HARI paling bahagia dalam hidup saya apabila meninggalkan kerjaya sebagai peguam ke bidang kewartawanan. Sesetengah pihak berpendapat, kewartawanan merupakan profesion lasak dan mencabar.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya di Asia Tenggara sistem perundangan membawa dimensi permasalahan moral, terutamanya  apabila ia bertindih dengan pengaruh politik. Golongan elit seakan lupa konsep “kedaulatan undang-undang” (rule of law) berbeza daripada “pemerintahan berlandaskan undang-undang” (rule by law).

Hal ini jelas dilihat melalui penyingkiran Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand baru-baru ini. Yingluck (adik kepada Thaksin) dituduh atas kesalahan 'penyalahgunaan kuasa', iaitu menggantikan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara, Thawil Pliensri, dengan seorang ahli keluarga beliau pada 2011.

Pada awal tahun ini, mahkamah sama membatalkan keputusan pilihan raya umum pada Februari 2014. Yingluck turut didakwa atas kesalahan rasuah dalam skim subsidi beras yang diperkenalkan kerajaan dan berhadapan hukuman larangan dalam penglibatan politik selama 5 tahun. Segala rintangan ke atas Yingluck memburukkan lagi keadaan sosiopolitik negara.

Golongan pengkritik senang hati, sementara penyokong marah, manakala jutaan masyarakat bimbang masa depan negara, terutama apabila Bank Negara Thailand menurunkan unjuran pertumbuhan negara daripada 3 peratus kepada 2.7 peratus. Mahkamah Perlembagaan Thailand (ditubuhkan sejak 1997) tidak sepi daripada kontroversi.

Sesetengah pihak berpendapat, kebanyakan keputusan seperti membubarkan parti Thaksin, Parti Thai Rak Thai (2007) dan memecat pengganti Thaksin, Samak Sundaravej (2008) seolah-olah memihak kepada golongan pengikut setia Raja Thailand.

Hal ini menimbulkan syak wasangka kalangan puak pro-Thaksin terhadap Mahkamah Perlembagaan Thailand. Ia dilihat sebagai alat politik pesaing dalam usaha menebus kegagalan mereka untuk menang menerusi peti undi.

Atau mungkin saya hanya bersikap sinis. Adakah hakim Mahkamah Perlembagaan benar-benar menegakkan keadilan dan menjatuhkan hukuman tanpa menyebelahi mana-mana pihak?

Ternyata aktivisme kehakiman, tren yang semakin popular di Thailand merupakan sesuatu berisiko dan berbahaya. Rakyat tentu hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan apabila keputusan mahkamah dipengaruhi kepentingan politik.

Tiada siapa menyangkal sistem perundangan kukuh dan bebas menjadi perkara asas bagi mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi.

Mungkin saya ketinggalan zaman, tetapi saya tidak sedar golongan hakim mempunyai kuasa untuk memecat dan melantik ahli politik sewenang-wenangnya.

Keseimbangan (check and balance) adalah penting namun, pengasingan kuasa juga sama pentingnya. Biarpun terdapat banyak kelemahan dalam kerajaan pro-Thaksin, hakikat mereka dipilih menerusi proses demokrasi perlu diakui.

Cara mereka disingkirkan mempamerkan tren demokrasi tidak sihat, lalu mewujudkan persaingan kuasa tidak adil.  Ia menunjukkan masyarakat Thailand tiada institusi kerajaan yang suci, bersih daripada kesalahan dan sesiapa boleh dimanipulasikan jika golongan elit menuntutnya.

Sesebuah negara akan kukuh jika rakyatnya meletak kepercayaan  kepada setiap institusi negara. Namun, ia jelas kepercayaan tersebut tergugat.

Apatah lagi, penyalahgunaan kuasa dalam sistem perundangan semata-mata untuk memenuhi matlamat politik sesetengah pihak, sekali gus melenyapkan kekuasaan moral golongan elit tradisional Thai.

Setelah berkali-kali disingkirkan menerusi proses tidak adil, rakyat secara magis 'lupa'  kegagalan pemerintahan Shinawatra sebelum ini. Sebaliknya, kelemahan musuh politik Shinawatra yang ketandusan idea, jelas kelihatan di mata umum.

Mengapa rakyat masih memilih parti yang menjadikan mahkamah sebagai alat politik untuk melawan pesaing mereka. Walhal mereka sebaliknya wajar menggunakan platform perbahasan untuk mencapai matlamat politik mereka.

Saya cenderung untuk bersikap optimistik terhadap masa depan Thailand, namun nampaknya perkembangan terkini negara jiran itu melemahkan keyakinan saya.

Di Malaysia, kita juga berdepan dengan masalah hampir sama. Kepercayaan rakyat kepada sistem perundangan negara tergugat.

Pendakwaan berulang kali terhadap ahli politik pembangkang atas kesalahan hasutan (walaupun ada yang mengatakan undang-undang kuno ini akan dimansuhkan), perhimpunan haram dan pelbagai lagi kesalahan.

Sememangnya, saya sangat bersyukur dan bertuah kerana telah meninggalkan dunia guaman bertahun-tahun dahulu!