DI Indonesia, badan anti-rasuah rasmi negara atau dikenali sebagai Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) dilihat cekap dan agresif dalam melaksanakan tugasan mereka memerangi gejala rasuah.

Malah, kes-kes siasatan KPK menjadi faktor penting menjelang musim pilihan raya umum tahun depan.

Apa yang jelas, kesungguhan mereka dalam siasatan skandal rasuah kompleks sukan Hambalang di Jawa Barat bernilai USD118 juta telah melemahkan pengaruh parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Hasil kaji selidik baru-baru ini menunjukkan elektibiliti parti telah jatuh daripada 21% pada 2009 kepada 7% kini.

 Pemerhati politik melihat nasib yang sama bakal menimpa parti Golkar selepas terdedahnya satu skandal rasuah yang melibatkan salah sebuah dinasti politik berpengaruh di Indonesia, iaitu keluarga Chasan Sochib dari Banten (salah sebuah wilayah yang berjiran dengan Jakarta).

 Pada Jumaat lepas, KPK mengejutkan seluruh Indonesia dengan penahanan Gabenor Banten, Ratu Atut, yang juga anak sulung kepada Allahyarham Chasan Sochib. Selama ini, ahli politik bertudung litup itu dilihat ‘kebal’ dari segala tindakan undang-undang.

Selepas disoal siasat selama beberapa jam, KPK mengambil keputusan untuk menahan Ratu Atut.

Lebih kurang seribu penyokong Ratu Atut berkumpul di hadapan bangunan KPK untuk mengadakan demonstrasi atas keputusan tersebut. Tanpa menghiraukan kehadiran mereka, KPK telah menyarungkan jaket ‘jingga’ pada Atut. Jaket tersebut adalah pakaian yang harus dipakai oleh sesiapa didakwa sebagai tertuduh. Beliau dibawa ke pusat tahanan khas di mana beliau terpaksa berkongsi sel tahanan bersama 15 lagi tahanan lain.

Sejak bermulanya pentadbiran beliau di Banten pada 2007, Atut berjaya membina pengaruh politik yang cukup mengagumkan. Apatah lagi, beliau mendapat sokongan pengikut-pengikut setia Allahyarham bapanya, yang kebanyakan berasal dari sebuah pertubuhan seni mempertahankan diri dikenali sebagai Jawara.
 
Penahanan Atut sukar untuk dielakkan setelah adik beliau, Tubagus Wawan, ditahan kerana cuba memberi rasuah kepada bekas Ketua Mahkamah Konstitusi, Akil Mochtar di rumah beliau di Jakarta pada 12 Oktober 2013.

Apabila Wawan akhirnya disyaki bersalah dalam cubaan menyuap Akil bagi mengubah keputusan pemilihan ketua daerah Lebak (salah sebuah daerah di Banten), ia jelas menunjukkan kedua beradik itu telah berkomplot.
 
Selain itu, Atut turut dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah melibatkan penyelewengan harga peralatan perubatan bagi hospital-hospital di Banten, yang dikirakan bernilai RM10 juta. Adik ipar beliau (isteri Wawan), Airin Rachmi Diany, yang juga Datuk Bandar Tangerang Selatan, turut dinamakan sebagai tertuduh. Jika mereka terbukti bersalah, kemungkinan lebih ramai ahli keluarga Atut akan ditahan pihak KPK.

Ini membawa kita kepada satu soalan: adakah parti Golkar akan menerima nasib sama seperti parti Demokrat? Adakah skandal rasuah yang melanda parti akan menggugat momentum dan populariti parti?
 
Pertama sekali, kita harus ingat Golkar memiliki struktur institusi dan budaya lebih meluas dan teratur kerana parti ini telah wujud sejak zaman “Orde Baru” Soeharto. Parti Golkar sering mendapat undian lebih tinggi daripada Demokrat dalam kebanyakan kaji selidik dan kadangkala menyamai kedudukan parti PDI-P pimpinan ibu Megawati.
 
Perbezaan paling ketara antara Demokrat dan Golkar adalah, pemimpin-pemimpin Demokrat dipilih atas tekad mereka menentang amalan rasuah, sebaliknya Golkar tidak pernah mengetengahkan mesej “kerajaan bersih” dalam kempen mereka.

 Pada masa sama, parti Golkar (seperti Umno) sering mengetengahkan keupayaan mereka dalam membawa pembangunan dan kemajuan kepada seluruh masyarakat.
 
Tambahan pula, kekuatan Golkar tidak hanya bergantung pada populariti mana-mana tokoh parti. Pengaruh Golkar tidak tergugat biarpun ramai ahli politik terkenal seperti bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla dan tokoh parti Nasdem, Surya Paloh telah meninggalkan parti. Pada dasarnya, aksi keluar masuk pemimpin-pemimpin Golkar dalam parti adalah suatu perkara biasa, justeru tiada bezanya bagi Atut.

Walaupun pengaruh parti dilihat terjejas disebabkan skandal rasuah ini, Golkar dijangka masih memberi saingan sengit buat Parti PDI-P.
 
Apa yang jelas, penahanan terkini oleh KPK menunjukkan pihak berkuasa anti-rasuah tersebut bebas daripada mana-mana pengaruh luar. Sekarang, kita tunggu dan saksikan sahaja aksi seterusnya oleh KPK.

Pastinya, ini bukan siri penahanan terakhir KPK dalam usaha mereka memerangi gejala rasuah dan salah laku di kalangan ahli-ahli dinasti politik di Indonesia.