KALAU dahulu, apa-apa perkara yang tidak kena melibatkan agensi kerajaan atau kakitangannya, hanya Biro Pengaduan Awam (BPA) yang jadi tempat orang ramai mengadu.

Ironinya, tidak ramai yang memanfaatkan saluran itu melainkan jika ada isu yang benar-benar serius. 

Akan tetapi pada zaman ini, kecanggihan teknologi telah mengubah banyak perkara menjadi begitu mudah, termasuklah untuk orang ramai membuat aduan mengenai apa yang dianggap sebagai salah laku penjawat awam. 

Telefon pintar dilengkapi kamera tidak lagi memilih hanya isu atau masalah yang benar-benar serius untuk dibawa ke tengah. 

Cukup hanya dengan sekali pandang ada kakitangan kerajaan bercakap sesama sendiri di kaunter, terus dibuat telahan kononnya mereka ‘curi tulang’, tidak buat kerja dan sebagainya. Itu belum lagi dikira kes mereka merungut, menegur atau menyindir sama ada yang sememangnya dengan maksud ataupun sekadar tersalah anggap atau tersalah faham. 

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk membela mereka yang benar-benar melakukan kesalahan apatah lagi jika sikap atau tingkah laku mereka sememangnya keterlaluan. Apa yang mahu diperingatkan adalah mengenai sikap kita sendiri bahawa kita seharusnya menimbang kewajaran sesuatu tindakan, juga kesan-kesannya yang boleh mengenai sesiapa sahaja sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Selain itu, kita juga tidak boleh terus membuat telahan atau 'jump to conclusion' mengenai sesuatu perkara dengan hanya sekali imbas tanpa menyiasat sedalam-dalamnya sebelum melempar tuduhan atau sangkaan itu. Dalam Islam, kita sering diperingatkan untuk bersangka baik (husnu'dzon) dan tidak boleh bersangka buruk (su'udzon).

 

Tidur

Sebagai contoh, katakanlah begini:

Anda  hadir ke satu kaunter perkhidmatan awam untuk satu urusan. Selepas mengambil nombor giliran, anda duduk di kerusi atau bangku yang disediakan. Sebagaimana biasa lumrah orang kita zaman sekarang, anda buka telefon melayan media sosial Facebook, Whatsapp, Twitter atau sebagainya. 

Ya, sebagaimana yang sedia dimaklum, melayan media sosial menjadikan kita begitu asyik. Anda terleka, tidak sedar ketika nombor giliran dipanggil berkali-kali. Dan apabila tersedar, anda bangun dan terus meluru ke kaunter. 

Belum pun sempat duduk,  petugas kaunter itu menyapa: “Encik tertidur ke, berkali-kali saya panggil Encik tak dengar!” Anda terasa dia menyindir. Rasa sakit hati menyerbu ke muka dan kemudian menjalar ke seluruh anggota. 

Sebagai anggota majlis tetap media sosial, mudah untuk syaitan menghasut anda. “Ambik gambar, viralkan. Biar padan muka dia!” Dan anda pun lakukan sebagaimana hasutan.

Persoalannya, wajarkah untuk anda bertindak demikian?

“Encik tertidur, berkali-kali saya panggil Encik tak dengar!”

Pastikah kata-kata itu bertujuan menyindir, ataupun sebenar-benarnya pertanyaan. Ok, mungkin sebutan ‘ter’ kurang jelas kedengaran, lalu apa yang didengar hanya, “Encik tidur ke? Berkali-kali saya panggil tak dengar!” 

 

Hati

Itu sememangnya cenderung mengandungi elemen sindiran. Apa pun, ia tetap bergantung pada intonasi, nada suara dan juga bahasa muka. Tidak mengapalah kalau anda mahu anggap sindiran pun, dan kerana itu anda sakit hati. 

Tetapi sebelum bertindak merakam gambar dan sebarkan sebagaimana hasutan, pastikanlah dahulu sejauh mana kata-kata yang menyakitkan hati anda itu mendapat liputan. 

