Setiap makhluk yang bernyawa di dunia ini berhak untuk hidup. Hak ini bukan terbatas kepada manusia sahaja, tetapi juga haiwan peliharaan kesayangan yang antaranya menjadi pelengkap hidup.
Oleh itu, Persatuan Penjagaan Haiwan Selangor (SPCA), PetsMore dan dan badan bukan kerajaan (NGO) telah menganjurkan Celebrate Your Love for Animals sempena Hari Haiwan Sedunia di Desa Park City bagi menggalakkan orang ramai menjaga kebajikan haiwan dan sokongan, baru-baru ini.
Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh pengumpul dana selebriti dan penyanyi tenor kumpulan popular Platters, Donne Ray Radford.
Pengerusi Persatuan Penjagaan Haiwan Selangor (SPCA), Christine Chin berkata, pihaknya akan terus membela, melindungi kebajikan haiwan sebaik mungkin.
“Kami percaya haiwan perlu mendapat sekurang-kurangnya lima kebebasan mereka, termasuk kebebasan daripada kelaparan dan dahaga,” katanya.
Menurutnya, menerusi pelbagai aktiviti, tajaan dan sokongan korporat, SPCA telah dapat menganjurkan pelbagai acara untuk membantu meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab sebagai pemilik haiwan kesayangan.
Aksi lucu
Christine berkata, dalam program tersebut, SPCA dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain mengadakan kempen Hentikan Penganiayaan Haiwan serta memperjuangkan undang-undang lebih ketat untuk melindunginya.
“SPCA menggunakan kesempatan itu untuk menyampaikan anugerah kepada beberapa pejuang kebajikan haiwan yang sentiasa membeli perlindungan dan pembelaan,” katanya.
Christine berkata, program tersebut telah mendapat sokongan baik daripada pelbagai lapisan masyarakat dengan membawa bersama haiwan peliharaan kesayangan mereka sekali untuk berjumpa rakan baru.
“Pelbagai aktiviti menarik khas untuk haiwan termasuklah termasuk kelas latihan anjing oleh Dog Gone Good, acara jalan kaki untuk amal di sekitar taman dan pertunjukan “Menari dengan Anjing dan Ketangkasan” yang dianjurkan Pet and You.
Pelbagai aksi lucu seperti anjung mencuba Moonwalk dan “bertarung” untuk berebut Frisbee membuat penonton pecah perut,” katanya.
Penyampaian anugerah
Pejuang kebajikan haiwan, A Thanuja (Miss World Malaysia 2009), menjadi juruacara pada hari itu dan turut menyertai jalan kaki untuk amal bersama seekor anjing dari pusat perlindungan SPCA. Rakannya dan wakil NGO yang terlibat dengan kebajikan haiwan turut memeriahkan perayaan dengan aktiviti mereka sendiri.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran kempen Hentikan Penganiayaan Haiwan yang memperjuangkan undang-undang lebih ketat untuk melindungi haiwan daripada penganiayaan. SPCA menggunakan kesempatan itu untuk menyampaikan anugerah kepada beberapa pejuang kebajikan haiwan.
Mereka termasuk Kumpulan Penyelamat Terbaik (Sukarelawan Kucing Terbiar & Anjing Jalanan - KTAJ), Anugerah SPCA 2011 untuk Sokongan Dalam Pendidikan Kemanusiaan Mengenai Kebajikan Binatang (syarikat perbankan - HSBC), Anugerah SPCA 2011 untuk Kumpulan Sukarelawan Sekolah Paling Aktif Memberi Sokongan (International School of Kuala Lumpur - ISKL).
Selain itu, Anugerah SPCA 2011 untuk Korporat Penyayang (Metrogen Sdn Bhd), Anugerah SPCA 2011 untuk Pengumpul Dana Selebriti (Donne Ray Radford) dan Anugerah SPCA 2011 untuk Duta Selebriti (Thanuja).
Acara kemuncak ialah penyampaian Anugerah Juara Haiwan Peliharaan Kesayangan yang dimenangi Anjing comel bernama Coco.
Anjing tersebut pernah berjasa dengan menyelamatkan keluarga tuannya seramai tujuh orang daripada kejadiaan kebakaran yang memusnahkan rumah mereka.
Cat Survivors daripada KTAJ juga berkongsi cerita dan pengalaman mereka yang menyentuh hati dengan pelawat yang mengunjungi gerai mereka.














