Saya sering 'bertemu' teman-teman baru, tidak kira di dalam LRT, restoran McDonald’s, warung makan atau di dalam pesawat. Selalunya, pertemuan ini singkat, tetapi sebagai seorang tukang cerita, saya suka mendengar dan mencatat isi perbualan tersebut dan menyimpannya sebagai bahan rujukan.  

Sememangnya, banyak saya pelajari melalui pertemuan-pertemuan singkat dan bermakna ini. Misalnya, minggu lepas, ketika berada di dalam penerbangan ke Bali, saya terserempak seorang kenalan keluarga saya yang juga bekas pegawai kanan perkhidmatan awam, Datuk Shaari Harun.Berasal dari Perak, beliau kini sudah berusia 93 tahun, namun masih kelihatan bertenaga bagi usianya.

Sepanjang penerbangan itu, beliau berkongsi pengalaman pahit manis hidup beliau bermula 1930, iaitu ketika baharu berpindah dari Bota Kanan ke Kuala Kangsar untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Clifford.

“Saya harus berterima kasih kepada bapa saya atas kesungguhannya memastikan saya menguasai bahasa Inggeris. Jika saya tetap tinggal di Bota, pasti saya tidak akan berpeluang menerokai dunia luar.

“Orang Melayu ketika itu takut untuk membenarkan anak-anak mereka meninggalkan kampung halaman kerana risau mereka akan melupakan keluarga. Ada juga yang risau jika anak-anak mereka ke sekolah Inggeris, akidah mereka akan terpesong,” katanya.

Shaari menjelaskan beliau adalah orang pertama dari kampungnya yang keluar menuntut di sekolah Inggeris, dan selepas itu ramai anak muda yang mengikut jejak langkah beliau.

“Pengalaman hidup saya cukup menarik. Saya menjelajah ke seluruh pelosok dunia dan pernah juga dijemput ke acara Garden Party di Istana Buckingham. Saya menyambung pengajian di Birmingham dan kesemua lima anak saya dan 13 cucu saya adalah lulusan universiti. Saya juga bersyukur dikurniakan 9 cicit.

“Cuma satu perkara saya kesali, isteri saya meninggal dunia awal tahun ini. Kami telah berkongsi hidup selama 67 tahun,” sambung beliau.

Shaari turut melahirkan rasa bangga kerana dapat berkhidmat untuk dua tokoh pemimpin negara iaitu Tun Tan Siew Sin dan Tun Hussein Onn.

“Kedua-dua pemimpin tersebut memang tegas tetapi jujur dan cekap dalam menjalankan tanggungjawab mereka.”

Pertemuan dengan Shaari yang masih segak bergaya dan bertongkat, benar-benar suatu kebetulan memandangkan beliau juga menuju ke Bali untuk bercuti bersama keluarga.

“Dulu saya yang bawa mereka bercuti, tetapi sekarang mereka pula bawa saya! Bulan depan saya akan ke Hong Kong pula dan kemudian, ke Seattle, Amerika Syarikat, untuk melawat cicit yang baharu lahir.”

Kami sememangnya bernasib baik kerana dapat duduk bersebelahan dalam pesawat tersebut dan menghabiskan keseluruhan tempoh penerbangan selama dua setengah jam berbual dan berkongsi cerita dan saya juga sibuk mencatat pengalaman menarik warga emas ini.

Pertemuan itu menjadi lebih bermakna (sekurang-kurangnya bagi saya) apabila beliau menceritakan kisah pernah menetap di rumah moyang saya yang terletak berhadapan dengan stesen kereta api di Kuala Kangsar.

“Karim, kejatuhan harga getah telah menyukarkan hidup kami pada 1930. Harga getah pada ketika itu cuma bernilai 1 hingga 3 sen sekati atau $3 sepikul, terlalu rendah hingga menyebabkan keluarga saya tidak mampu untuk membiayai persekolahan saya.”

“Namun, ayah saya cekal mencari penyelesaian dengan menghantar saya tinggal bersama moyang, Tok Setia Mohamad Nordin dan akhirnya menghantar saya menuntut di Kolej Clifford.”

“Saya terus berusaha keras hingga berjaya memperoleh biasiswa di mana saya diberikan wang sebanyak $10 sebulan, jumlah yang dikirakan lumayan pada zaman itu. Saya gunakan $7 untuk makanan dan penginapan manakala wang lebihan $3 disimpan
untuk wang saku.”

“Persaingan antara penuntut Kolej Clifford dan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) cukup hebat. Tetapi kami mempunyai kelebihan kerana ramai pelajar cemerlang seperti Tun Suffian lahir dari sekolah kami selain mempunyai pasukan hoki yang hebat.

Malah, guru besar kami, Preedy MA (lulusan Oxford) merupakan seorang yang sangat disegani.”

Sebaik saya berpisah dengan Shaari dan keluarganya, terdetik di hati betapa bertuahnya saya ketika itu kerana telah dapat menyingkap kembali cerita menarik sepanjang 8 dekad (dari 1930 hingga 2013) dalam dua setengah jam penerbangan ke Bali...