SEJAK beberapa tahun kebelakangan, umum mengetahui tentang skandal gergasi iaitu 1MDB yang berkisar di dalam dan luar negara.

Prosiding undang-undang antarabangsa menunjukkan hampir RM15 bilion telah dibawa keluar dari tabung 1MDB - secara terang-terangan 'dirompak' daripada simpanan dan pelaburan rakyat Malaysia.

Malangnya, syor-syor yang dikemukakan oleh SPR minggu lalu untuk persempadanan semula melalui sempadan kerusi Parlimen yang baharu merupakan rampasan hak rakyat yang terbesar.

Keinginan BN untuk memenangi perlawanan sengit ini dengan menyediakan padang yang tidak sama rata, dan seakan menyepak pemain pihak lawan dengan referee yang berpihak biarpun sebelum perlawanan dimulakan.

Diakui, ini bukan permainan. Malangnya, ia bakal menentukan hala tuju rakyat Malaysia, dan demi masa depan anak cucu kita.

Manipulasi persempadanan semula sebegini merupakan penghinaan dan tamparan hebat kepada sistem demokrasi yang membawa erti kebebasan, dan keadilan untuk rakyat.

Kita mahukan suara alternatif demi memastikan skandal yang dikaitkan dengan menggunakan dana negara ini mampu dihentikan serta ditangani.

Suatu suruhanjaya siasatan di-raja perlu ditubuhkan menerusi perkenan Yang di-Pertuan Agong dalam menangani ancaman utama kepada tamadun sebuah negara demokrasi ini.

Membenarkan persempadanan semula tanpa bantahan merupakan satu kesilapan besar yang sekali gus memberi cek kosong pemerintahan kerajaan BN yang berterusan tanpa akauntabiliti dan halangan daripada pihak pembangkang atau sesiapapun.

Persempadanan semula adalah jaminan kerajaan BN ini, walau kehilangan undi popular, mampu kembali dengan lebih dua pertiga majoriti dan mempunyai kuasa mengubah perlembagaan tanpa semak dan imbang yang wujud.

Enam tahun lagi, persempadanan semula ini bakal menyaksikan skandal 1MDB menjadi satu perkara remeh. Jika kita tidak menghalang dan membantahnya dari sekarang, maka kita berisiko untuk kehilangan segala-galanya.

Kini, pemerintahan menggunakan polis sebagai jalan untuk menangkap kartunis, wartawan dan pimpinan parti pembangkang atas kelantangan bersuara.  

Tiada jaminan bahawa setiap rakyat akan selamat sekiranya cadangan persempadanan semula SPR digubal. Bahkan di Parlimen sekalipun, kerajaan minoriti BN meletakkan negara dalam keadaan berbahaya dengan menemui cara untuk menggantikan kuasa dan struktur yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong ke tangan perdana menteri berdasarkan pewujudan Akta Majlis Keselamatan Negara.

Cadangan SPR membawa negara kita ke arah sebuah negara fasis bukannya bergerak lebih dekat dengan cita-cita kita yang mahukan sebuah demokrasi berperlembagaan. Sesetengah pihak mungkin berpendapat bahawa ia adalah ‘perkara biasa’, saya tegaskan kebimbangan dan pendirian saya: Jika orang yang benar tidak bangkit bersama, siapa lagi yang diharapkan untuk bangkit apabila BN mendapat majoriti besar dan mula meminda perlembagaan bertentangan serta menafikan hak dan kebebasan manusia apabila berlaku sudut pandang berbeza antara pimpinan pada masa akan datang.

Kita berada di persimpangan politik yang kabur jika dibandingkan dengan sejarah yang pernah kita hadapi satu ketika dahulu. Sama seperti negara-negara lain Asean, OIC, dan lain-lain di seluruh dunia yang bekerja untuk menambah baik kerajaan dan tadbir urus mereka, Malaysia pula terlalu unik apabila kita bersedia untuk jatuh ke dalam jurang politik yang tidak beransur pulih.

Saya kira tidak ada alasan untuk mana-mana pimpinan dan rakyat untuk berdiam diri dan membiarkan perkara ini berlaku.

Justeru, saya ulangi gesaan agar mengemukakan bantahan di setiap daerah terjejas dan menolak pencabulan hak memilih serta proses tidak demokratik SPR; dan petisyen serta merayu kepada pemimpin-pemimpin kita, untuk menolak cadangan SPR dan mewujudkan satu suruhanjaya siasatan di-raja yang membawa kepada objektif, sistem yang bebas dan demokratik dalam pembahagian daerah pilihan raya di Malaysia.

* Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai