KEMPEN PRU14 kian rancak. Selain daripada kempen-kempen di media perdana cetak dan elektronik, ceramah dan syarahan, kempen juga dilakukan melalui medium internet.

Di situ ada pelbagai platform yang antaranya melalui video khususnya Youtube, blog, portal dan tentu sekali di media-media sosial seperti Facebook, Instagram dan juga Twitter.

Aplikasi mesej yang belum wujud di PRU13 kini sudah ada. Justeru, medan kempen kini berlaku juga di aplikasi mesej khususnya di Whatsapp dan Telegram.

Malah, perang kempen jauh lebih sengit di sini kerana aplikasi mesej dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan kecil di mana si penerima maklumat lazimnya mengenali si penghantar maklumat. Jadi, komunikasi menjadi lebih ligat dan personal.

Sebelum era internet yang interaktif, komunikasi massa lebih bersifat satu hala iaitu daripada penerbit kepada pengguna.

Pengguna pula tidak punyai pilihan yang pelbagai dan dengan itu hanya menelan bulat-bulat apa yang dipaparkan. Boleh dikatakan main percaya sahaja.

Sememangnya sejarah komunikasi massa itu berkait rapat dengan hubungan dari pemerintah kepada rakyat.

Pemerintah menguasai media massa sebagai penghantar maklumat dan rakyat pula sebagai penerimanya.

Sehinggakan apa sahaja pandangan yang berbeza daripada apa yang dipaparkan di media perdana dianggap anti-establishment, malah subversif!

Keadaan sudah berubah. Jika dahulu, jumlah mereka yang menjadi juru kempen hanya terdiri daripada mereka yang ditugaskan oleh sesebuah parti.

Mereka inilah yang diberikan panduan apa yang hendak disampaikan kepada sesebuah audien, apa isinya, bagaimana hendak menguasai pemikiran audien agar mesej diterima secara positif oleh pendengar.

Pada hari ini pula, sesiapa sahaja boleh menjadi juru kempen. Mereka tidak perlu mendapat kelulusan berkempen daripada parti yang disokongnya. Malah tidak ada masalah andainya seseorang itu tidak tahu bercakap.

 Apa yang mereka perlu ada ialah kekuatan jari. Andainya tidak dapat mengarang, memadailah jika hanya tahu menularkan apa jua mesej yang diterima dengan jari jemarinya.

Maka di sinilah punca kekelamkabutan dan kecacamerbaan kempen pilihanraya pada hari ini.Selain daripada juru kempen rasmi parti, terdapat ratusan ribu malah berjuta juru-juru kempen parti tidak rasmi yang menjalankan kempen pilihanraya untuk parti yang disokong. Dan, mereka itu adalah kita sendiri!

Ya, kita terjebak sebagai juru kempen tak rasmi parti. Seandainya juru kempen sesebuah parti itu bertugas untuk mempromosi parti yang dianggotainya, kita pula boleh sahaja ke kiri dan ke kanan seandainya kita sememangnya peminat politik atas pagar.

Di waktu pagi, kita menularkan berita, video dan audio parti Barisan Nasional, di waktu petang dan malam pula kita menularkan berita dari parti Pakatan Harapan dan juga Gagasan Sejahtera.

Tetapi seandainya kita condong kepada sesebuah gabungan parti atau sememangnya ahli parti politik, maka kegelenyaran jejari kita akan bertambah-tambah ligat menjalankan tugas berkempen.

Yang pasti, sesebuah berita, poster atau video yang diterima itu akan dihantar kepada pelbagai kumpulan yang kita sertai.

Yang pasti, kumpulan-kumpulan itu tentulah mereka yang kita kenali seperti grup keluarga, kaum kerabat, rakan tadika, rakan sekolah, rakan universiti, kariah surau, grup kejiranan, pelbagai alumni dan entah apa-apa lagi.

Si pencipta viral asal itu tentulah mereka yang pakar dalam peperangan siber dari war room mana-mana parti.

Fragmen video, paparan poster dan artikel yang ditulis itu pasti sensasi lalu menguja si penerima untuk menghantarnya kepada kumpulan-kumpulan yang disertainya.  Akhirnya mesej itu menjadi tular.

Apa yang menjadi masalah ialah, bukan semua mereka yang mendapat sesebuah mesej itu bersetuju dengan apa yang diterimanya.

Ada yang memberikan reaksi secara mendengus sendirian atau bergumam. Namun bagaimana seandainya si penerima tidak bersetuju malah mula berasa marah dan sakit hati dengan si pengirim mesej?

Kita dah pun dengar ada sok-sek di kalangan rakan-rakan sekeliling yang kecil hati sesama mereka akibat perbezaan pandangan politik. Malah ada yang berbalas hujah hingga ada yang left group kerana berasa jauh hati.

Kita sebagai juru kempen tidak bertauliah tetapi hanya berperanan sebagai penyampai, kita kenalah ingat bahawa bukan semua orang setuju dengan apa yang kita lakukan

Jika kita tidak terlatih untuk berkempen, berpada-padalah dalam menularkan apa jua yang kita terima.

Meskipun kita bersemangat untuk mengajak mereka yang tidak sependapat dengan kita untuk bersetuju dan menyokong apa yang kita setujui, kita jangan lupa bahawa tindakan kita itu sebaliknya menjauhkan mereka daripada menyukai apa yang kita sokong.

Malah, apa gunanya jika mereka bukan sahaja tidak menyokong, tetapi mula menjauhkan diri daripada kita.  Berpada-padalah…