DAHULU, kita tidak selesa apabila dipuji. Malah, ada yang sampai marah-marah apabila teman-teman memberi kata-kata yang positif tentang diri kita. Barangkali, oleh kerana mempunyai nilai harga diri yang rendah, sesebuah pujian itu ditafsir sebagai sebuah sindiran. Mungkin juga sesebuah pujian itu dianggap menjadikan kita lupa diri, kembang dan terawang-awang hingga mendapat penyakit lain.

Masa berlalu dan pandangan kita mengenai pujian itu mula berubah. Pendidikan di sekolah yang mengajar kita menyanjung mereka yang berjaya dengan memberi pingat apabila menang lumba lari, hadiah berupa sijil apabila mendapat markah cemerlang ataupun selempang sebagai pelajar terbaik. Secara perlahan-lahan ia menjadikan kita semakin biasa menerima pujian. Ertinya kita mula pandai memuji dan pandai pula mengendalikan perangai apabila dipuji.

Pada hari ini, keterbukaan yang dibawa media sosial menjadikan kita lebih selesa untuk memuji. Melalui Facebook misalnya, kita menyatakan pujian segera hanya dengan menekan butang like. Kita juga boleh mengirim pelbagai emoticon yang menggambarkan pujian kita kepada seseorang. Bagus sangat.

Namun, akhir-akhir ini, sedarkah kita bahawa kita semakin selesa memuji diri sendiri? Ia bermula dengan ucapan-ucapan kejayaan bagi seseorang tokoh, penerima anugerah dan juga pemenang pertandingan. Melalui majlis sebegitu, kita juga mula menerima perbuatan memuji diri di depan khalayak.

Kita mula menyedari bahawa selain daripada bersedia menerima pujian, kita juga tidak salah seandainya memuji diri sendiri asalkan ia dilakukan secara formal, tertib dan terkawal di sesebuah majlis rasmi.  Bagaimana pun, tidak ramai yang berpeluang memuji diri sendiri di depan orang ramai seandainya belum benar-benar layak di mana beratus-ratus manusia mendengar dan menatap wajahnya di skrin gergasi.

Tetapi, sekali lagi media sosial memberi peluang kepada sesiapa sahaja memuji diri sendiri pada bila-bila masa, untuk apa-apa sahaja tidak kira kecil mahupun besar. Kejayaan seseorang membuat cekodok dipapar di media sosial siap dengan video dan voice overnya. Mendapat nombor giliran di hospital pun kita tayang sebagai suatu kejayaan. Kereta yang dikilatkan pun kita beritahu dunia sebagai suatu pencapaian.

Sesungguhnya perbuatan-perbuatan itu tidak salah sama sekali. Kejayaan yang kecil pun suatu kejayaan juga. Kecil bagi orang lain, besar bagi diri si pencerita itu. Bagi yang pandai buat cekodok yang lembut dan gebu, apalah sangat video cekodok penyek yang ditayang rakan. Namun, dalam ramai-ramai yang memandang status itu, ada yang tak tahu langsung membuat cekodok!

Begitu juga, untuk apa menayang kejayaan mendapat nombor giliran? Bagi yang tak pernah merasa menunggu lama hingga berpeluh kerana bersesak, mendapat nombor giliran itu adalah suatu kelegaan. Keseronokan itulah yang ingin dikongsi dengan kita. Sedekahkanlah butang like sebagai tanda kita gembira yang dia gembira!

Seandainya kereta yang tiga bulan tidak dibasuh kerana malas tuannya itu tiba-tiba berkilat dan berkilau, lalu ditayang sebagai suatu pencapaian, tidakkah itu bagus? Gembirakanlah kawan yang menayangkan foto kereta berkilaunya asalkan dia bahagia.

Akhirnya, kita selesa menerima pujian dan pandai pula menyambut pujian itu dengan berhemah. Kita memuji diri dengan kejayaan-kejayaan kecil kita untuk  memberi kegembiraan kepada rakan-rakan di media sosial. Walaupun betapa kecil pun kegembiraan itu, ia juga memberi warna kepada kehidupan mereka di sekeliling kita.

Kini kita semua melalui hari-hari yang penuh cabaran serta dugaan yang tidak menentu mengikut jalur skrip hidup masing-masing. Selagi bernama manusia, mana ada insan yang punyai segalanya itu gembira senantiasa? Mana ada insan yang tidak punyai apa-apa itu bersedihan secara kekal?

Sebab itulah kita perlu menjadi anggota masyarakat yang apresiatif. Tidak meminta-minta untuk dipuji atau lokek pula untuk memuji.