saya hilang kerja dan kemudian, terpaksa pilih tawaran.

Semasa hilang kerja, saya sendiri berasa aneh kerana tidak susah hati sebagaimana seharusnya. Saya diperkuatkan oleh keyakinan yang entah dari mana datangnya. Setelah itu, barulah saya faham. Pengajarannya, istikharahlah, nescaya ALLAH melindungi kita.