“BIARLAH kita sedar, iaitu di Tanah Melayu ini ada orang-orang yang bukannya keturunan orang Melayu, tetapi yang kasih dan sayang kepada Tanah Melayu - barangkali lebih - daripada sesetengah orang Melayu sendiri.

Biarlah kita sedar, iaitu orang-orang Melayu sendiri telah menuntut supaya dijalankan kemerdekaan dengan secara demokrasi... dan biarlah kita sedar, iaitu sebuah pemerintahan atau sesebuah negeri yang berdasarkan di atas demokrasi itu, tidak boleh hendak memeliharakan hak-hak negeri itu bagi kepunyaan satu pihak sahaja.”  - Datuk Onn Jaafar (Perhimpunan Agung Umno 1951)

Sebuah negara boleh diibaratkan sebuah keluarga.

Hari Malaysia yang ke-50 sebenarnya kesinambungan dari Hari Kemerdekaan ke-56 yang menggambarkan sebuah keluarga Malaya muda yang sudah dewasa sebagai keluarga Malaysia. Tetapi, adakah keluarga ini sudah dewasa?

Keluarga menggambarkan kesatuan, perhubungan rapat dan tempat tumpahnya kasih sayang. Terlintas sahaja perkataan ‘keluarga’ maka tercetuslah perasaan kasih sayang, persefahaman dan kebahagiaan.

Dalam mana-mana keluarga, semestinya ada peranan yang dimainkan bermula dengan ibu bapa dan adik-beradik. Untuk sebuah keluarga berfungsi dengan baik berdasarkan kasih sayang, seharusnya abang sulung bersedia menolong ibu dan ayah dengan memimpin, mengasuh dan menjaga adik-adiknya; bukan membuli, seraya mewujudkan ketegangan dalam keluarga.

Apakah tanggungjawab abang dalam keluarga ini? Abang sepatutnya menjaga dan bantu untuk memperkukuhkan adik-adiknya. Abang yang begini akan dihormati dan diangkat sebagai ketua mereka.

Malangnya, apabila abang pula membuli adik-adiknya supaya hanya mendengar dan mengikut telunjuknya atau menakutkan adik-adiknya dengan cerita hantu, adik-adik tersebut akan berasa keliru dan dipinggirkan.

Keluarga itu akan jadi lebih rumit apabila abang tersebut juga membuli ibu bapanya dengan memeras ugut dan merajuk sakan. Paling sedih apabila si abang buat ‘kepoh’ sehingga semua adik-beradik berasa mereka adalah adik tiri atau lebih dahsyat, anak angkat.

Ini bukanlah ciri sebuah keluarga yang bahagia. Apabila ini berlaku sudah tentu mereka akan berasa bukan sebahagian daripada keluarga sebenar dengan semangat kekitaan tetapi hanya menumpang.

Bagaimana keadaan si-abang menjadi pembuli ini boleh berlaku?

Para psikologi mengatakan punca seseorang itu menjadi seorang kaki buli adalah disebabkan sifat ketidakyakinan, kepunyaan harga diri yang rendah, tingkah laku patologi dan juga pernah menjadi mangsa dera seorang pembuli lain.

Bilamana tabiat membuli disorok di sebalik alasan bahawa si abang telah menjadi mangsa keadaan sehingga yang buruk dikatakan baik, apabila korupsi dikatakan subsidi, warna kulit dan bukan perlembagaan dikatakan ketuanan, penipuan dalam pilihan raya dikatakan usaha menyelamatkan kuasa bangsa - semua ini adalah hujah ilusi seorang abang yang takut.

Alasan sebenar tabiat membuli oleh abang itu kerana tidak berani menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan serta sudah biasa dengan mendapat kekayaan secara mudah tanpa bekerja kuat memang merugikan seluruh keluarga.

Namun adalah tidak lambat untuk si-abang bertaubat dan pulang ke pangkal jalan, tetapi abang itu mesti mahu dipulihkan dan jujur mengaku ada masalah yang memerlukan penyelesaian atau penawar yang sewajarnya.

Si abang mesti berpegang kepada jati diri yang mulia sebagai pelindung kepada semua adik-adiknya. Si abang mesti mahu berkongsi secara saksama semua sumber keluarga agar adik-adik juga dapat berasa kekayaan yang dimiliki. Si abang mesti menjadi pemimpin yang adil agar membantu bukan membantut perkembangan serta pembangunan seluruh keluarga.

Saya masih ingat ucapan ayah saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada tahun 1997 ketika beliau masih timbalan perdana menteri. Di dalamnya beliau membacakan peribahasa:

Buah delima berpangsa-pangsa
Sama jua bijinya merah
Jangan tuan berpilih bangsa
Sama jua darahnya merah

Dalam erti kata lain, kita tidak perlu taksub dengan keturunan atau etnik kerana darah adalah merah, apa pun warna kulit.

Bapa Kemerdekaan banyak berjasa  Dikenang rakyat sepanjang masa Negara kita berbilang bangsa Bersatu padu muhibah sentiasa

Ini adalah semangat muhibah yang pernah wujud satu ketika dahulu. Semangat ini masih boleh dihidupkan agar Hari Malaysia menjadi tanda bukti semangat kekitaan dalam sebuah keluarga besar iaitu keluarga Malaysia yang bahagia.

Kalau kita katakan Malaysia adalah sebuah keluarga seharusnya kita bermula beraksi sebagai sebuah keluarga bermula dengan menasihati abang itu agar jangan lupa diri atau terus membuli.