SAYA tidak begitu rapat dengan Aziz Desa, yang kembali ke rahmatullah Ahad lalu. Berjumpa pun sekali-sekala. Namun dalam hubungan yang tidak begitu rapat itu, saya boleh bercerita mengenai kebaikannya yang bagi saya, itulah petanda sebenar bahawa dia memang seorang yang sangat baik.

Bagi yang kenal Aziz dari jauh, dia mungkin dianggap seseorang yang guraunya kasar, lontaran kata-katanya kadang kala agak pedas.

Akan tetapi bagi saya yang berasal dari negeri yang sama, itulah tipikal kami anak Utara. Mulut ‘teqhejaiy’, melawak ‘kasaq’!.Di sebalik penampilannya itu, Aziz sebenarnya cukup meraikan rakan-rakan.

Suatu pagi 16 tahun lalu, dia hubungi saya bertanya sama ada berminat ikuti rombongan ke Iran.

“Tinggai satu seat saja. Kalau nak pi, habaq cepat, Malam ni juga berlepas,” katanya. Saya diminta beri jawapan segera sedangkan  isteri saya ketika itu bekerja di luar kawasan. Hari itu dia akan balik. Ketika hantar anak-anak ke taska, saya katakan kepada mereka, “malam ni mak balik… kita makan kat luar.”

Berkali-kali saya cuba hubungi isteri, baru dapat. Selepas menjemputnya di tempat kerja dan hantar balik ke rumah, saya mengemas pakaian dan bergegas ke KLIA.

Malam itu juga terbang ke Tehran, kemudian Isfahan. Seminggu di sana, saya sebilik dengan Aziz. Arwah memang tidak reti duduk diam. Ada sahaja kerja dibuatnya.

Pernah berjalan waktu siang, tengah malam dia sibuk hubungi stesen radio Langkawi FM untuk melaporkan aktiviti kami di sana. Dia terpaksa curi waktu tidur untuk disesuaikan dengan waktu di tanah air kerana laporan itu disiarkan secara langsung.

Balik ke tanah air, Aziz bawa keluarganya ke rumah saya termasuk ibunya yang bersusah payah mendaki tangga untuk ke tingkat tiga. Semasa saya bawa keluarga ke Langkawi, dia hubungi saya ajak ke rumahnya dan bertanya saya nak makan apa. Ketika itu dia baru sahaja mendarat dari Kuala Lumpur.

“Hang nak makan apa, hang habaq la, aku nak teruih pi kedai beli barang …”

Saya tidak pun beritahu dia mahu ke Langkawi dan dia dapat tahu hal itu daripada rakan di sana. Malam itu, saya bawa famili ke rumah Aziz di mana hidangan sudah menanti penuh meja.

Isteri Aziz memang pandai masak. Mereka pernah buka Yosh Café di Megan Philleo, Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Langkawi. Saya pernah sekali ke kafe itu.

Kira-kira 10 tahun lalu, sebaik mendapat tahu Aziz sedang sakit, saya bersama seorang rakan terus ke rumahnya di Seksyen 20, Shah Alam.

Walaupun niat kami sekadar mahu menziarahinya yang sakit, tetap ada makan besar juga. Dalam sakit, Aziz  masih mahu merai kawan-kawan. Semasa kami tengah sedap membalun, dia tiba-tiba berkata: "Ikut cakap doktor, hangpa makan ni aku tak boleh duduk dekat, takut berjangkit …” Itulah Aziz, sukanya dia menyakat sama banyak dengan kesukaannya membelanja kawan-kawan makan.

Walaupun kami tidaklah begitu rapat, kebaikan Aziz tetap menyentuh dan jadi ingatan saya.

Dia pernah pelawa saya tinggal di rumahnya yang di Seksyen 20 itu. “Hang jaga sudahlah,” katanya. Walaupun dekat dengan pejabat, saya tolak hajatnya kerana lebih selesa tinggal di rumah sendiri.

Beberapa minggu sebelum dia ‘pergi’, kami agak kerap berhubung. Aziz minta saya tengokkan ruang untuk dia menulis dalam Sinar Harian. Sebelum ini, dia pernah jadi stringer di Langkawi.

 Antara berita yang pernah ditulisnya adalah mengenai kecurian mesin basuh di rumahnya sendiri.  

Kali terakhir kami berjumpa lebih dua tahun lalu ketika dia jadi emcee majlis perkahwinan rakan kami di FRIM Kepong. Saya yang baru sampai terkejut dengar nama diumum untuk ambil cendera mata daripada pengantin.

“Mat Yakim ni orang Kedah, kena bagi ikan kareng (ikan laga) kat dia. Dia suka ikan kareng.” Rupa-rupanya Aziz Desa pengacaranya.

 Melihat gambarnya berkerusi roda di Facebook, saya tergerak hati untuk menziarahnya di Langkawi. Namun bersebab jarak yang jauh, saya tangguh menunggu keadaan benar-benar selesa untuk ke sana. Tetapi ALLAH menjemputnya lebih awal.

Ini pengajaran untuk saya bahawa dalam keadaan semacam ini, janganlah tangguhkan ziarah kerana ia mungkin akan buat kita terkilan sepanjang hayat.

Mat Cermin sudah pergi mendahului kita dengan seribu satu cerita kebaikannya. Moga ALLAH ampunkan dosa-dosanya, berikan dia sebesar-besar ganjaran atas kebaikannya. Segala pesannya yang baik jadikan pengajaran.

Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita mesrakan, yang mesra kita serasi-serasikan.

Cermin-cermin diri, lihat wajah, renung peribadi...

Itu kata-kata hikmah ditinggalkan untuk kita. Betapa besar pahalanya mempertemukan mereka yang terpisah, ada sesetengahnya sejak lahir menerusi Jejak Kasih. Berbahagialah kamu di sana, Aziz Desa.