SEPERTI Ludlow Lamonsoff menggilai Lady Lisa dalam filem Pixels, sudah lama saya mengingini Kota Bharu, mahu mendakap dan menggomol tubuhnya semahu-mahu.

Ketika Tok Guru Nik Aziz menang pilihan raya 1990, saya masih bersekolah. Naluri pramatang seorang remaja yang perasaan kedewasaan sering mendahului usianya, saya sambut berita itu dengan gembira. Riuh bilik asrama saya dan kawan-kawan apabila diumumkan Tok Guru akan naik jadi menteri besar yang pertama tidak pakai kot dan tali leher.

Sebagai anak muda yang masih tercari-cari jati diri, idealisme Islam dianggap yang paling cocok untuk kami. Sejak itu, saya simpan impian mahu ke Kota Bharu.

Cerita-cerita uniknya Kota Bharu saya ikuti rapat di Harakah -  yang ayah saya adalah pembaca tetapnya – selain dari mulut mereka yang juga teruja seperti saya.

Pelancongan Islam menjadi genre baharu orang Pas. Maka berduyun-duyun orang ke Kota Bharu saban minggu. Seorang makcik rakan emak saya yang mungkin seumur hidup tidak pernah keluar dari kampungnya, balik bercerita mengenai bas rombongannya ditahan oleh askar-askar yang kelaparan di Lebuh Raya Timur Barat berhampiran Tasik Temenggor untuk minta makanan. Walhal bas itu ditahan untuk pemeriksaan keselamatan.

Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya makcik itu sudah sampai ke Kelantan, melihat sendiri Kota Bharu meskipun cerita yang dibawa balik hanya mengenai askar-askar yang kelaparan kononnya kerana terperangkap di tengah hutan.

Baru-baru ini, saya diarahkan oleh bos untuk ke Kota Bharu. “Mulai sekarang, setiap bulan kamu kena turun ke sana,” katanya. Saya sambut perintah itu dengan gembira, sama seperti ketika saya terima keputusan pilihan raya 25 tahun dahulu.

Beberapa hari sebelum puasa, dari tingkap pesawat di ruang udara Kota Bharu, saya melihat seekor ular raksasa berwarna kuning sedang menjalar di bumi.

“Memang macam itu ke?” saya mencuit sambil bertanya kepada Ong Boon Teck, rakan sebelah dari Berek 12, Kota Bharu.

“Dulu tak teruk sangat, sejak bah hari tu jadi macam tu,” jawabnya.

Kami merungut mengenai  pencemaran teruk air Sungai Kelantan yang nampak begitu jelas dari atas. Macam teh susu!

Sebagai wartawan, saya tahu tanggungjawab memanggil saya untuk tampil mendapatkan perhatian. Itulah juga yang saya fikirkan ketika memandang keluar tingkap Hotel Ridel berhampiran Tambatan Diraja.

Itu cerita mengenai pencemaran. Apa pun masih banyak cerita yang menarik mengenai Kota Bharu. Saat pesawat merapatkan tubuhnya ke landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, saya terpegun melihat banyaknya pokok kelapa. Kemudian Kompleks PUTIK yang tersergam pula menyambut ketibaan, lambang usaha dakwah di negeri itu masih jadi keutamaan yang berterusan.

Baru-baru ini, saya ke Kota Bharu lagi, kali kedua dalam masa sebulan. Saya tumpang bas dari Kuala Terengganu untuk melihat lebih dekat kehidupan orang Kelantan.

Apa yang paling menarik perhatian saya ialah banyaknya banglo di sepanjang jalan. Lebih menarik, banglo-banglo itu milik orang Melayu, apa yang jarang kita temui di negeri lain melainkan di kawasan elit residensi orang politik dari parti yang sudah lama memerintah.

Melihat itu, saya yakin orang Kelantan selesa dengan apa yang dilalui sebagaimana diakui rakan saya, Zailani: “Bagi kami, ini sudah mencukupi. Tak perlu nak maju sangat. Kami selesa hidup macam ni.”

Kota Bharu terus membangun. Biarpun tidak terlalu maju, saya yakin itulah yang paling selesa untuk orang Kelantan. Malah kepesatan pembangunannya tetap mengatasi sesetengah bandar ibu negeri lain.

Lihat sahaja kemeriahan Wakaf Che Yeh malam hari, juga sibuknya Pasar Siti Khadijah, Kopitiam Kita di Pengkalan Chepa dan Kiasatina Cafe di Jalan Pasir Hor waktu pagi. Itulah kemakmuran dan kegembiraan hidup orang Kelantan.

Meskipun suatu ketika dahulu saya pernah curiga dengan cerita banyaknya sampah di Kota Bharu, juga hal jalang bertudung di Jalan Hamzah, kini saya lega apabila diberitahu Kota Bharu semakin bersih. Rakyatnya sudah jauh berkesedaran.

Rumah-rumah maksiat di situ tidak ada lagi, diganti KB Mall yang tersergam.

Sesungguhnya, apa yang ada di Kota Bharu memadai untuk penghuninya hidup selesa dan harmoni. Biarlah tidak jadi bandar raya, asal kekal sebagai kampung yang besar di mana penduduknya saling mengenali dan menghormati.

Saya sudah lama jatuh cinta pada Kota Bharu dan tidak mahu kehilangannya lagi sebagaimana Ludlow kehilangan Lady Lisa ketika pertama kali bertemu. Saya mahu jumpa Datuk Seri Sunny Ung, taikun terkenal di Kota Bharu, minta diskaun untuk beli rumah di KB.    

Dengarnya, beliau suka menderma!