Biasanya, kata-kata yang dituturkan oleh seseorang petugas wanita (sebab biasnya petugas wanita yang cenderung untuk merungut begini, pegawai lelaki lazimnya tidak kisah sangat) di kaunter, capaian suaranya tidak jauh mana pun, atau dalam kata lain kawasan liputannya adalah sangat terhad. 

Ditambah pula kesibukan orang lain dengan urusan masing-masing, tidak ada siapa pun yang pedulikan. Hanya anda dan dia sahaja yang dengar dan tahu apa yang berlaku. 

Dalam keadaan seperti itu, jika memang ada tidak dapat tahan rasa marah dan sakit hati akibat kata-katanya, apa yang boleh dan wajar dilakukan ialah membalas dengan kata-kata yang sama taraf untuk menyakitkan hatinya juga. 

Pastikan jangan lebih kuat atau kedengaran oleh orang lain sebagaimana kata-katanya tadi. Apa pun, yang lebih baik ialah bersabar, tahan rasa marah dengan niat, anda mahu ikut akhlak Nabi. Itu akan memberikan anda pahala percuma. 

Apabila disebut pahala, lawannya ialah dosa. Bagaimana jika anda memilih untuk mengikut hasutan, merakam gambar petugas itu disebabkan rasa marah yang tidak tertahan dan dalam beberapa saat, gambarnya dengan kapsyen kata-kata nista anda terhadapnya tersebar ke serata dunia. 

Orang di Nigeria, Botswana, Kanada malah Eskimo di Alaska pun tahu bahawa anda yang sedang berada di balai polis trafik, hospital, pejabat JPJ atau Imigresen di Malaysia sedang marah membara.

Itu satu perkara! 

Satu perkara yang kita jangan lupa ialah hukum tuhan tidak pernah berubah, tidak kira pada zaman orang tunggang unta untuk ke mana-mana ataupun zaman sekarang, naik keretapi elektrik dari Padang Besar ke KL Sentral hanya lima jam.

Apa kesan tindakan anda itu? 

Pertama, anda lebih teruk berbanding dia kerana tindakan anda jauh melebihi apa yang dia telah lakukan kepada anda. Jika kata-katanya  sekadar didengari anda berdua tetapi cercaan anda ke seantero dunia. Puas hati? 

Mungkin anda berpuas hati kerana dapat melepas geram tetapi siapa yang lebih berpuas hati kalau bukan syaitan yang berjaya menghasut anda untuk berdosa. 

Mengikut hukum, kesan dosa seperti ini berpanjangan selagi tidak ada kemaafan kerana mengaibkan, menjatuhkan maruah, mungkin juga bersangkutan dengan soal rezeki dan pekerjaan. 

Juga turut terkesan ialah anggota keluarga orang yang disasarkan, maruah mereka, umpat keji orang yang mengenali mereka, keadaan anak-anaknya (jika ada) sedangkan mereka itu tidak ada penglibatan dengan anda, malah langsung tidak mengenali anda. 

Begitupun, akibat perbuatan anda, tempiasnya terkena pada mereka. Kita hadkan penceritaan mengenai kesan yang berpunca daripada tindakan viral seperti ini kerana jika mahu diperincikan lebih mendalam, ia adalah infiniti, tidak terceritakan! 

Sekadar mengingatkan, apa-apa perbuatan orang yang menyakitkan hati kita, balaslah sekadar perbuatannya jika tidak dapat menahan. Akan tetapi kalau bersabar, ganjarannya adalah pahala. 

Apa yang paling perlu ialah mengelak daripada perbuatan memviralkan apa-apa yang tidak elok mengenai orang lain meskipun orang itu telah menyakitkan kita, mencederakan kita kerana ia akan membawa kita ke kancah dosa berangkai yang tidak terjangka dan tidak terhitung. 

Dosa yang seumpama itu akan berpanjangan kerana hampir mustahil untuk kita meminta maaf daripadanya meskipun setelah kita tersedar kesilapan kerana kita tidak pernah mengenalinya secara peribadi. 

Teknologi yang semakin canggih memang memudahkan tetapi tanpa pertimbangan mengenai hukum-hakam, dosa pahala yang tidak pernah berubah, ia menjurus untuk menghumban kita ke neraka. 

Kerana itu, fikir dahulu sebelum viral!