DARI semasa ke semasa, saya terdengar juga keluhan masyarakat Kampung Kerinchi tentang penggunaan daun ketum dalam masakan kenduri-kendara - kononnya menjadikan lauk lebih lazat dan menarik dijamah. Akibat dan kesan - khayal dan sebagainya tidak diambil kira.

Mahu tidak mahu, kita mestilah mengakui bahawa penggunaan daun ini sekiranya dibiarkan akan menjadi pemangkin kepada penggunaan dadah lebih berat; termasuk ganja, kokain, heroin dan sebagainya. Terkini, Kementerian Dalam Negeri akan mewartakan penyalahgunaan daun ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada awal tahun 80-an, kita mengenal pasti gejala ketagihan dadah selaku ancaman yang meningkat pesat. Hakikat ini mengakibatkan pengenalan undang-undang yang begitu ketat; iaitu hukuman mati mandatori bagi mereka yang disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah.

Walau perdebatan perihal keberkesanan hukuman mandatori ini hangat diadakan di pelbagai peringkat, umum masih tercari-cari tanda noktah gejala dadah sehingga ke hari ini.

Alangkah sedihnya, pada Mac lalu kita dikejutkan dengan kematian enam belia berumur di antara 19 hingga 28 di Future Music Festival akibat penggunaan dadah sintetik methamphetamine; kemudiannya pada awal Mei, 15 pemandu bas ekspres didapati positif dadah; semua ini sebahagian bukti bahawa gejala dadah masih berterusan dengan pengakhiran yang mengerikan.

Banyak kisah menyedihkan kita dengar tentang penderitaan penagih yang tidak dapat keluar daripada ketagihan, yang seterusnya merosakkan kehidupan mereka dan keluarga. Lebih menakutkan apabila suatu ketika dahulu, penagih dadah  menjadi mangsa utama jangkitan HIV, yang menular melalui perkongsian jarum tercemar dengan virus tersebut.
Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) merekodkan lebih kurang 300,000 penagih dadah di Malaysia. Angka ini mungkin menyembunyikan angka sebenar, dengan sesetengah kajian menyatakan setiap kes yang dilaporkan, ada tiga atau empat kes tidak dilaporkan.

Realiti sebegini memberikan jumlah keseluruhan penagih dadah di Malaysia di antara 900,000 hingga 1.2 juta orang, iaitu lebih kurang di antara 3.2 hingga 4.2 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia!

Kini Agensi Anti Dadah Kebangsaan telah menukarkan Pusat Rawatan dan Penjagaan (C&C), yang menggantikan rawatan secara paksa dengan rawatan secara sukarela melalui kaedah-kaedah berlainan. Berbeza dengan rawatan Puspen atau pusat serenti, menurut AADK sendiri C&C menggunakan “pendekatan yang beraspirasikan konsep terbuka, prihatin, mesra, terapeutik, berstruktur, sistematik, multiprogram serta mampu memenuhi keperluan kepulihan klien secara komprehensif.”

Menurut Pengurus Polisi Majlis Aids Malaysia, Fifa Rahman, daripada 28,663 penagih yang telah menerima rawatan di C&C ini di antara 2010 dan April 2013; 75.9 peratus tidak ditangkap semula atas apa-apa kesalahan jenayah; 72.1 peratus berjaya mendapatkan kediaman sendiri; 77.6 peratus melaporkan mempunyai hubungan keluarga yang lebih baik dan 54.3 peratus menyambung semula pengajian mereka.

Kejayaan ini adalah hasil daripada penggunaan Terapi Methadone Maintenance (MMT), yang menurut sebuah kajian selama 15 tahun membuktikan kaedah-kaedah seperti ini lebih mampu membuahkan hasil berbanding dengan kaedah-kaedah seperti yang digunakan oleh Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) sebelum ini.
Justeru, saya menyeru kerajaan agar mengguna pakai kaedah C&C di kesemua 28 Puspen di seluruh Malaysia.

Perlu diakui bahawa kaedah pemulihan menggunakan kekerasan tidak lagi relevan ataupun efektif dalam merawat penagih-penagih dadah ini. Malaysia cuma mempunyai sebanyak 12 Pusat C&C.

Kita sedar, penagih-penagih dadah lebih memerlukan penjagaan penuh kasih sayang, terutamanya apabila masalah dadah yang dihadapi oleh mereka didorong oleh kesukaran hidup yang berpunca daripada kekurangan-kekurangan yang ada sama ada dari segi kekeluargaan, kewangan ataupun mereka yang menjadi mangsa keadaan.

Seruan saya kepada Kerajaan Pusat adalah untuk melahirkan iltizam politik menerusi penukaran kesemua Puspen kepada pusat-pusat C&C ini - dengan serta-merta. Reformasi sebegini mampu menyelesaikan kemelut mereka yang sudah ketagih, sebelum kita merangka langkah menyelesaikan masalah pencegahan.