Lagu dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang berjudul Tanggal 31 merupakan antara lagu patriotik popular yang mencerminkan nurani kesetiaan dan kecintaan rakyat terhadap kemerdekaan negara sehingga hari ini.

Lirik-lirik lagu itu mengajak kita ‘Ramai-ramai menyambut Hari Merdeka’ - sambutan yang seharusnya ‘Disambut dengan jiwa yang merdeka’.

Lagu-Lagu yang bertemakan merdeka mendorong kelahiran semangat patriotik cintakan negara yang menjurus kepada pembinaan satu ‘Jiwa Merdeka’ yang menjadikan setiap warga bebas dan mampu membangun - duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi - dengan bangsa negara-negara lain.

Lagu merdeka seharusnya bertitik tolak daripada persoalan apakah makna patriotisme dalam erti kata sebenarnya.

Patriotisme adalah semangat cinta kepada bangsa dan negara.

Seorang patriot akan melakukan yang terbaik untuk kepentingan negara dan bukannya kepentingan individu atau sesuatu puak sahaja.

Apabila projek-projek dan pembelian harta kerajaan serta program penswastaan yang sengaja dilipatgandakan harganya berkali-kali untuk diberikan secara mudah kepada kroni dan keluarga mereka yang berkuasa menggambarkan amalan korupsi yang merugikan rakyat dan sememangnya 'UN patriotik. Scorpene, NFC, Istijuara dan PKFZ' di antara senarai panjang yang bakal terpahat dalam sejarah negara sebagai penjarahan ekonomi besar-besaran.

Seorang patriot akan menuntut keadilan dan kesaksamaan di dalam segala peluang untuk merasai nikmat kemerdekaan termasuk nikmat kekayaan ekonomi dari bumi kita sendiri. Bayangkan dianggarkan lebih RM1 trilion (RM1,000,000,000) telah dikeluarkan daripada sempadan negara kita dan jika dikira dengan RM456.1 bilion hutang negara dan RM667 bilion hutang isi rumah – membuktikan rakyat masih di’jajah’ serta di’jarah’ khazanah negara yang sepatutnya dinikmati semua rakyat.

Apabila Pakatan Rakyat mencadangkan penghapusan tol, pendidikan percuma, gaji minima, penurunan harga minyak dan penurunan harga kereta untuk kepentingan rakyat, ia mulanya dibantah dan disanggah oleh pihak kerajaan sebagai akan membankrapkan negara (namun kemudiannya ada juga tol yang dihapuskan, perbincangan pendidikan percuma menjadi hangat, dengan pemberian ansuran direndahkan, gaji minimum ditetapkan, harga minyak RON97 turun, dan difahamkan turut ada perbincangan untuk menurunkan harga kereta). Bagaimana pula dengan ketirisan dan aliran keluar wang tadi yang nyata mampu membangkrapkan kita semua?

Jika negara masih dalam belenggu dijajah politiknya dan dijaja ekonominya – di manakah perginya erti sebuah kemerdekaan?

Ayuh kembalikan jiwa merdeka kita!