SAYA temui Rayyan dan kawan-kawannya ketika dia menunggu bapanya yang lewat tiba untuk membawanya pulang. Sebelum itu, Rayyan dan kawan-kawannya datang membeli buku di Karangkraf Mall. 

Saya yang juga menunggu seorang tamu sedang duduk menanti, semeja dengan mereka. Rayyan mengenali saya yang bertugas di akhbar Sinar Harian. Malah, dia ada mengikuti kolum Maaf Cakap saya.

Rayyan bertanya mengenai latar belakang pendidikan saya. Dia dan kawan-kawannya kaget kerana saya mengambil bidang seni lukis dan seni reka sewaktu belajar dahulu.

Mereka hairan kerana saya bukan datang dari bidang komunikasi massa. Bila mendapati mereka begitu berminat hendak mengetahui jalur kerjaya saya, maka saya nyatakan bahawa lebih separuh daripada bidang kerjaya yang telah saya ceburi tidak ada kena mengena langsung dengan bidang seni.  

Saya mengambil bidang seni lukis dan seni reka, jurusan seni reka perusahaan tatkala menuntut di Institut Teknologi Mara (kini UiTM).

Meskipun melukis adalah bidang yang saya amat minati sejak di bangku sekolah, pendedahan dunia pelbagai bidang ilmu di kampus membuatkan saya lebih terbuka hendak ambil tahu disiplin ilmu lain.

Di kolej, saya ada ramai kawan-kawan yang mengambil bidang pentadbiran awam.

Sebagai pelajar seni yang berjeans koyak dan berambut separas bahu, saya pelik dengan pakaian kemas dan rambut pendek mereka. Mereka membawa buku ke hulu ke hilir.

Belajar di perpustakaan dan pandai berhujah kerana pengucapan awam adalah antara subjek yang dipelajari.

Saya rambang perasaan dan teringin hendak belajar mentadbir. Di kolej, saya aktif dalam persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hingga menjadi jawatankuasanya.

Dengan berpersatuan, saya berpeluang mengikuti projek-projek khidmat masyarakat. Tentu sekali dengan berpersatuan, saya belajar pengucapan awam dan mentadbir.

Setelah keluar dari kampus, saya tidak menceburi bidang seni lukis dan seni reka. Sebaliknya menjadi Setiausaha Kerja GPMS di peringkat nasional. Sebagai NGO, GPMS juga mengambil bahagian dalam memperjuangkan isu-isu pendidikan. Pasti ia juga tidak lari daripada membicarakan hal-hal politik. Daripada situ, saya meminati politik pula.

Apabila saya mendapat peluang menganggotai Biro Penyelidikan Belia (kini Biro Tatanegara), ia seperti bulan jatuh ke riba. Saya belajar menganalisis isu-isu semasa nasional dan turut berbicara hal-hal politik secara khusus pula.

Pelawaan seorang kenalan menganggotai Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah (kini Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) di Unit Serantanya membuka peluang yang lebih luas kepada saya untuk memperdalami politik.

Tatkala itu, saya boleh dikatakan masak dalam hal-hal politik Umno dan Pas di kawasan pembangunan wilayah seperti Felda, Felcra dan juga Risda.

Berniaga juga adalah minat saya. Saya diperkenalkan kepada seorang tokoh korporat yang punyai lebih 50 buah syarikat dengan perniagaan bernilai berbilion ringgit. Dan saya mengambil keputusan untuk bekerja dengannya.

Di sana, saya banyak sekali belajar selok-belok politik perniagaan, perundangan dan perbankan.

Dalam sehari, saya akan hadiri tidak kurang dari tiga mesyuarat. Namun, pencarian ilmu saya belum tamat.

Seorang kawan lain pula mengajak untuk menganggotai sebuah kolej swasta bernama Klang Valley College, mematikan angan-angan saya untuk menceburkan diri dalam bidang politik berparti.

Di kolej itu, saya bertugas di Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Di situ, saya mentadbir hal pelajar. Pengalaman saya di bidang-bidang sebelum ini amat membantu. Hanya setelah kolej itu terkubur (di atas sebab politik juga), maka saya kembali ke bidang seni.

Saya membuka syarikat perkongsian yang menerbitkan komik Kreko (kini masih ada di pasaran). Bila perniagaan gagal, saya bertugas di sebuah syarikat pengiklanan.  Dunia pengiklanan punyai kegilaannya yang tersendiri. Diri saya sebagai anak seni muncul kembali di sini.

Kerjasama syarikat itu dengan Kumpulan Karangkraf akhirnya membawa saya untuk bertugas di syarikat ini. Padang kerjaya di Karangkraf ini begitu luas.

Di sini, saya pernah menjadi Editor Majalah Gelihati, sebuah majalah kartun. Kemudian saya mengetuai Jabatan Pemasaran, Jabatan Latihan, Jabatan Sumber Manusia dan akhirnya menerajui syarikat penerbitan buku, Alaf 21. Dua belas tahun di Alaf 21, saya melangkah ke bidang persuratkhabaran di Sinar Harian.

Rayyan dan kawan-kawannya memandang saya bagai tidak percaya. Bagi saya, jalur kerjaya saya bukan luar biasa kerana pada asasnya ia adalah kerja. Bila ditanya, bagaimana saya boleh menguasai bidang-bidang itu? Jawab saya ringkas, “Buku!

Baca bidang profesion yang baharu kamu ceburi. Belajar teorinya dan praktikkan. Nescaya, kamu boleh buat apa sahaja kerja!”

Bila ditanya lagi apa tip lain? Kata saya, kita kenalah percaya kepada rezeki ilmu dan kerjaya yang ALLAH SWT tentukan.  Kita boleh pilih jurusan sains di sekolah, tetapi memasuki bidang kemanusiaan di kolej. Setelah lulus di universiti, rezeki kita mungkin di bidang kulinari yang tidak pernah kita impikan!