PADA 31 Januari lalu, mantan Menteri Perdagangan Indonesia Gita Wirjawan mengejutkan banyak pihak apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya politiknya.

Gita, lulusan Universiti Harvard, merupakan bekas ahli perbankan pelaburan sebelum dilantik Menteri Perdagangan. Beliau kini bersaing dalam Konvensyen Parti Demokrat Indonesia bagi memilih calon presiden dari parti pemerintah tersebut. Beliau juga antara pemimpin yang rapat dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono (SBY).

Tatkala Parti Demokrat dihujani pelbagai skandal rasuah dalam kalangan pemimpinnya, Gita dilihat sebagai wajah baharu yang memiliki integriti dan kemahiran menggubal dasar.

Keputusan Gita ini dijangka menghangatkan lagi suasana persaingan dalam kalangan calon-calon aspirasi bagi Pilihan Raya Presiden pada Julai ini.

Gita bukanlah satu-satunya teknokrat yang memilih untuk berkecimpung dalam dunia politik sepenuh masa. Rakan dan juga pesaingnya dalam Konvensyen Parti Demokrat, Anies Baswedan dan Dino Patti Djalal juga memilih untuk meninggalkan kerjaya mereka buat sementara waktu.

Kepercayaan pengundi kini dilihat lebih mengarah kepada teknokrat sebagai pemimpin. Ini bukanlah perkara baharu. Semasa Suharto jadi Presiden pada 1967, ekonomi Indonesia berada dalam kedudukan kritikal di mana majoriti masyarakat berada di ambang kebuluran.

Suharto kemudian mengambil keputusan untuk melantik sekumpulan ahli ekonomi Indonesia lulusan Amerika Syarikat ke dalam pentadbiran beliau. Kumpulan ini digelar sebagai “Mafia Berkeley”.

Hasil sokongan Mafia Berkeley, pemerintahan Orde Baru Suharto telah memansuhkan dasar-dasar yang berteras pada konsep nasionalisme dan membuat pinjaman bank besar-besaran. Mereka menerapkan dasar penyahkawalseliaan, kawalan inflasi dan menghasilkan bajet seimbang.

Sementara ramai yang menyalahkan mereka atas kegagalan dalam mengekang pemborosan oleh Suharto, ekonomi Indonesia semasa di bawah seliaan mereka telah berkembang sepanjang tiga dekad pada kadar purata sebesar 6.5% setiap tahun antara penghujung tahun 1960-an hingga 1997.

Tidak dinafikan Presiden SBY mengambil ramai teknokrat dalam pentadbiran beliau, termasuk Boediono, Chatib Basri, Dahlan Iskan dan Sri Mulyani Indrawati. Kesemua mereka memainkan peranan penting dalam meneraju ekonomi Indonesia tatkala ekonomi global berada dalam situasi tidak menentu.

Namun, tempoh perkhidmatan mereka sudah hampir ke penghujung. Andai dibiarkan, ini bakal menjadi suatu ancaman kepada ekonomi negara sekiranya kerajaan Indonesia yang baharu lebih mementingkan hubungan politik berbanding kemahiran atau bakat kepimpinan.

Kita tidak boleh memandang remeh realiti bahawa ekonomi Indonesia berdepan pelbagai cabaran biarpun mempunyai prospek meyakinkan.

Kadar inflasi meningkat 11.35% pada 2013 disebabkan kenaikan harga makanan ruji termasuk beras. Hal ini dapat dikaitkan dengan kegagalan dasar pertanian republik itu.

Indonesia memandang serius akan pelaksanaan sekatan import terhadap hasil-hasil pertanian demi memelihara kepentingan petani-petani tempatan. Dasar tersebut walau bagaimanapun tidak disokong oleh sebarang usaha untuk meningkatkan pengeluaran pertanian setempat. Ini menyebabkan masalah kekurangan bekalan hingga membawa kepada kenaikan harga hasil-hasil pertanian.

Pada masa sama, prestasi sistem pendidikan Indonesia terus merudum walaupun perbelanjaan sebesar USD30.4 bilion (atau 20% daripada jumlah keseluruhan bajet) dikeluarkan kerajaan sepanjang tahun lepas.
Jelas, pertimbangan politik yang dibuat dalam penggubalan dasar tidak menguntungkan masyarakat Indonesia, khususnya dari aspek pendidikan dan pertanian.

Ini hanyalah dua contoh dasar yang memerlukan perhatian pemimpin berkebolehan dan jujur. Gita adalah antara pemimpin yang mampu membawa perubahan kepada Indonesia.

Kesimpulannya, Indonesia memerlukan lebih ramai teknokrat dalam kerajaan terutamanya bagi dua kementerian kritikal iaitu pertanian dan pendidikan demi memacu Indonesia ke hadapan.

Malaysia juga berhadapan  situasi yang sama. Pelantikan lebih ramai teknokrat ke dalam Kabinet dilihat wajar kerana ini akan dapat menyumbang ke arah perkembangan ekonomi negara.