Satu ketika dahulu ada disebut bahawa pembangunan dan perkembangan kelas menengah Melayu menjadi agenda utama kerajaan.

Tetapi setelah sekian lama - ada yang kata sudah 43 tahun semenjak DEB diperkenalkan dan ada kata sudah 56 tahun semenjak merdeka lagi - kelas menengah Melayu tidak banyak kelihatan, malah kelas bawahan Melayu pula makin bertambah.

Sebanyak 80 peratus rumah tangga di Malaysia, berpendapatan kurang dari RM3,000 layak menerima BR1M. Jangan pula disebut tentang 32 peratus rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 adalah Melayu.

Satu bukti jelas yang ramai terlepas pandang adalah dengan perlunya kerajaan mengadakan BR1M yang rata-rata penerima adalah Melayu hanya membuktikan kegagalan kerajaan BN untuk ‘membebaskan’ serta ‘memartabatkan’ prestasi ekonomi Melayu.

Sebaliknya bantuan ini menambahkan kadar hutang negara sehingga RM700 bilion.

Orang Melayu tidak mahu BR1M, PR1MA, BL1M dan banyak lagi bantuan yang bersifat sementara dan semakin hari nampaknya merupakan ‘gula-gula’ pilihan raya sementara golongan elit pula terus mendapat ‘kilang gula-gula’.Jurang kemiskinan makin membesar .

Lihat sahaja kepada Indeks Gini, nisbah terkaya dengan termiskin, 46 peratus yang meletakkan negara pada tahap di antara yang tertinggi di Asia.

Lihat sahaja tahap PLI (Poverty Line Income atau Garis Pendapatan Miskin) yang menjadi penanda aras kemiskinan diguna kerajaan - RM800. Jumlah ini ‘menutup’ kadar sebenar yang disarankan institusi kewangan antarabangsa yang meletakkannya pada RM1,500 - bila diguna pakai meletakkan hampir 10 juta orang Melayu dewasa dikategorikan miskin.

Apabila ditanya penduduk Melayu di seluruh negara seperti di kampung atau di Felda atau di Lembah Pantai, terutamanya generasi muda dan wanita - adakah mereka ada harapan untuk menjadi Melayu Kelas Menengah, rata-rata jawapan adalah tidak.

Paling pun katalah mereka dapat beli rumah PPR, itu pun dengan bayaran faedah 6.5 peratus. Walaupun mereka tahu jika menjadi kelas menengah, dapat beli rumah di Bangsar atau Kota Damansara dengan kadar faedah lebih rendah.

Paling kata peneroka Felda dapatlah berhutang membeli saham yang tidak banyak mana pun di mana harga saham pasti jatuh di bawah harga yang dibeli jika tidak di‘selamatkan’ institusi-institusi kewangan kerajaan seperti EPF.

Paling pun kata mereka dapat membeli kereta nasional yang tinggi harga dengan pinjaman bertahun-tahun dengan masalah parkir tidak berkesudahan walau sering kali melihat anak-anak menteri memandu kereta mewah yang harga sebuah sama seperti
gaji 20 tahun rakyat teramai.

Jangan pula hendak melihat atau merasa gaya hidup mewah, gaya fesyen hebat, beg tangan dan perhiasan cincin termahal yang hanya mampu dinikmati mereka yang menjadi jutawan projek RM36 juta pada usia muda atau menikmati projek percuma
RM250 juta atau berjaya menabung dari kecil lagi.

Ini bertambah merunsingkan apabila harapan penduduk hanya untuk ‘kais pagi makan pagi’ agar pendapatan yang diperoleh cukup tanpa perlu bantuan ah long untuk sara kos hidup yang jelas semakin tinggi apabila harga barang semakin hari naik kerana ada monopoli beras dan gula yang sepatutnya kurangkan bukan menambahkan harga.

Sudahlah tanah pusaka diambang tergadai di atas nama pembangunan yang hanya menguntungkan pemaju sehinggakan bukan sahaja tanah kehilangan malah nama pusaka seperti Kerinchi turut hilang dan digantikan dengan nama Bangsar South atau
nama Kampong Abdullah Hukom digantikan dengan nama yang langsung tidak memartabatkan bahasa kebangsaan iaitu KL Eco-City. Adakah nama Kampung Baru juga akan ditukarkan kepada New Town?

Sudah lah sistem pendidikan negara semakin merudum sehingga berbagai pelan tindakan masih belum bertindak dan kos pengajian tinggi semakin tinggi sehingga yuran yang terpaksa dipinjam serta dipaksa bayar balik walaupun bertahun tidak dapat peluang pekerjaan setaraf sijil hanya untuk membayar IPTS milik golongan elit kecil.

Bagaimana hendak diwujudkan kelas menengah Melayu apabila pimpinan kerajaan tertinggi sendiri mengaku masih tidak ada ‘formula’ melainkan menghadiahkan dengan duit rakyat sendiri hanya empat biji tayar untuk pemandu teksi yang jelas pula tidak memiliki teksi tersebut kerana permit teksi sebenar hanya diberikan kepada pihak tertentu sahaja.

Ke mana kelas menengah Melayu?