• (K) TAN SRI ABDULLAH AHMAD
1 /

Madah Speaking, tanpa bosan dan tidak boleh dinafikan lagi, menguasai dua/tiga bahasa atau lebih dengan baik memberi mereka itu “a cultural and an economic advantage - mendatangkan kelebihan dalam ekonomi, pasaran dan kebudayaan.” Maka seorang Peribumi/Melayu yang berupaya demikian - bahasa ibunda, Inggeris, Mandarin atau Arab beruntung; juga negara.

Semua sekolah kebangsaan memberi pendidikan dalam dwibahasa, Melayu dan Inggeris. Di sekolah Cina, bahasa Melayu (BM), Mandarin dan bahasa Inggeris (BI), di sekolah Tamil bahasa Tamil, BM dan BI. Di sekolah agama, BM, BI dan bahasa Arab; di sekolah private antarabangsa atau lokal murid Melayu mempelajari BM atau bahasa ketiga. Lazimnya Perancis, Sepanyol, Mandarin, Arab, Jerman dan Jepun. BI adalah bahasa penghantar di sekolah ini.

Di rantau Asean, pukul rata, Singapura lebih berjaya dalam pendidikan ini. Orang Singapura terutamanya Cina lazimnya bisa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, Mandarin dan loghat. Orang Cina Singapura yang trilingual yakni BI, BM dan Mandarin bilangannya amat, amat kecil. Orang Melayu Singapura pula berkomunikasi dalam BI dan BM dan sebilangan kecil juga bisa bertutur dan membaca dalam bahasa Mandarin.

Orang Singapura keturunan India dan Sri Lanka telah menguasai BI sepenuhnya dan Mandarin juga. Mereka telah mengamalkan pepatah Melayu di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Di Malaysia, rakyat kita tidak seperti rakyat Singapura pada keseluruhannya. Cina Malaysia lebih senang berbahasa Mandarin, atau loghat Cina lain, BI daripada BM sungguhpun bahasa nasional dan bahasa rasmi tunggal seolah-olah pada mereka bahasa ketiga.

Saya jarang sekali mendengar orang Melayu dan pemimpin Pas walaupun mereka berpendidikan Arab bertutur dalam bahasa itu. Kenapa? Mereka lebih bertutur sesama mereka pun dalam BM atau BI!

Kita sekarang wujud dalam politik, ekonomi dan budaya global. Orang Melayu terutamanya jangan ambil mudah dengan pendidikan BI sungguhpun pada sesetengah orang kita bahasa itu payah. Kalau tidak mereka akan ketiadaan sesuatu yang precious dan lebih malang lagi pelajar Melayu yang hanya menumpukan kepada BI dan lemah dalam bahasa ibundanya atau tahu asas sahaja. Golongan ini juga akan kehilangan sesuatu yang lebih precious.

Nasihat saya - kalaulah ada nilainya - kepada semua ibu bapa Melayu: Apa pun kesukaran yang anak atau kita sendiri melalui dalam pembelajaran bahasa Inggeris mereka wajib pastikan anak, suka duka, menguasai kedua-dua bahasa itu BI dan BM.

Di rumah mereka mesti bertutur dalam bahasa ibunda, di sekolah, masa berinteraksi dengan orang lain dan sesama pelajar dalam BI atau sebaliknya. Berbuat demikian mereka akan lancar mendengar bunyi, struktur ayat dan perkataan atau vocabulary kedua bahasa.

Terpenting anak dapat peluang mengenal a sense of the language (BI dan BM). Itu sudah satu sukses walaupun mereka tidak mendapat A, B atau C dalam peperiksaan. Ibu bapa mesti tekankan ini kepada anak kalau tidak anak dan cucu kita akan hilang saya tegas sekali lagi something very precious iaitu nilai dan kualiti keindahan dan kehalusan kedua bahasa tersebut.

Orang Melayu dalam mengejar BI janganlah pula lupa daratan, lupa bahasa ibunda! Harus diingat jiran terdekat kita melebihi 250 juta penduduk - Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Siam. Juga lebih ramai lagi orang kita menguasai Mandarin lebih baik kerana suka duka kita mesti berurusan dengan China, ekonomi kedua terbesar di dunia dan sedang muncul dengan cepatnya sebagai kuasa kedua terbesar di alam ini.

Singapura, Hong Kong dan Taiwan - ketiga-tiga negara majoriti Cina sudah pun mencapai status dunia pertama. Orang Melayu mesti lebih serius, lebih fokus mempelajari bahasa Arab kalau kita benar-benar mahu mempelajari agama. Juga negara-negara Arab dengan “Spring Revolutions” mereka sedang muncul, dan bakal pasaran terbesar berjumlah lebih 200 juta manusia yang kemampuan membeli-belah tinggi.

Selepas 55 tahun merdeka, saya dapati lebih ramai orang Melayu kini bilingual dengan baik daripada sebelum merdeka atau 10 tahun selepas merdeka. Ini satu sukses. Apa pun kita janganlah pula keterlaluan meniru gaya, adat resam barat. Ambilah yang baik dan tinggalkan yang buruk yang nampaknya sedang melanda muda-mudi dan sebilangan masyarakat Melayu di mana nilai hidup mereka amat diragui.

Tirulah orang Cina walaupun di mana mereka berada, apa pun agama mereka peluk baik Islam, Kristian mereka tetap Cina dengan kebudayaan dan bahasanya. Kita Islam tapi kita harus ingat kita bukan Arab! Cina Islam pun mereka tetap Cina. Kristian mereka tetap Cina. Apalagilah kalau mereka Buddha atau pengamal nilai, ethos Confucius atau Confucian values.

Selain daripada BI, bahasa yang paling popular dipelajari kini di seluruh alam adalah bahasa Mandarin dan Sepanyol. Bahasa Sepanyol adalah antara lima bahasa terbesar di dunia kerana semua negara di Latin Amerika kecuali Brazil (bahasa Portugis) bertutur Sepanyol selain dari Spain, iaitu sumber bahasa dan kultural Sepanyol.

Apabila ekonomi, politik dan budaya kita mencapai atau mencecah status kestabilan dan kemuliaan dunia pertama maka kita akan dihormati - ramailah manusia mahu mempelajari BM pula.