SAYA teringat lagi tatkala di usia kanak-kanak, tiada istilah pembahagian waktu di antara yang serius dan yang main-main. Malah, bermain memenuhi hampir keseluruhan aktiviti seharian.

Bangun tidur, saya akan bermain, bermain dan bermain hingga masuk tidur. Bila hendak mandi pagi, saya bermain air hingga abang mengetuk pintu bilik air kerana lama sangat saya di dalamnya.

Bila di sekolah, saya bermain di dalam bilik darjah. Tatkala menanti cikgu subjek berikutnya, saya dan rakan-rakan sekelas boleh bermain kejar-kejar. Ketika cikgu mengajar pun saya masih bermain baling roket kertas.

Di waktu rehat jangan cakaplah apa jenis permainan yang saya sertai. Saya akan berlari, berkejar dan bergelut dengan permainan police and thief hingga baju berdebu kerana terjatuh dikejar lawan.

Pada sebelah petang pun sempat bermain dengan mandi laut sebelum masuk ke kelas agama. Di dalam kelas masih boleh bermain sembunyi kitab Muqaddam kawan. Bila pulang dari sekolah pun masih bermain dengan berlumba basikal pulang ke kampung.

Bila bersolat di surau, akan tergigil ketawa bila kawan menyebut ‘amin’ lebih kuat dari imam. Setelah solat maghrib, saya dan kawan-kawan berlawan siapa yang lebih banyak dapat melastik cicak. Usai isyak, menggulung kain saperah sujud pun masih boleh berlumba dengan kawan siapa yang lebih pantas siap menggulung.

Di usia remaja, kita bersukan sebagai satu bentuk permainan. Ada permainan padang seperti bola sepak dan permainan gelanggang seperti badminton. Bezanya, permainan pada usia yang begini dilayani dengan cara yang lebih serius.

Di alam remaja juga kita mencuba sesuatu yang kita belum pernah buat atas ajakan kawan-kawan. Itu pun satu bentuk permainan juga. Kita cuba lepas tangan bila berbasikal atau merempit melebihi had laju.

Walaupun ia melanggar undang-undang, ia disertai dengan niat untuk bermain. Di usia sebegini, apa sahaja yang baharu ingin dicuba dengan hasrat ingin bermain. Hingga bercinta pun boleh dibuat main.  

Bila kita melangkah di alam kerjaya, stres kehidupan menjadikan kita lebih serius. Kita seperti bermain dengan berlari bila mengejar bas. Berlumba jugalah untuk menyiapkan kerja menepati deadline agar tidak dibahasakan bos. Boleh main tangguh-tangguh untuk membayar sewa rumah. Begitulah, permainan yang kita jalani lebih berbentuk serius.

Kita meningkat dewasa dengan segala keseriusan. Permainan sudah semakin jarang kita lakukan. Bekerja untuk masa depan, tanggungjawab kepada keluarga dan anak-anak. Makan minum bersama keluarga pun adalah kerana kita hendak memberi masa kepada mereka.

Beribadah pun bukan lagi kerana ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Menciptakan kita. Tetapi kerana ia sudah menjadi rutin orang beragama.

Bermain mempunyai peranan yang semakin mengecil mengikut peringkat umur. Semakin berusia, bermain semakin jarang dilakukan. Kita semakin serius dalam menghadapi kehidupan. Apakah kita menjadi semakin bahagia ataupun semakin sengsara kerana keseriusan kita mendepani segala?

Kerana itu, tidak hairanlah jika kita lebih menggemari untuk meneliti segala masalah yang berlaku di dunia ini. Ulah Presiden Donald Trump menjadi kebimbangan kita. Hal-hal pelarian Syria dan Rohingya menjadi topik perbualan malah menjadi carian utama apabila melayari internet. Tetapi setakat cari dan baca sahajalah. Menderma, jauh sekali.

Sudah tentulah apa yang berlaku di negara kita ini menjadi kerisauan kita selama berhari-hari. Hal politik menjadi kebimbangan, meskipun kita tidak mendaftar pun menjadi pengundi. Apatah lagi menjadi ahli mana-mana parti politik. Kisah artis berkawan dengan anak raja pun menjadi kerisauan kerana tidak mahu artis yang disayangi berpaling kasih.

Begitu juga kita turut marah-marah dengan pihak berwajib apabila kolam bauksit tidak dikambus hingga mengakibatkan kematian. Walhal, kita tidak tahupun wujudnya kolam yang tidak berkambus sebelum ini.

Kita bimbang, kita risau dan kita marah kepada sesuatu yang bukan menjadi tanggungjawab kita sendiri. Sedangkan hal-hal yang berlaku jauh daripada kita itu tidak menjejaskan sama sekali kehidupan kita.

Semua bahagian ada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menanganinya. Seharusnya kita ikuti sahaja seadanya. Jika masalah itu selesai, kita berasa gembira.

Jika ia tidak beres, kita tidak patut pula berasa geram dan marah. Apakah kita tidak prihatin atau cakna sekiranya kita tidak ambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita? Tidak. Kita sepatutnya meletakkan sesuatu itu kepada tempatnya.

Dalam kita mencari keadilan, berlakulah adil kepada diri sendiri. Tumpukan kepada apa yang seharusnya menjadi tanggungjawab kita. Samada ia tanggungjawab kepada kerja, keluarga dan juga diri sendiri. Jangan nanti bila kita asyik berbincang mengenai apa orang yang bertanggungjawab harus lakukan, orang berkenaan hanya berpendirian, ‘ada aku kisah?’

Kembalilah kepada diri kita yang menyulam kehidupan dengan bermain. Tidak perlu terlalu serius dengan permainan orang. Kerana, bila direnungi kepada apa yang berlaku secara berulang-ulang itu, sedarkah kita bahawa barangkali kita ini dipermainkan isu-isu di sekeliling kita!