DALAM siri jelajah utara sepanjang sebulan yang lalu, saya berkesempatan bertemu ramai penoreh getah yang semakin susah dan gundah.

Kata mereka, pendapatan tidak mencukupi untuk menanggung biaya hidup yang makin sarat. Akhirnya, anak-anak tidak mampu disajikan makanan yang sihat dan berkhasiat.

Sejak 2016, berkali-kali saya bangkitkan isu kekurangan zat, atau malnutrisi di Parlimen. Bermula dengan kebajikan anak-anak penoreh getah yang terabai, tahun lepas pula saya ketengahkan isu masalah pertumbuhan terbantut kanak-kanak di Malaysia.

Pernah saya bangkitkan usul di Parlimen berkait bayaran asas penoreh getah RM1,500, demi memberi kemudahan buat mereka. Namun seperti biasa, tiada sebarang tindakan diambil.

Alangkah indahnya jika kerajaan, menerusi Parlimen membawa kes ini secara serius. Tidaklah kita terpaksa didedahkan dengan laporan Unicef, berkait anak Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ketandusan khasiat, pertumbuhan fizikal dan peluang pendidikan.

Isu rakyat yang berlaku hari ini, berpunca daripada satu masalah besar - ketidakupayaan kita untuk mengakui wujudnya satu-satu permasalahan. Apabila pengakuan tidak wujud, maka tiadalah penyelesaiannya, tetapi akhirnya memberi padah kepada negara dan peribadi pemimpin.

Tatkala Lord Bates, seorang menteri di United Kingdom sanggup meletak jawatan kerana lewat hadir bagi menjawab soalan di British Parliament, para pemerintah di Malaysia yang sememangnya gagal menyelesaikan kemelut rakyat masih kekal di atas takhta. Nyata, masih jauh beza di antara sesetengah pemimpin Malaysia dan negara yang mementingkan integriti.  

Acap kali dapat dilihat, peluang untuk membuat dan melaksanakan dasar di Parlimen hanya digunakan untuk kelebihan pihak pemerintah. Sidang yang sepatutnya diguna pakai untuk membawa permasalahan umum, sekadar dijadikan medan menepis serangan pembangkang dan membawa usul berkepentingan, seperti penukaran kawasan undi.

Diakibatkan kegagalan dasar yang menjana ekonomi dan memacu kesihatan rakyat, ibu dan kanak-kanaklah golongan yang paling terkesan. Para ibu giat memerah keringat menyajikan makanan dengan apa yang termampu, anak-anak pula ada yang bantut akibat zat yang bertabur dan tidak seimbang.

Seperti yang ditekankan Pakatan Harapan sejak sekian lama, seharusnya wujud tekad untuk menghapuskan cukai regresif GST - yang juga ditekankan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Untuk negara berpendapatan sederhana tinggi seperti Malaysia, kitaran ekonomi yang tidak membangun kuasa pengguna hanya akan melemaukan nilai Ringgit. Dalam erti kata lain, harga barang mahal kerana cukai memaksa segala perbelanjaan dibuat atas dasar keperluan semata-mata, bukan lagi kemahuan.

Bagi menyelesaikan isu kebajikan dan kesihatan warga kurang berkemampuan, khususnya para ibu dan kanak-kanak, perlu ada pendekatan yang lebih besar dan menyeluruh. Program Kasih Ibu Smart Selangor misalnya, menyalurkan sumbangan bulanan RM200 buat ibu-ibu untuk membeli keperluan asas, terutamanya makanan dan barangan anak-anak.

Lebih penting, kebajikan rakyat harus dipantau rapi. Pemberian ikhlas sebanyak mana pun tidak mungkin berkesan, jika penerima tidak didedahkan dengan pendidikan asas tentang perbelanjaan, pemakanan dan kesihatan.

Tanggungjawab ini perlu disertai langkah yang lebih teliti, berterusan dan teratur kendalian kerajaan pusat dan negeri, dengan bantuan agensi swasta dan badan bukan kerajaan.

Hakikatnya, bukan itu yang berlaku. Terlalu banyak agensi terlibat tanpa pengawalan dan hala tuju, lalu menyusahkan golongan memerlukan. Yang merana ditekan lagi dengan karenah birokrasi, sedangkan anak-anak meronta kerana ketiadaan nutrisi.

Institusi Parlimen, sebagai salah sebuah komponen kerajaan, wajib dibebaskan daripada cengkaman golongan berkepentingan. Suara rakyat yang sepatutnya berkumandang, semakin dikekang.

Apabila usul membincangkan laporan Unicef tentang kehidupan serba daif kanak-kanak miskin bandar ditolak, maka jelaslah ada tangan-tangan yang cuba menyelindungi kebenaran dan kegagalan.

SPR sebagai payung yang melindungi rakyat daripada hujan ketirisan pemerintah dan kemarau demokrasi yang berlarutan, harus memahami peranan sebenar. Rintihan rakyat kian terasa, dek kerana pemerintah yang terlalu alpa, leka dan tamak haloba.

Penderitaan golongan penoreh getah, dan warga Malaysia serta generasi TN50 umumnya, perlu ada titik noktah. Pemerintahan yang melampaui tempoh, telah mengakibatkan keselesaan yang amat dan mengorbankan kemajuan rakyat.

Rakyat tidak sanggup menunggu 32 tahun lagi untuk perubahan, bukan jua 20 tahun, mahupun 10 tahun. Tapi rakyat mahukan perubahan pada hari ini - demi keadilan buat rakyat, dan untuk menyelamatkan Malaysia.

* YB Nurul Izzah Anwar  ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai