BANYAK pihak berasa lega apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P Ramasamy bertemu dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Putrajaya, kelmarin. Pertemuan enam mata itu turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang menganjurkannya.

Di antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai tuduhan kaitan Ramasamy dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Tuduhan itu pula timbul apabila Ramasamy mendesak kerajaan menghantar pendakwah Dr Zakir Naik pulang ke India kerana dikatakan menyokong golongan militan.

Dalam pada itu, ucapan Menteri Tenaga Manusia, M Kula Segaran dalam sebuah ceramah yang merujuk ‘Melayu sebagai pendatang’ telah membangkitkan kemarahan NGO-NGO Melayu. Meskipun menteri tersebut telah memohon maaf, Pemuda Umno Malaysia yang turut membantah masih tidak berpuas hati, malah mendesak beliau meletak jawatan.

Dalam tempoh yang lebih kurang sama, NGO Melayu/Islam berang dengan apa yang diucap oleh dua pemimpin ini. Yang membantah telah membuat laporan polis sebelum berdemonstrasi bagi menunjukkan ketidakpuasan hati mereka. Soalnya, mengapa mereka begitu marah?

Mereka berpiket kerana berasakan kata-kata dua pemimpin itu mempunyai kesan yang akan mengubah pandangan masyarakat. Lagi pula, mereka tidak boleh langsung melontarkan pandangan sebegitu kerana mereka adalah pemimpin negara.

Sebagai pemimpin di sebuah negara majmuk, mereka perlu ada pertimbangan dengan menyusun kata agar setiap apa disebut tidak akan menggores hati mana-mana pihak yang lain.

Meskipun kata-kata yang keras itu akan mengangkat sokongan pengikut terhadap mereka, namun bukan kepopularan yang patut ditagih kerana mereka tidak memerlukan sokongan sebegitu kerana mereka sudah sampai ke peringkat pemimpin yang mewakili sebuah negeri atau negara majmuk. Dah ada kelas, tak perlu turunkan kelas!

Pada hari ini, media sosial mendedahkan aktiviti kita. Apa sahaja kita lakukan boleh ditonton ramai. Jika kita tidak merakam, ada sahaja orang lain yang merakam dan menular apa kita buat hingga menjadi buah mulut orang.

Memarkir kereta yang tidak betul, memotong secara bahaya dan membuang sampah merata-rata adalah di antara perkara kita buat kerana tak sedar ada mata yang melihat.

Entah-entah bila kita naik angin dengan anak di medan selera pun boleh saja muncul dan ditular hingga kita tak senang duduk apabila videonya sampai ke telefon kita sendiri!

Apatah lagi apabila kita menjadi tumpuan orang, tidak kira sama ada sebagai pemimpin politik, tenaga akademik, profesional, penghibur, malah ustaz, kita mestilah menjaga semenggah ataupun tsiqah.

Menjaga pembawaan diri kerana pangkat yang diberi itu penting kerana kita bukan sahaja menjaga peribadi, malah semua mereka yang sejawatan dengan kita.

Lihatlah bagaimana bila seseorang artis itu ditahan kerana sesuatu dakwaan jenayah; yang terpalit juga adalah golongan artis. Pandangan masyarakat terhadap mereka yang bergelar artis semakin tercalar.

Lihatlah juga kian ramainya ahli-ahli politik yang tidak menjaga mulut hingga menimbulkan kemarahan rakyat. Mudah sahaja kata-kata kita itu dilabel sebagai cauvinis dan rasis.

Ahli-ahli politik yang baharu naik dan dah menjadi orang penting itu tidak sedar betapa mustahaknya mereka menjaga peribadi.

Mereka tidak boleh lagi berperangai sebagai pemimpin yang berbahasa celupar di kedai-kedai kopi mahupun bermulut lancang apabila bercakap di dalam kumpulan kecil kerana mereka memikul imej yang berkehendakkan mereka berkelakuan baik.

Barangkali, kod etika seperti kod etika hakim perlu diwujudkan untuk pelbagai profesion yang punyai pengaruh terhadap masyarakat. Kod etika hakim menggariskan peraturan pergaulan dan peri laku bukan sahaja tatkala bertugas, malah juga pantang-larang yang harus mereka jaga di luar waktu bekerja.

Golongan artis kita pada zaman P Ramlee di Jalan Ampas turut mempunyai kod amalan yang terbina untuk menjaga tatalaku dan pergaulan agar golongan seniman dan seniwati bukan sahaja dipandang tinggi oleh masyarakat, malah dengan mengehadkan kemunculan mereka secara santai di mata masyarakat supaya menjamin imej eksklusif mereka.

Dalam pada itu, kita sendiri perlu mengawal diri daripada menyebarkan peri laku tidak semenggah atau tidak tsiqah sesiapa sahaja. Pada hari ini, kita semua umpama tinggal di rumah kaca.

Semua orang boleh nampak apa yang kita buat. Malah, apa yang kita tidak buat pun boleh orang bayangkan kita buat kerana manusia hari ini memandang dengan persepsi; sila baca su’u dzon atau prasangka.

* Norden Mohamed ialah Penasihat Grup Buku Karangkraf