SESUNGGUHNYA hidup ini adalah sebuah perjalanan. Mahu atau tidak mahu, kita mesti bergerak. Orang kata, kalau tak bergerak, kita akan ketinggalan.

Namun, bergerak ke mana? Ke suatu arah yang selamat. Bagaimanakah kita hendak tahu sama ada kita sedang bergerak ke arah yang selamat sedangkan kita tidak tahu di manakah kita berada?

Andainya kita di tempat yang selamat, buat apa berjalan ke daerah yang mungkin tidak seselamat seperti di sini?

Persoalannya, bagaimanakah kita tahu kita kini berada di tempat yang selamat?

Jika begitu, kita perlu ada peta. Peta itulah yang akan menentukan arah perjalanan kita ke tempat yang selamat.

Tetapi, nanti dulu. Dari mana kita nak dapatkan peta itu? Dan kita mesti dapatkan peta yang betul, bukannya peta yang kita tidak tahu dari asal usulnya. Jika tidak, barangkali kita akan dapat peta yang palsu, yang bukan membawa kita ke tempat yang selamat, tetapi sebaliknya ke jalan yang jahanam.

Peta apakah yang betul, yang boleh membawa kita ke tempat yang selamat? Tentu sekali, al-Quran. Peta ini sahih. Ia wahyu ALLAH SWT yang disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh Jibril AS.

Kemudian dipanjang secara lisan, mulut ke mulut hingga dicatat ke atas pelepah kamar dan akhirnya dijilidkan seperti hari ini. Inilah peta untuk perjalanan hidup. Ini jugalah peta untuk perjalanan maut.

Ramai sekali kita yang tahu bahawa al-Quran itu juga peta. Tetapi, ramai juga yang masih tidak mahu mengambilnya sebagai teman berjalan di bumi ini. Mereka mencari peta-peta kejayaan selain daripada al-Quran yang hanya memberi pandu arah perjalanan setakat di dunia sahaja.

Maknanya, peta separuh jalan atau peta yang akan membawa ke jalan mati. Dead end! Apa guna membawa peta tak lengkap yang kemudiannya dibuang kerana tiada berguna, malah kita sesat semula? Wal hasil balik asal, pi mai pi mai tang tu juga.

 Sebab itulah, kita bijak bila mengambil al-Quran sebagai peta. Ia peta pelbagai fungsi sebagai manual, prosedur operasi standard, skrip dan kompas yang akan menunjukkan dua fasa perjalanan. Yang pertama, perjalanan penuh cabaran onak, duri, gunung dan gaung. Yang kedua, perjalanan bahagia di atas bahagia.

Tetapi, al-Quran sebagai peta sebenar perjalanan ini mencatatkan apa yang betul. Betul dalam ertikata bila kita mengikuti peta ini, ia akan melewati lorong yang sempit dan sesak.

 Laluan menurunnya berduri, berlopak, curam, licin dan bergaung. Hala mendakinya penuh berbatu, jalan-jalan terhalang yang perlukan kesabaran untuk sampai ke puncak.

Dalam pada itu, peta ini juga menunjukkan jalan-jalan di kiri dan kanan yang nampaknya indah-indah. Lorong-lorongnya menuju ke kawasan penuh bercahaya lagi berwarna-warni yang indah terjulang ke langit. Ada banyak sekali denai-denai yang menghala ke gua yang mana datangnya irama indah lagi mengasyikkan.

Namun, peta yang mencatat wilayah-wilayah ini  di al-Quran tidak memaksud mengajak kita ke sana. Ia hanyalah ujian untuk melatih kita supaya fokus dengan apa yang kita lakukan.

Oleh kerana itu, tatkala melangkah dalam perjalanan, lalui sahaja tanpa menoleh. Apa jua yang datang, walau mempesona, hanya mahu kita berhenti lalu terlupa asal tujuan perjalanan kita.

Dalam pada itu, perjalanan hidup akan disulam dengan yang yang sakit dan sukar. Namun, andainya kita mengerti prinsip putaran alam… siang berganti malam, pasang berganti surut, patah tumbuh dan hilang berganti; apa jua yang sukar itu harus dilewati jua.

Sudah namanya perjalanan… kesemuanya akan berlalu dan ditinggalkan dalam lipatan simpang-simpang kehidupan.

Rujuklah al-Quran sebagai panduan dalam perjalanan hidup ini. Ia adalah peta kehidupan yang mudah yang tidak terdapat di peta-peta lain ciptaan manusia. Ia adalah kerana, jalan laluannya simple. Ia lurus. Tiada bengkang-bengkok. Bila kita ikut jalan yang ini, kita akan sampai ke tempat penuh kesenangan dan kebahagiaan yang hakiki.

Oleh itu, sisipkan ayat-ayatnya di dada pada setiap waktu. Nescaya, kita akan berasakan apa jua yang berlaku di sekeliling kita ini sebenarnya tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan. Ini akan membuatkan kita tenang menangani apa jua cabaran dan ujian yang mendatang.

 Sesungguhnya al-Qur’an ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira kepada orang-orang mu’min yang mengerjakan amal shalih bahwa bagi mereka ada pahala yang besar. ~  Al-Israa’ : 9.