BARU-baru ini, heboh di media sosial kisah seorang rocker yang dikenali sebagai Bro Ayiep terjumpa dompet tercicir berisi RM2,000 berhampiran Plaza Tol Gombak. Dia menguar-uarkan penemuan itu di Facebook untuk mencari yang empunyanya.

Adapun hal jujurnya Bro Ayiep segera mendapat perhatian orang ramai pada zaman dunia semakin diramaikan oleh mereka yang tidak jujur. Kisah itu turut dapat liputan akhbar.

Bro Ayiep  diberi julukan 'rocker berhati mulia' kerana imejnya yang seperti kutu mengikut pandangan sesetengah orang. Ironinya dibuktikan oleh Bro Ayiep, bapa kepada enam anak. Isterinya, Zaifiniza rakan sepejabat saya belasan tahun lalu.

Memang sekarang susah untuk kita jumpa orang jujur sekalipun mereka yang wajahnya sering disulam dengan kebaikan dan puji-pujian manakala mulut pula murah dengan janji demi janji.

Kurang lebih 10 tahun lalu, saya baca tulisan Datuk Zakiah Hanum @ Mak Num, bekas Ketua Pengarah Arkib Negara dalam kolumnya di akhbar perihal adiknya di Ipoh yang tertinggal sampul berisi wang tunai beribu RM di dalam teksi. Ada pun ceritanya, adik Mak Num selepas menjual keretanya pulang ke rumah dengan teksi.

Setelah teksi berlalu pergi, baru dia tersedar telah tertinggal sampul berisi wang yang nilainya hampir lima angka. Teksi itu kemudian dinaiki pula oleh Abu, anggota kumpulan rock May yang terkenal itu. Abu menemukan sampul itu di tempat duduk belakang teksi.

Si pemandu dikatakan minta sampul tersebut untuk dikembalikan kepada adik Mak Num namun Abu bertegas, oleh kerana dia yang jumpa sampul itu, katanya jadi tanggungjawab dia untuk kembalikan kepada yang empunya. Dia minta dihantar ke rumah adik Mak Num.

Setelah baca tulisan Mak Num, saya minta wartawan hubungi Abu untuk dapatkan kenyataan 'direct from the horse's mouth' mengenai peristiwa itu. Tahu apa jawapan Abu?

"Saya buat perkara baik bukan untuk publisiti. Saya buat kerana itu yang diajar oleh emak saya," katanya yang jelas tidak selesa dengan hajat saya. Kepada Abu, saya minta maaf kalau tulisan ini buat saudara berasa tidak selesa.

Saya tulis hal ini tanpa merujuk kepada saudara namun jujurnya, tujuan saya mahu ia jadi iktibar bagi kita semua untuk lebih terbuka menilai sikap dan penampilan seseorang, jangan mudah melabel negatif kepada rocker seperti saudara dan Bro Ayiep.

Mudah-mudahan apa yang saya tulis jadi dorongan kepada anak-anak muda kita untuk sentiasa menonjolkan sikap terpuji di mana-mana. Apa pun imej ditampilkan, biarlah itu sekadar stail darah muda yang tidak seharusnya diprejudiskan.

Saya imbau pula satu peristiwa lain yang berlaku di depan mata saya. Sebelum itu, saya minta maaf jika ada yang tersinggung. Jauh di lubuk hati,  saya tetap hormati mereka yang berkopiah atau apa-apa pakaian yang berimej Islami. Namun sayugia diperingatkan, sebelum bersedia untuk membawa imej itu, adalah perlu untuk dipastikan kita jauh daripada sebarang perlakuan maksiat yang disengajakan.

Ini kerana jika kita berimej Islam dan tertangkap, kesan buruknya bukan pada diri kita sahaja, tetapi juga pada agama suci ini. Nauzubillah, Islam akan jadi momokan!

Apa yang saya ceritakan tidaklah jadi gambaran bagi orang Islam yang lain tetapi seharusnya jadi pengajaran buat kita semua.

Suatu pagi, saya berada di dalam sebuah kedai runcit yang agak sesak. Datang seorang lelaki yang saya kenal, masuk ke kedai itu. Lelaki itu biasanya berkopiah namun pada hari itu, dia tidak berkopiah.

Selepas beberapa minit, datang pula seorang anak muda dengan wajah cemas bertanya kepada tuan kedai jika ternampak telefonnya yang tertinggal. Mungkin kerana kelam kabut mahu ke tempat kerja, anak muda itu keciciran telefonnya.

Alangkah terkejutnya saya, lelaki yang berimej orang baik-baik itu tiba-tiba melaung dari luar kedai, "telefon ni ke?"

Ketika itu, dia sudah pun berada hampir dengan motosikalnya seperti sudah bersiap sedia untuk tinggalkan tempat itu. Mungkin tidak sampai hati melihat si anak muda datang semula mencari telefonnya, dia terselamat daripada gelaran pencuri.

Kalaulah tuan punya telefon itu sedikit terlewat ...

Saya terkejut kerana dilihat pada zahir, sukar sekali untuk saya percaya orang itu berhati pencuri. Seharusnya apabila terjumpa telefon orang keciciran, serah sahaja kepada tuan kedai kerana hampir pasti, pemiliknya akan datang mencari juga nanti.

Cerita ini bukan untuk memburukkan sesiapa, apa lagi menjatuhkan maruah mereka yang berimej Islami tetapi untuk iktibar kita semata-mata. ALLAH tidak pandang rupa atau pakaian, tetapi taqwa dan hati yang mulia!