PADA usia 44 tahun, apabila  ke universiti untuk menghadiri konvokesyen, pertanyaan yang banyak saya hadap: "Anak?" Itu yang berlaku pada saya Ahad lalu dan jawapan saya ialah: "Bukan, konvo sendiri!"

Selepas dua tahun bergelar 'mahasitua', akhirnya saya bergelar graduan sarjana. Menelusuri lorong ini, mungkin ramai yang menyangka saya 'kaki study'.

Sebenarnya, tidak. Saya pernah memberontak tidak mahu bersekolah lagi selepas tamat tingkatan lima. Ayah yang memaksa.

Ceritanya begini: Saya termasuk pelajar cemerlang semasa bersekolah rendah dan ditawar untuk masuk sebuah sekolah ternama di Kedah. Oleh kerana sekolahnya ternama, saya ambil mudah seolah-olah ada jaminan masa depan saya juga semestinya sukses.

Akibatnya, pelajaran saya merosot dan ditambah pula dengan kes-kes disiplin yang mula mencemarkan diri. Akhirnya keputusan SPM saya sekadar cukup makan lalu mendorong saya buat keputusan tidak mahu belajar lagi.

Apabila dapat tawaran masuk tingkatan enam, saya menolak tetapi ayah tetap mahu saya ambil STPM. Dengan berat hati, kehendaknya saya turuti.

Tingkatan enam bagaimanapun menceriakan hidup saya tetapi bukan yang berkaitan dengan pelajaran. Saya aktif dalam kokurikulum terutama dalam kerja-kerja kewartawanan di peringkat sekolah. Lebih menyerlah, saya ada buah hati dan jadi antara pelajar popular di sekolah.

Oleh kerana terlalu aktif di luar, perhatian saya terhadap pelajaran semakin teruk. Saya melihat buku-buku sekolah seperti budak mangsa dera melihat ibu tiri mereka.
Namun saya tidak pula rasa bersalah.

Pernah ketika rakan-rakan menduduki peperiksaan percubaan STPM, saya lalu di tepi dewan menggalas beg besar balik kampung. Keputusan STPM saya, gelap.

Tamat sekolah, ALLAH membawa saya ke dunia realiti yang amat menyakitkan. Saya hidup susah kais pagi makan petang. Saya pernah tuntut RM10 daripada rakan yang meminjam kerana itulah sahaja harapan saya untuk dapat makan pada malam itu.

Namun anehnya, ketika itulah saya bertunang hingga emak saya sendiri pun geleng kepala sambil bertanya "mana hang nak cari duit ni?" selepas beritahu, pinangan saya diterima.

ALLAH MAHA KAYA.

Usia 24, saya dapat kerja wartawan. Setahun kemudian, saya berkahwin dengan buah hati yang saya tatang sejak tingkatan enam. Setelah melalui berbagai kepayahan dan kerja keras, kedudukan saya dalam kerjaya meningkat.

Selepas lima tahun, satu peristiwa telah mengubah hidup saya 180 darjah. Sindiran seorang staf yang baru lulus universiti dan amat berbangga dengan ijazahnya menyebabkan telinga saya berdesing.

Walaupun ketua, saya tidak malu untuk mengaku di hadapan staf bahawa saya bukan graduan. Niat saya mahu mencabar mereka melakukan yang lebih baik kerana saya yang tidak lulus universiti ini pun boleh bekerja dengan sukses. Namun, itulah balasan yang saya terima.

Ayah ketika itu sering bertanya kalau ada staf yang saya selia lulusan universiti. Apabila saya jawab "ada", itu cukup untuk buat dia bangga. Saya sedar, dia memerlukan jawapan itu untuk mengubat kekecewaannya sendiri lantaran kegagalan saya memenuhi hajatnya ke menara gading.

Akibat sindiran itu, saya daftar untuk memasuki suatu alam yang amat mencabar selama empat tahun sebagai pelajar sarjana muda UPM. Peritnya saya lalui tempoh itu hanya tuhan yang tahu. Mujur akhirnya saya naik juga ke pentas menerima ijazah pada 2004. Habis belajar, saya rasa serik.

Namun sebagai ayah, saya mula sedar kepentingan pelajaran dan ijazah yang saya dapat amat penting untuk semangat anak-anak. Sekurang-kurangnya mereka telah melihat sendiri betapa saya bersusah payah belajar sambil berkerja dan kerana itu mereka perlu bersungguh-sungguh dari sekarang.

Keperitan hidup yang saya pernah lalui memberikan nilai berganda untuk saya memotivasikan mereka. Takdir tuhan tidak diduga. Pada 2013, datang sekumpulan pensyarah UUM termasuk seorang rakan ke pejabat untuk mempromosi program pengajian pasca siswazah.

Seusai taklimat, rakan saya itu hulur borang dengan arahan: "Hang isi, jangan cakap banyak!" Sebagai manusia yang azalinya jenis patuh, saya ambil masa tidak lebih dua minit untuk ubah fikiran dan terus mendaftar sebagai pelajar sarjana UUM.

Kalau dahulu, perubahan hidup saya hanya 180 darjah, kini sudah jadi 360 darjah. Saya rasa begitu seronok belajar, apa lagi jika ilmu yang ditimba relevan dengan kehidupan sehari-hari.

Untuk anak-anak, saya sudah tetapkan tanda aras baharu, oleh kerana saya sendiri sudah 'master', mereka pun sekurang-kurangnya harus 'master' juga. Ayah, walaupun sudah lama tiada, saya tahu dia bangga kerana anaknya masuk universiti juga akhirnya.

Sedikit sahaja kita berubah ke arah kebaikan, impaknya teramat besar. Terima kasih kepada si dia yang menyindir saya 16 tahun lalu!