ZACHARY (atau Zach) Shinske seorang yang pemalu. Tingginya lebih enam kaki, rambutnya merah. Suaranya lembut tetapi pemikirannya tangkas — dia pemegang biasiswa pengajian Sejarah dan Bahasa Jerman di University of Michigan yang berprestij. Zach jadi bersemangat ketika kami berbual tentang Donald Trump.

“Dia ada kecenderungan untuk membuat kenyataan secara umum. Dia tidak membaca daripada teks yang disediakan. Dia seorang pemimpin yang tegas. Saya suka. Saya sangat sukakan dia. Dia cakap apa yang dia mahu katakan. Dia tidak tunduk kepada sesiapa.”

Bagi Zach, penduduk asal St Josephs, sebuah pekan di wilayah Rust Belt yang menghadap Chicago di seberang Tasik Michigan, Trump seorang yang tulen, dan itu sangat mustahak.

“Ini satu penolakan terhadap pentadbiran (Barack) Obama. Obama memecahbelahkannya negara ini lebih daripada sesiapa pun. Dia membesar-besarkan perkara yang remeh dan tidak ada jalan penyelesaian untuk menyatukan negara.”

Ketika ditanya tidakkah pandangannya itu dibakar oleh perkauman, Zach menjelaskan: “Saya tahu sesetengah penyokong Trump tidak setuju dengan idea untuk ada seorang presiden kulit hitam tetapi saya tidak setuju dengan pandangan yang begitu. Tambahan pula, saya peminat Ben Carson sebelum dia menarik diri daripada pemilihan calon presiden bagi Republikan.”

Baginya, Obama seorang pemimpin yang membawa kerosakan. Walaupun dia tidak menuduh Presiden ke-44 itu rasuah atau tidak jujur, dia menggelengkan kepala pada Obamacare dan kekacauan yang memuncak di Asia Barat.

“ISIS semakin kuat semasa kepimpinannya. Pandangan dunia terhadap Amerika semakin melemah dalam soal hubungan antarabangsa. Saudara nampak yang dilakukan oleh Presiden Filipina?”

Zach tambah bersemangat apabila kami berbual tentang ekonomi terutamanya sektor pembuatan, sesuatu yang sangat dekat di hati pengundi-pengundi di Michigan yang mengalih sokongan kepada Trump pada Selasa, mengetepikan Hillary Clinton.

“Amerika tidak dapat banyak daripada Nafta. Saya faham apabila sesebuah perniagaan mahu berpindah untuk membuat duit di tempat lain tetapi saya setuju dengan Trump bahawa mereka patut kekal di Amerika dan menyokong industri kami.”

Apabila ditanya apakah rakyat akan bersabar dalam soal pekerjaan, dia menjawab mudah: “Mereka telah lama menunggu. Apalah sangat kalau terpaksa menunggu sedikit masa lagi sebelum pekerjaan itu datang?”

Zach menegaskan bahawa dia mendahulukan Republikan. Dia bagaimanapun mengaku tanpa Trump, negeri-negeri di wilayah tengah Amerika tidak mungkin mengundi Demokrat.

Sebagai seorang penganut Kristian yang tegar, Zach menyertai sebuah gereja Lutheran dan ada pandangan yang tegas tentang pengguguran kandungan serta hak-hak LGBT.

Dia agak kurang selesa apabila disentuh tentang kecenderungan pegangan agama Trump: “Saya rasa Trump seorang Kristian,” katanya sebelum menukar topik.

Dia menggelengkan kepala semasa kami berbual tentang Clinton dan kempen bekas calon presiden itu.

Dia merasakannya satu jenaka dan berkata: “Suaminya hampir didakwa dan dia pula bertanding jawatan presiden. Dia tidak boleh dipercayai.”

Secara peribadi, saya rasa kunci utama pencalonan Trump ialah cara bagaimana beliau mencuit kekecewaan dan rasa tidak berdaya kelompok 'kulit putih' Amerika.

Saya syak banyak penyokong Trump rasa terasing daripada politik kelompok dan berasaskan kaum yang menjadi asas pakatan pelbagai yang disatukan oleh Obama untuk menang pemilihan pada 2008. Kemenangan Obama memberdayakan pelbagai kelompok minoriti di Amerika.

Berbual dengan Zach selepas pemilihan itu, dia memberitahu saya: “Saya mahu Trump memberikan tumpuan kepada usaha membatalkan Obamacare, melantik hakim-hakim Mahkamah Agung dan merundingkan semula perjanjian perdagangan dan membatalkan perjanjian dengan Iran. Amerika tidak harus membuat janji dengan pengganas.”

Semua ini sudah dijangka. Tetapi ada perkara menarik yang dibangkitkan oleh Zach pada penghujung perbualan kami apabila dia berkata: “Saya fikir saya tidak lagi akan gentar untuk bersuara. Saya tidak lagi perlu bimbang tentang budaya “betul dari segi politik.”

Dengan anak muda yang berbudi bahasa dan bijaksana seperti Zach, adalah mustahil hendak membayangkan dia bercakap hal yang bukan-bukan. Dia tidak akan menakutkan sesiapa pun. Tetapi retorik marah-marah Trump dan kecaman anti Islamnya telah membuka sempadan baru tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh.

Trump sudah jadi avatar bagi masyarakat kulit putih Amerika yang marah-marah dan rasa tidak selamat yang cuba mencabar pakatan majmuk Obama.

Beliau menjanjikan kepada mereka patah balik kepada apa yang mereka lihat sebagai Amerika lama, ketika mana keadaan adalah lebih baik bagi mereka.

Tetapi bolehkah beliau mengotakan janji-janjinya? Bagaimana kalau beliau gagal?

Raksasa telah dilepaskan.