TAN Sri Dr Zeti Akhtar Aziz adalah seorang ikon. Sebenarnya, beliau telah lama menjadi ikon, lama sebelum menjadi Gabenor Bank Negara (BNM) pada Mei 2000, setelah memangku jawatan tersebut sejak September 1998.

Pada satu sisi, Zeti merupakan simbol kebanggaan kaum Hawa kerana beliau telah membuktikan kepada dunia bahawa seorang wanita Melayu mampu mengurus sistem kewangan negara majoriti Muslim dengan cemerlang. Sememangnya kejayaan beliau diperakui di seantero dunia dan Zeti merupakan tokoh yang disegani dalam komuniti kewangan global.

Tatkala Malaysia sekali lagi berdepan dengan cabaran ekonomi global yang mengingatkan kita kembali pada zaman menjelang krisis kewangan Asia 1998, terkenang peranan tokoh wanita hebat ini dalam menyelamatkan negara dari terjerumus lebih teruk dalam krisis tersebut.

Walaupun langkah drastik BNM menetapkan kadar tukaran nilai mata wang Ringgit kepada Dolar Amerika ketika itu mengundang kontroversi dan dikritik hebat, langkah tersebut telah terbukti berjaya menenangkan pasaran ketika itu. Ternyata langkah berani itu  tepat dan berkesan.

Justeru, apa yang membuatkan Zeti istimewa? Pertama, beliau seorang ahli perbankan pusat yang sejati: bebas, berani dan profesional. Zeti sering bertindak bertentangan dengan jangkaan pasar- menaikkan kadar faedah lebih awal dari yang dijangka dan memotongnya dengan cepat bersesuaian suasana pasar.

Sepanjang menjadi Gabenor, Zeti berjaya mendorong sektor kewangan negara mempertingkatkan prestasi dan memastikan dalam keadaan stabil serta bersiap siaga berdepan sebarang masalah ekonomi.

Memang benar Zeti dilahirkan dalam keluarga terbilang. Beliau anak kepada tokoh akademik dan ahli ekonomi dari Johor, Profesor Diraja Ungku Aziz, manakala ibunya penulis dan tokoh budaya, Azah Aziz. Namun, Zeti berjaya atas usaha sendiri, bukan kerana isteri atau anak orang tertentu.

Ini membawa saya kepada poin kedua: Zeti merupakan contoh bagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar pro-Bumiputera kerajaan telah berjaya. Hari ini, kita hanya mendengar banyak keluhan tentang kegagalan DEB. Ini sememangnya benar apabila kita melihat kepada peluang dan sumber yang telah disalahgunakan.

Namun demikian, kita jangan sesekali menidakkan kejayaan dasar tersebut dalam melahirkan tokoh disegani seperti Zeti, Gabenor BNM yang disegani di dunia kewangan global.

Seharusnya kita menginsafi hakikat bahawa pada 1970, bilangan golongan profesional Bumiputera (termasuk arkitek, akauntan, doktor gigi, doktor dan jurutera) hanya sekitar 4.3 peratus. Pada tahun 2005, golongan ini mewakili 38.8% dari jumlah keseluruhan Bumiputera
Malaysia.

Walau ramai orang Melayu menggunakan peluang yang diberi oleh DEB untuk mengayakan diri dengan mengaut kontrak-kontrak kerajaan, terdapat juga mereka yang seperti Zeti, menggunakan peluang diberi kerajaan untuk membina kerjaya yang cemerlang terutamanya dalam sistem pentadbiran negara.

Mendahului Zeti, adalah barisan tokoh birokrat dan teknokrat yang amat disegani seperti mantan Gabenor BNM Tun Ismail Ali, salah seorang pengasas Petronas, Raja Tun Mohar Raja Badiozaman, mantan Pengerusi Felda Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali, dan Tan Sri Ahmad Zakaria Noordin Zakaria, Ketua Audit Negara yang berani berdepan dengan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad dalam isu penyelewengan BMF.

Tokoh-tokoh ini berpendidikan tinggi dan berusaha keras dalam membangunkan Malaysia yang kita warisi hari ini. Harus diingatkan, golongan birokrat dan teknokrat yang dikagumi ini merupakan sebahagian daripada kumpulan profesional yang diasah bakat dan kerjayanya dibentuk oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Selain kumpulan pemimpin disegani ini terdapat juga golongan profesional yang walaupun kurang menonjol tetapi begitu berdedikasi seperti barisan hakim, doktor, pentadbir awam dan ahli perniagaan. 

Namun demikian, walaupun kedua kumpulan sering selalu mampu bekerja bersama, golongan profesional Melayu secara keseluruhannya sering berdepan dengan tuntutan golongan politik yang berpengaruh.

Golongan profesional sering kali harus menjadi kompas moral dalam mempertahankan sesuatu yang benar dan menjauhkan dari kehancuran. Sememangnya ini sudah menjadi asam garam dunia pentadbiran Melayu sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Situasi seperti ini menyulitkan dan boleh membawa kepada konflik.

Siapa sebenar lebih berhak menentukan hala-tuju negara: pemimpin politik yang dipilih rakyat atau birokrat yang dilantik?

Dinamika sepak terajang, 'tarik menarik’ di antara kumpulan ini sudah lumrah dalam dunia politik dan pentadbiran tanah air.

Namun begitu, Zeti lebih bermakna dan bernilai dari dinamika ini. Beliau ikon integriti, kebijaksanaan dan profesionalisme.

Sesungguhnya, kita amat memerlukan tokoh seperti Zeti, terutama dalam berhadapan situasi ekonomi yang amat mencabar dan malap ke hadapan.