DALAM tahun 1967, saya menerima sepucuk surat daripada sahabat saya Zakaria Jab, menyebutkan Yahudi. Surat itu pendek: Elok kita menjadi Yahudi. Huraian tentang kenyataannya tiada.

Kini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau berhasrat untuk melindungi Israel. Teringatlah saya kata-kata Zakaria - sudah bersara, setelah beberapa tahun bertugas sebagai Pengarah Pendidikan di sebuah negeri.

Saya hubungi Zakaria, bertanya sama ada beliau masih merasakan bagus menjadi Yahudi. Katanya, apa-apa yang positif hendaklah diambil dan negatif diketepikan. Saya faham, beliau mengemukakan pandangan secara metafora. Yahudi selalu menang, manakala musuh di sekelilingnya selalu kalah. Nilai positif Yahudi ialah persediaan untuk menang.

Jika kita berbalik pada janji Anwar untuk melindungi Israel, kita menemukan makna beranjak-anjak. Marilah kita bersama-sama cuba menjawab soalan ini: Perlukah kita menyokong mana-mana pihak yang melindungi Israel? Jika kita meminta Israel dan kawan-kawannya melindungi kita, itu lebih munasabah. Jadi, ada kemungkinan Anwar bercakap dengan bahasa ironi. Beliau pasti akan jelaskan makna katanya kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam catatan Hishamuddin Rais (Suara Keadilan 14 Februari), “pada tahun 1967 hanya ada tiga juta orang Yahudi di Israel, manakala jumlah orang Arab ialah seratus juta”. Zakaria yang menulis surat kepada saya ketika itu tahu fakta tersebut. Masalah kegagalan orang Arab menghadapi Israel kemudiannya dijelaskan oleh Hishamuddin dengan baik dan jelas. Kata Hishamuddin, Israel ialah pengkalan tentera Amerika yang cukup lengkap.

Saya tertarik untuk membandingkan kata-kata Zakaria dengan kata-kata Anwar. Ada kemungkinan sejak dulu Anwar berfikir seperti Zakaria. Cuma, selaku pemimpin, Anwar perlu hati-hati ketika mengeluarkan pandangannya.

Dalam dekad 1970-an, Anwar diterima baik mengetuai Abim. Ketika itu, mustahil beliau akan menyuarakan hasrat untuk bersahabat dengan Israel. Namun, kematangan telah didapatkannya melalui pelbagai cara, terutama apabila beliau berpeluang berguru daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam bukunya Gelombang Kebangkitan Asia (1997), Anwar sebut Tun Mahathir membimbingnya dalam pentadbiran dan politik, oleh itu hutang budinya terhadap negarawan itu tidak ternilai.

Seperti biasa, corak perhubungan orang politik akan berubah: kawan jadi musuh. Teguran-teguran Mahathir terhadapnya, atau tegurannya untuk Mahathir telah memisahkan mereka. Anwar kini berada dalam lingkungan lain, dan dalam hal tertentu beliau berada di bawah penasihatan Nik Aziz dan Karpal Singh - membawa beliau ke arena antarabangsa dengan falsafah terbaru: humanisme universal. Antara lain, mengikut falsafah ini, Yahudi pun orang juga. Jadi, tidaklah salah beliau menyokong Israel.

Jika Zakaria berbicara tentang Yahudi secara metafora, Anwar menyatakan sokongannya kepada Israel secara real dan literal. Anwar menegaskan bahawa Israel diiktirafnya bersyarat - Israel menghormati aspirasi dan kewujudan rakyat Palestin. (Sinar Harian 17 Februari).

Idea yang sebegini, iaitu berdasarkan konsep penyelesaian dua negara mungkin tidak baru bagi sesetengah orang. Anwar nyatakan hasratnya dengan kata-kata yang terlalu langsung. Kata-kata itu membawa makna kasih sayang kepada Israel, dan itulah masalah bagi Nik Aziz. Dengan mengatakan “I support all efforts...”, kita secara konotasinya anggap Anwar terlalu akrab dengan Israel.

Saya membandingkan kata-kata Anwar dengan Zakaria, kerana ada keselarasannya. Usia mereka hampir sama, dan memasuki universiti kira-kira serentak. Ketika Zakaria merasakan elok kita menjadi Israel (secara metafora), Anwar mungkin baru mula merencanakan aktiviti politik-sosialnya.

Pada masa ini, Anwar terlalu tahu gerakan politik antarabangsa. Beliau memilih untuk bersuara menyokong Israel, dan kemudian tahu cara membina imej Islamnya melalui pertemuan dengan Yusof al-Qaradawi (ulama) dan Khalid Meshaal (pemimpin Hamas). Anwar menemui mereka sesegera mungkin selepas kata-kata penyedap Israel dituturkannya. Kebolehan untuk bermain dengan sentimen seperti ini sukar dikuasai oleh tokoh politik lain.

Kita perhatikan arah langkah Anwar dan kesan jangka panjang langkahan itu.