MINGGU lepas, saya ada melahirkan kebimbangan tentang mengapa isu rakyat dikesampingkan, terutamanya dari sudut ekonomi dan keadilan sosial.

Laporan Unicef yang dikeluarkan beberapa minggu lepas, menggambarkan realiti sedih kanak-kanak miskin bandar yang terdedah kepada isu kekurangan zat, akses kepada pendidikan awal dan isu keselamatan di kawasan rumah.

Sebagai wakil rakyat Lembah Pantai yang sering bertemu dengan golongan terbabit, saya acap kali berasa sayu melihat keadaan mereka.

Walaupun kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbangga dengan jangkaan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5-6 peratus bagi 2018, ia sukar dirasai dan difahami rakyat yang berada di kelompok bawahan.

Dari pengamatan saya, masih banyak yang boleh dilakukan untuk membantu kelangsungan hidup masyarakat, khususnya warga B40 di kawasan bandar.

Dan ternyata, ia benar. Laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) buat tahun 2017 mendedahkan pelbagai realiti menggemparkan dari sudut gaji, peluang pekerjaan dan peranan buruh asing di negara ini.

Aspek gaji adalah masalah terbesar yang dilaporkan. Mengikut saranan BNM, sepatutnya seorang bujang yang tinggal di Kuala Lumpur memerlukan purata RM 2,700 sebulan untuk hidup selesa.

Tetapi malangnya, kadar gaji yang diterima tidak mengizinkan, rata-ratanya bergaji kurang RM2,000 - terutamanya pemegang diploma.

Lebih menakutkan, kadar pengangguran graduan dilaporkan meningkat ke 4.1 peratus pada tahun 2016 - mewakili jumlah hampir 10,000 graduan menganggur.

Harus diingat, ini hanya bagi tahun 2016 dan belum mengambil kira jumlah keseluruhan penganggur belia secara umum.

Walaupun hakikat ini dipersetujui Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, masih banyak yang perlu diubah. Amat merisaukan saya, apabila sejumlah 67 peratus daripada penerima gaji rendah berada dalam kelompok pekerja berskil rendah atau sederhana.

Dalam erti kata lain, daripada setiap 10 pekerja bergaji rendah, tujuh orang tidak diberi pendedahan kepada kerja berskil tinggi, manakala tiga orang lagi menerima gaji yang kurang berbanding kemampuan sebenar.

Pandangan saya, dasar ekonomi negara perlu dipersalahkan dalam hal ini. Sudah tentu ada kesalahan besar yang berlaku, jikalau hampir 82 peratus pekerjaan baharu yang diwujudkan pada 2016, diambil oleh buruh asing. Dalam setiap 10 pekerjaan baharu, hanya dua sahaja yang diisi anak Malaysia.

Hasilnya kini, hampir empat juta pekerja asing berdaftar dan haram mengambil peluang yang sewajibnya ditumpukan kepada bakat tempatan.

Sudah tentu Perdana Menteri boleh berbangga dengan kehadiran pelabur yang datang ke Malaysia untuk membina kilang dan membangunkan industri.

Tetapi akhirnya ia hanya menguntungkan golongan korporat, yang mengambil kesempatan atas dasar yang mengutamakan pekerja asing, yang berskil dan bergaji rendah - tatkala anak-anak tempatan menangguk di air keruh.

Apabila pekerjaan berskil tinggi gagal diberi perhatian dan diwujudkan dalam skala besar, tiada faedah kerajaan menumpukan perhatian pada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Begitu juga dengan pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disebut-sebut sebagai pengubah masa depan Malaysia.

Menuju PRU14, saya mengimpikan terbitnya visi baharu dalam sesebuah kerajaan - visi yang menekankan kesamarataan dalam kalangan masyarakat, dengan jurang gaji yang semakin mengurang.

Menuju PRU14, saya idamkan wujudnya beribu peluang pekerjaan berskil tinggi buat belia dan graduan tempatan, sehingga nama Malaysia mampu diangkat seiring dengan negara maju serantau seperti Singapura dan Jepun.

Menuju PRU14, saya ingin melihat perubahan polisi pengambilan buruh asing, demi memartabatkan hak anak Malaysia sebagai penyumbang besar pembangunan negara.

Perkara-perkara ini sering kali saya bawa ke sidang Parlimen untuk dibincangkan. Namun saya selalu terkilan, apabila jawapan yang diterima lebih menampakkan sebuah pentadbiran yang mahu melindungi kepentingan sendiri berbanding menunaikan tanggungjawab terhadap rakyat.

Sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan sememangnya kelihatan ‘ideal’ dan cantik di pandangan umum, tetapi di Malaysia hak rakyat pula yang selalunya ditidakkan.

Saya yakin, perlu ada perubahan yang drastik demi mengangkat potensi Malaysia dan meningkatkan mutu hidup masyarakat. Dan ia hanya mampu dilaksanakan dengan kerjasama rakyat, dalam tempoh yang terdekat.

* YB Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai