Seringkali orang tua berpesan kepada anak, ‘jangan main-main’ apabila menyentuh perkara kebertanggungjawaban dan sikap serius dalam bidang pelajaran, kewangan, kesihatan termasuklah perkahwinan.

Malangnya, dinihari menyaksikan pentadbiran seolah-olah main-main daripada bertekun dan bertanggungjawab dalam menjaga negara yang sedang dalam ambang krisis ekonomi, demokrasi dan perpaduan.

Setelah 55 tahun main-main, negara harus didewasakan, demokrasi dianjakkan dan kematangan politik untuk membawa negara tahap yang lebih tinggi dan mulia. Namun, terdapat beberapa perkara yang masih membelenggu rakyat dan negara.

Terdapat enam jenis permainan kerajaan terhadap rakyat iaitu bermain angka, demokrasi, duit, perasaan, nyawa dan kotor. Bermain angka: Badan kerajaan yang beroperasi atas kepercayaan rakyat menunjukkan prestasi kurang baik dalam menjalankan amanah yang diberikan.

Contohnya, unjuran pertumbuhan KDNK sering tersasar daripada angka yang diuar-uarkan. Pentadbiran juga gemar berdolak-dalik mengenai ketetapan tertentu seperti belanjawan tambahan berkali-kali supaya dapat mengukuhkan kedudukan politikus dan bukan memangkinkan kedudukan rakyat.

Perkara seperti perangkaan jenayah yang dipersoalkan kredibiliti seolah-olah hanya ingin memberikan eskapisme kepada rakyat supaya bebas daripada realiti. Harga di pasaran pengguna yang hampir 30 peratus dikawal dihadapkan dengan kadar inflasi sebenar iaitu lapan peratus.

Terkini, hampir 95,000 graduan tanpa pekerjaan berbanding 34,000 pada 2008. Mempermainkan demokrasi: Kebergantungan demokrasi kepada undang-undang terjejas dengan sikap flip-flop pentadbiran kian usang ini. Transformasi dijanjikan adalah kepalsuan semata-mata; sebuah aksi silap mata yang sekilas pandang menguja tetapi sebenarnya adalah satu kelakuan kerang-keroh yang memperdayakan.

Perlaksanaan permintaan rakyat supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, diganti pula dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas, atau Sosma) yang lebih menekan dan menindas hak rakyat. Bak kata pepatah, keluar dari mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) juga tidak dimansuhkan sepenuhnya, menghalang hak untuk berkongsi pendapat bersama satu sama lain; yang disamankan di mahkamah dan kalah kekal kebal kerana ia lidah rasmi kerajaan, sementara organ parti lawan diasak habis-habisan.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) masih membelenggu serta memangsakan mahasiswa dengan cara menyekat kebebasan intelek dan pembangunan insan - apatah lagi bila diwujudkan kementerian dalam negeri dalam kampus yang tersembunyi dalam badan hal ehwal pelajar!

Bermain dengan wang: Skandal seperti isu salah guna wang National Feedlot Corporation (NFC), amalan kronisme ketika Selex Sistemi Integrati diberi kontrak naiktaraf sistem kawalan udara, konsesi Lebuhraya KIDEX yang diberi kepada syarikat kroni dan keluarga golongan ‘hakimi’ dan isu Port Klang Free Zone (PKFZ) harus diberi perhatian.

Hutang negara tahap membimbangkan (hampir 55 peratus KDNK) walaupun dikatakan berada pada paras yang boleh diterima, bagaimana dengan liabiliti luar jangka dan ketirisan disebabkan pergerakan dana ke luar negara? Oleh itu, permainan duit oleh pentadbiran ini semakin menggugat kestabilan ekonomi masa hadapan.

Usaha menyenaraikan Felda Global Ventures Holdings dan mengongsi durian runtuh bersama peneroka Felda adalah usaha lepas batuk di tangga oleh pihak pentadbiran yang tidak berkongsi bahagian milik peneroka dengan adil.

Mainan perasaan: Rakyat dimomokkan hasutan pihak yang ingin mengekalkan kuasa atas rakyat. Tidak cukup dengan fitnah dan benci kesumat, terdapat politik ketakutan, hasutan dan fitnah. Semakin jelas cubaan untuk menanam rasa benci sedangkan pemecahan kalangan rakyat adalah perkara yang ingin dielakkan semua.

Akta Hasutan yang kononnya dimansuhkan sebenarnya dilabel semula dan diganti Akta Harmoni Kebangsaan buatan kerajaan. Mempermainkan nyawa: Disebabkan amalan terbiasa memenuhi nafsu sesetengah pihak, keselamatan rakyat dan negara dipertaruhkan.

Sifat mementingkan nafsu terserlah ketika rahsia negara tergadai di dalam isu kapal selam Scorpene baru-baru ini. Pembida yang sebelumnya tidak layak, sekadar pakar pemasang meter air dihadiahkan Projek LRT Ampang, mempersendakan keselamatan rakyat.

Tidak cukup menggadai keselamatan di paras laut, pentadbiran ini juga memperlekehkan keselamatan ruang udara negara melalui penyelenggaraan Sistem Radar Kawalan Udara yang diakui secara bersurat oleh pengendali masih mempunyai potensi mengundang gangguan teknikal merbahaya.

Main kotor: BN semakin sinonim dengan cara mempraktikkan budaya samseng dan mengeksploitasi ISA untuk kepentingan politik sendiri. Pilihan raya belum lagi pada tahap adil dan bersih, dan perkara ini semakin jelas dengan adanya jentera kerajaan seperti akhbar yang memutarbelitkan fakta dan kebenaran terhadap pembangkang; menjadi prinsip dan amalan propaganda dan laporan berita tersebut.

Kita mesti bertindak sebelum semua permainan ini merugikan dan menggelapkan masa depan negara dan memastikan tidak dipermainkan masa hadapan kita semua! Jangan main-main!