JAKARTA adalah kota yang mendominasi Indonesia, sama seperti ibu kota lain di rantau Asia Tenggara termasuk Kuala Lumpur, Manila dan Bangkok yang memiliki pengaruh besar di negara masing-masing.

Kesemua metropolitan ini mempunyai pengaruh besar dalam hal ehwal negara, terutamanya dalam bidang ekonomi, politik dan media. Namun ini tidak bermakna bandar-bandar lebih kecil seperti Surabaya dan Cebu tiada tarikan, malah bandar-bandar ini ada keistimewaannya tersendiri.

Walaupun Jakarta dianggap nadi Indonesia, ini tidak bermaksud kehebatannya merangkumi semua aspek kehidupan. Jika Jakarta dibandingkan dengan bandar lain dari aspek seni, jelas ia masih lagi ketinggalan.

Sudah tentu, destinasi seperti Yogyakarta dan Bandung mampu menawarkan pengalaman cukup menarik bagi penggemar-penggemar seni berbanding di Jakarta.

Hal ini boleh dikaitkan dengan adanya institut-institut seni terulung di Indonesia di bandar-bandar ini. Contohnya, kampus Institut Seni Indonesia (ISI) di Yogyakarta, dan Fakulti Seni Reka Institut Teknologi Bandung (ITB) di Bandung.

Pada masa sama, sewa studio dan kos sara hidup di bandar-bandar ini adalah lebih murah berbanding Jakarta. Ini suatu perkara penting, terutama bagi seniman yang baru mencebur diri dalam bidang seni ini.

Di Yogyakarta, semangat kesenian sudah tersemai dalam diri kebanyakan anak-anak muda, di mana mereka turut menceburkan diri dalam bidang seni dengan harapan dapat mengikut jejak artis tersohor seperti Affandi, Sudjojono Abdullah atau Hendra Gunawan, barisan seniman tersohor di Indonesia.

Pada awal bulan lepas, beberapa hari sebelum Ramadan, Yogyakarta sekali lagi mengukuhkan reputasinya sebagai ibu kota seni visual Indonesia dengan penganjuran acara “ArtJog13” di Taman Budaya, Yogyakarta.

Acara ini, yang dianjurkan komuniti bidang kreatif Yogyakarta, membawa konsep sangat menarik bertemakan “Budaya Maritim”. Ia menampilkan seniman Bambang “Toko” Witjaksono sebagai kurator utamanya. Pada masa sama, ia merupakan pameran dan jualan karya seni secara langsung tanpa melibatkan orang tengah.

Memandangkan tarikh acara diadakan pada malam Sabtu yang terakhir sebelum Ramadan; ia tidak mengejutkan saya apabila acara tersebut menerima sambutan meriah. Jumlah kehadiran yang besar ke acara tersebut mengubah Taman Budaya yang biasanya sunyi menjadi seakan berada dalam atmosfera konsert rock.

Kalau di negara lain, bidang seni secara lazimnya diminati golongan usia pertengahan, tetapi di Yogyakarta kebanyakan mereka yang hadir adalah anak muda berusia 20an ke 30an. Malah saya terdengar kata-kata daripada kalangan hadirin bahawa di Yogyakarta, para seniman adalah “bintang rock!”

Pameran terbaik pada malam itu layak diberikan kepada Iwan Effendi, seorang tukang boneka yang mempersembahkan Teater Boneka Papermoon (Papermoon Puppet Theatre).

Beliau mencipta karusel setinggi 30 kaki dengan beratus-ratus bahagian bergerak, yang telah berputar secara perlahan sepanjang malam.

Tema karusel itu sendiri adalah sangat menarik dan berasaskan pencarian “Lunang”- perkataan Jawa untuk “ombak”. Boneka yang digunakan menggambarkan pengalaman pelbagai pihak termasuk dari pedagang, ilmuwan dan penjajah yang telah merentasi lautan.

Sementara itu, pameran panorama Entang Wiharso menghiasi pintu pekarangan masuk Taman Budaya. Beliau memaparkan persembahan bertema dunia lain yang mengekalkan konsep asas tradisional Jawa.

Terdapat juga pameran hasil karya Gericault yang mengetengahkan mitos Perancis iaitu “Raft of Medusa” yang dirubah kepada versi Indonesia.

Antara nama baru di acara itu ialah Acong S Dwi Stya. Beliau mempamerkan lukisan kanvas yang mempunyai persamaan dengan hasil karya seniman Jerman ulung, Anselm Kiefer, suatu karya yang pasti membuat anda tertarik.

Beberapa minggu kemudian, saya mengunjungi bazar seni Pacific Place di Jakarta pula. Saya tidak dapat merasakan suasana kemeriahan yang sama seperti di ArtJog.

Dari segi tawaran karya seni, pilihan yang ada hanya satu persepuluh daripada apa yang ditawarkan di Yogyakarta.

Saya kembali menyedari bahawa, “Ya, di Yogyakarta, para seniman adalah bintang rock…”